Wahai TP, Tulislah Sejarah Dengan Telus Dan Tulus, The Patriots Ditegur!

Oleh : Sahul HM

i)

PENSEJARAHAN : ANTARA PROPAGANDA DAN PENCERAHAN.

Tersinggung sedikit laman The Patriot (TP) baru-baru ini. Ramai yang melenting, dan tak kurang juga ramai yang bersetuju dengan tulisan saya. Bukanlah sengaja saya merancang untuk mengkritik TP, tetapi kerana saya terpanggil dek kerana ilmu sejarah sewenang-wenangnya ditafsirkan mengikut kehendak diri.

Ya, memang saya bukan intelektual dan tak ingin acah-acah pun seperti yang disindir oleh TP. Saya sekadar seorang bekas buruh sektor binaan yang berjuang keras sebelum kini memiliki Ijazah Sarjana Muda Sejarah, Master Sejarah dan PhD Sejarah. Dan saya tertanya-tanya juga apakah maksud sebenar intelektual yang difahami oleh admin TP tersebut? Saya pernah diajar dengan bahasa paling mudah oleh mentor saya Prof Adnan Nawang bahawa intelektual ialah seorang yang mampu berhujah [secara rasional], dan kemudian mampu pula mempertahankan hujahnya [secara empirikal.]

Adapun berkaitan penulisan sejarah, ia merupakan satu disiplin ilmu yang mempunyai teori dan falsafahnya sendiri. Ramai orang boleh menulis tetapi tidak semua boleh menjadi sejarawan. Sepertimana ilmu biologi asas bagi doktor, ilmu lukisan teknikal asas bagi jurutera, begitu pula bagi seorang sejarawan, mestilah dia menguasai atau tahu falsafah sejarah.

Setelah mengenali Herodotus dan Thucydides, kalau mahu menulis sejarah sepertimana ia benar-benar berlaku, ia Rankean (Leopold von Ranke), kalau menganalisis dari sudut dialektika materialisme ia Marxist. Kalau suka sejarah sosial dari bawah ia Annales. Kalau gemar menggunakan sejarah sebagai alat propaganda maka anda ikutlah Joseph Goebbles, Menteri Propaganda Nazi atau Roeslan Abdulgani dan Sukarno dari Indonesia. Dan kalau ingin mengasosiasikan pensejarahan dengan Islam maka jadilah seperi Ibn Khaldun dan Al-Masu'di.

Pada banyak keadaan saya gemar memilih aliran Rankean bagi mempersembahkan sejarah sebagaimana ia berlaku. Dan diadun pula dengan pendekatan Al-Masu'di yang menitikberatkan amanah yang tinggi dalam memelihara ketulenan fakta fan tafsiran peristiwa yang berlaku. Beliau, hatta menulis sejarah dengan menuruti rantaian perawi bagi memastikan isinya benar-benar autoritatif. Penulisan sejarah sangat objektif tetapi masih berada di bawah "ranking" perekodan hadith Nabi saw. Hadith mempunyai ilmu rijal misalnya yang meneliti latar belakang setiap perawi hadith. Pensejarahan tidak begitu tetapi paling tidak ada panduan asas iaitu, "sebelum kenali sejarah, kenali sejarawannya." Sejarah tidaklah serinci ilmu Hadith namun ada piawaiannya yang tersendiri. Ia tidak kudus, tetapi ia harus tulus.

Begitulah setiap ilmu ini ada disiplin dan tertibnya yang tersendiri.


Tulislah sejarah, tetapi tulislah dengan telus dan tulus. Tulislah sejarah, tapi elakkan menulisnya dengan "preconceived notion." Jangan jadikan sejarah sebagai alat propaganda. Sejarah, pada satu ekstrim, ia menjadi alat pencerahan dan pada ekstrim yang lain ia menjadi alat penjajahan.


---------------

ii) MENJELASKAN SALAH FAHAM THE PATRIOTS

Saya terbaca beberapa tangkap layar yang dikongsi dalam "posting" saya sebelum ini berkaitan Pensejarahan dan TP. Beberapa individu yang mungkin terlibat dalam TP menggunakan kata-kata yang saya fikir keterlaluan untuk saya terima -yang saya percaya antaranya ditujukan kepada saya- dalam fasa diskusi ilmiah.

Antaranya Tuduhan "pentaksub politik", "penyokong kerajaan baharu", "acah intelektual, acah berani" dan "tiada telur". Kononnya saya penakut untuk menegur salah faham beberapa kumpulan yang mengherotkan pemahaman sejarah, selain TP, umpamanya geng Cholas dan kiasu.

Duhai TP, suka saya nasihatkan anda menelusuri fb saya untuk mendapatkan gambaran betapa "macainya" saya. Macai kepada ilmu sejarah dan kepada kebenaran. Silalah baca, kemudian komenlah. Berat tuduhan tanpa usul periksa. Sebelum wujud TP lagi saya sudah mengkritik pandangan tentang "Melayu juga pendatang" yang dicanang oleh kiasu dan Cholas. Sebelum wujud TP lagi saya sudah menulis tentang Bahasa Melayu. Saya konsisten mempertahankan Bahasa Melayu. Dan apa lagi ciri terbesar membela kepentingan Melayu selain bahasanya? Pernah dengar kan "Bahasa Jiwa Bangsa"? Saya konsisten mengkritik kerajaan, baik yang dulu mahupun yang sekarang. Tetapi konstruktif dan beralasan. Saya tak taksub, tak tahulah anda bagaimana.

Kerja penulisan saya di fb sudah bermula lama. Hanyasanya saya tidaklah popular seperti TP yang sistematik dan terorganisasi. Saya juga tak sekacak penulis di TP. Kepada yang sindir supaya saya wujudkan laman seumpama TP, saya katakan saya tiada kumpulan seperti TP dan tiada kemahiran "tech-savvy" seperti geng TP. Saya hanya individu. One man gang, thus far.

Teguran saya terhadap TP bukan untuk berkonfrontasi. Saya tiada masa mencipta musuh. Sebagai pelajar sejarah, guru sejarah dan pensyarah sejarah, saya hanya cuba membetulkan pendekatan TP yang menulis dengan motif yang ditetapkan. Itu sahaja. Saya tegur berhemah, balaslah secara berhemah. Saya tak intelektual, tapi anda yang intelektual boleh saja berdiskusi dengan halus dan lembut sepertinya budaya Melayu, bukan?

Di sini juga saya ingin mempersilakan TP untuk hadir ke kuliah saya jika berminat untuk mengenali "school of thought" saya dalam mengajar sejarah. Anda bijak, bukan saya nak mengajar. Cuma boleh hadir menilai sendiri jika anda rasakan saya termasuk kategori pentaksub politik. Datanglah, dialu-alukan untuk melihat, bukan telur, tetapi kuliah. Ataupun risik-risiklah dengan bekas pelajar saya jika anda mengenali antara mereka yang dari Jabatan Sejarah, UPSI. Tak kenal maka tak cinta.

Salam mesra daripada saya,

Sahul HM.

Related Posts