One Two Jaga : Jaga-Jaga Rasuah Membunuh - Arif Atan

Oleh : Arif Atan

Jaga-jaga, rasuah membunuh!

Tontonlah filem 'One Two Jaga' sambil berdoa semoga Malaysia Baharu pasca 9 Mei bebas daripada cengkaman jaringan jahat rasuah.

Ya. Mustahil korupsi dapat dibasmi habis licin tetapi tekad untuk cepat-cepat mencantas sebelum menjadi pohon sebesar sepemeluk perlu disemat.


Andainya Dr Syed Hussein Alatas masih hidup (dengan usia 90 tahun), barangkali bekas Naib Canselor Universiti Malaya (UM) dan mantan Ahli Dewan Negara itu terharu menonton filem ini.

Apa tidaknya, wacana berkenaan sifat, sebab dan fungsi rasuah dalam bukunya yang diterbitkan pada 1990 tidak keterlaluan dikatakan sedang dicernakan oleh 'One Two Jaga'.

Filem berdurasi 1 jam 20 minit yang difahamkan dikerjakan pada 2014 itu menemui khalayak selepas empat bulan kerajaan BN ditumbangkan buat pertama kali dalam pilihan raya umum lalu.

Walaupun beberapa dialog dipadamkan suara termasuk "pilihan raya dah nak dekat', tetapi itu semua 'terlepas' melalui sari kata bahasa Inggeris. Hah! Anda tentu 'kagum' pihak berkuasa masih sudi melepaskan filem ini untuk ditayang di pawagam!

Latar filem '1, 2 Jaga' dengan kelibat Menara Telekom bersama rumah setinggan yang sudah ditanda cat biru tua tanda untuk diroboh hingga ke Hotel Merdeka di tengah perut ibu kota memang kena dengan mood filem arahan Nam Ron ini.

Sarat imej sosiologi dan pertembungan keras antara pembangunan rakus di wilayah Kerinchi - Pantai Dalam itu dengan masyarakat marhaen yang terdesak untuk meneruskan hidup, segalanya diadun seimbang. Kecuali 'jerung', watak-watak 'ikan bilis' ada sisi hitam dan putihnya.

Hotel Merdeka yang klasik lengkap dengan tulisan jawi itu gambaran masih ada manusia dijajah atas sebab bukan warganegara.Di hotel itulah, seorang pendatang Filipina diseksa dan jerit pekiknya dengan jari dihempas dan dikepitkan ke daun pintu berulang kali jelas didengari adik Sugiman yang menghuni di bilik sebelahnya.

Gadis yang menanti masa untuk pulang ke tanah airnya itu simbol ribuan imigran wanita Indonesia yang cuba bertarung nyawa bangkit melawan daripada terus ditindas rakus majikan tidak berperikemanusiaan.

Bagi warga UM yang celik manusiawi tentu perasan pergerakan tenaga buruh Indonesia yang seawal Subuh sudah meninggalkan rumah atau bilik sewa masing-masing menaiki bas ke tempat kerja.

Bermula 6 pagi, berderet dan berulang kali bas dari stesen LRT Stesen Universiti-KL Gateaway (?) sudah mula menghantar pekerja Indonesia lelaki perempuan masuk ke UM.

Tidak pasti mana-mana sarjana UM ada membuat sebarang kajian daripada pelbagai disiplin ilmu mengenai mereka sebagai menghargai kewujudan dan peranan mereka walaupun menjadi tukang sapu dan pembantu kedai dalam kampus. Apa yang kita nampak, mereka melangkah tenang menaiki bas, perasaan sebenar entah bagaimana.

Kembali kepada adik Sugiman, wanita Indonesia itu simbol penindasan yang berlaku sejak sekian lama di negara ini. Pasport mereka dipegang oleh majikan.

Hanya kita sekejap-sekejap tersentak apabila pecah berita bibik diseterika panas bahkan dipaksa makan daging babi!

Adik Sugiman contoh tipikal bibik di Malaysia yang diperah tenaganya oleh sesetengah majikan sehingga di luar rumah seperti membasuh kereta dan menjaga kedai majikan tanpa upah yang setimpal. Namun, jiwa melawan gadis itu amat kuat. Dia berkeras mahu pulang ke tanah air tercinta.

Dan di sinilah punca bala mengundang dan pada masa tembelang seorang pegawai atasan polis pecah terburai. Sayangnya, ada korban di hujung pistol pegawai polis baru nak 'up' yang idealis! Ya. Jaga-jaga! Rasuah membunuh! Maruah melayang, nyawa terbang.

Siapa yang terbunuh? Siapa pegawai polis yang suci hati itu? Kena tontonlah di pawagam berdekatan anda.

Rugi jika anda terlepas menyaksikan filem yang bakal menggegarkan Festival Filem Malaysia ini nanti!

Related Posts