[Menghina Bangsa Cina! Siapa Lebih Cina?]
Ada orang menuduh saya benci dan hina bangsa lain terutamanya bangsa Cina. Maka saya bertanya apakah kriteria untuk mengatakan saya benci dan hina bangsa lain?
Antara alasan yang dikemukakan adalah saya mengatakan kepercayaan zodiak Cina mahupun horoscope adalah karut marut.
Maka saya ingin menjawab anda, apakah saya dikira menghina bangsa Cina kerana saya mengatakan Zodiak itu karut marut ataupun saya dilabel menghina kerana saya beragama Islam?
Adakah saya akan dikira tidak menghina kepercayaan karut marut Zodiak andai saya tidak mendatangkan ayat al-Quran mahupun Hadis tetapi menulis status itu berdasarkan logik saya sebagai seorang Muslim yang berbangsa Cina?
Untuk pengetahuan anda, jauh sebelum saya memeluk agama Islam, saya sudah mengatakan Zodiak adalah karut marut malahan bukan saya seorang sahaja.
Jikalau Zodiak mahupun Horoscope itu tidak karut marut, saya cabar anda untuk buka suratkhabar yang ada tilikan horoscope dan juga beli buku pakar feng shui yang kaya raya itu dan lihat apakah tilikan mereka itu sama?
Jemputlah beberapa pakar feng shui untuk meninjau feng shui rumah anda dan nescaya tilikan mereka juga berbeza dan PRODUK YANG MEREKA MINTA ANDA BELI UNTUK MENINGKATKAN NASIB ANDA JUGA BERBEZA BERDASARKAN PRODUK APA YANG MEREKA JUAL.
Pastinya tidak sama dan majoriti tilikan mereka bercanggah antara satu sama lain. Kalau itu bukan karut marut apa lagi? Kali ini saya tidak bercakap guna ayat Al-Quran mahupun hadis tetapi sebagai seorang yang berbangsa Cina.
Sebelum anda melabel saya kurang keCinaan berbanding dengan anda, sila berikan definisi apa yang melayakkan seseorang itu menjadi lebih Cina dari Cina yang lain.
Kalau setakat mampu berbahasa Cina, saya mampu bertutur Kantonis, Mandarin, Hakka, Hokkien tetapi ramai Cina di luar yang mengaku Cina tetapi tidak mampu bertutur dalam dialek yang disebutkan di atas dengan baik.
Andai seseorang itu dianggap kurang Cina kerana tidak memakan khinzir, maka apakah golongan Cina yang vegetarian itu bukan Cina juga kerana tidak makan khinzir?
Mengapa Cina Muslim yang tak makan khinzir anda perli dan hina dengan ejekan 'CHU CHAI' (Anak babi) tetapi Cina yang sembah Guan Yin tetapi tidak makan daging lembu anda boleh hormat? Bukankah itu menunjukkan double standard anda dalam memerli dan menghina Islam sahaja bukan?
Andai anda mengatakan saya kurang Cina kerana saya menambah nama Arab di hadapan iaitu Firdaus, maka saya ingin bertanya kepada anda sejak bila pula nama Cina ada Philip, Gary, David, Kevin, Eugene, Michael dan sebagainya? Apakah apabila nama Arab atau bunyi Melayu sikit anda perli tetapi nama Mat Salleh anda ok?
Andai anda mengatakan saya kurang Cina kerana orang Cina menganut agama tradisi Cina seperti Buddha, Taoism dan Confucianism, mengapa hanya Cina Muslim jadi sasaran anda dan bukannya Cina Kristian mahupun Cina Hindu atau Cina Atheist dan Cina Freethinker? Untuk pengetahuan anda, Siddharta Gautama bukannya Cina tetapi berbangsa India.
Sebelum wujudnya agama Buddha, Taoism dan Confucianism di China, apakah orang Cina di China itu bukan Cina hanya kerana mereka tidak menganut agama tersebut?
Sudah terang lagi bersuluh bahawa anda yang melabel saya menghina bangsa lain tidak lain tidak bukan hanya kerana identiti saya sebagai Muslim berbangsa Cina.
Ternyata anda double standard dalam penilaian dan kebencian anda adalah membuta tuli tanpa fakta tetapi emosi yang tidak rasional.
Saya berpegang kepada firman Allah Subhana Wa Ta'ala; "Sesungguhnya ada sepuak diri hamba-hambaKu (di dunia dahulu) memohon kepadaKu dengan berkata:
` Wahai Tuhan kami, kami telah beriman; oleh itu ampunkanlah dosa kami serta berilah rahmat kepada kami, dan sememangnya Engkaulah jua sebaik-baik Pemberi rahmat '. (Al-Mu'minuun 23:109)
Dan ini yang anda seringkali lakukan terhadap Muslim bukan dengan mengejek dalam ruangan komen media berbahasa Cina seolah-olah Cina Muslim tidak tahu membaca tulisan Cina;
"Maka kamu jadikan mereka ejek-ejekan sehingga ejek-ejekan kamu kepada mereka menyebabkan kamu lupa mengingati balasanKu, dan kamu pula sentiasa tertawakan mereka. (Al-Mu'minuun 23:110)
Dan InshaAllah kami terus bersabar dengan ejekan anda serta mengajak kalian mengenal Islam dengan harapan anda menjadi ikhlas mencari kebenaran agar anda memeluk Islam.
Kami hanya mengharapkan ganjaran dari Allah Subhana Wa Ta'ala; "Sesungguhnya Aku membalas mereka pada hari ini (dengan sebaik-baik balasan) disebabkan kesabaran mereka; sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang berjaya". (Al-Mu'minuun 23:111)