Review Mr. Sunshine Korean Drama

MINGGU ini adalah minggu akhir bagi episode Mr. Sunshine Korean Drama. Drama yang disiarkan eksklusif menerusi Netflix itu mendapat sambutan yang luar biasa hebatnya bagi pengemar-pengemar drama Korea seluruh dunia.


 
Mempunyai 24 episode, ia mengisahkan Choi Yoo Jin, seorang rakyat Korea yang melarikan diri ke Amerika Syarikat selepas dikejar oleh pemburu hamba.

Yoo Jin terpaksa melarikan diri ke negara lain selepas kedua-dua ibu bapanya mati dibunuh kejam oleh tuan mereka.

Kisah ini berlatarbelakangkan tahun 1871 - 1905 ketika Amerika dan Korea berperang buat kali pertama dan ketika Jepun mula menjajah Korea sedikit demi sedikit.

Shinmiyanggo 1871 - US Expidition to Korea - Battle Of Ganghwa membawa maksud sejarah yang sama.

Secara ringkasnya, dua pegawai tentera US mati dibunuh oleh rakyat Korea dan US bertindak balas selepas 10 hari menunggu namun tiada permohonan maaf dari kerajaan Korea kepada negara itu. 

Ekspedisi diplomatik itu bertukar menjadi peperangan pertama antara 2 buah negara selepas salahfaham dibiarkan berlarutan. 200 rakyat Korea dilaporkan terbunuh manakala 3 dari tentera Amerika.

3 watak utama, Dong Mae, Eugene Choi & Hee Sung
Menariknya dalam drama ini, ada 3 watak yang mengambarkan keadaan rakyat ketika itu.

Yoo Jin - watak hamba yang melarikan diri selepas dizalimi tuannya. Hamba ialah seseorang yang tak mempunyai apa-apa nilai di Joseon ketika itu. Mereka boleh diperlakukan sesuka hati dan dinafikan hak-hak kemanusiaan.

Dong Mae - anak kepada pemotong daging. Di Joseon, pemotong daging ialah berkasta rendah dan juga seperti hamba, sesiapa yang bertaraf bangsawan dibenarkan membuli dan menindas golongan itu.

Seung Goo - anak kepada penembak tepat. Mereka ialah barisan hadapan yang berada di puncak bukit Ganghwa ketika Amerika melancarkan perang ke atas Korea. Nyawa mereka tiada harganya. Andai mati tidak dikenang, andai ditawan akan dibiarkan. Seperti hamba, mereka juga tiada hak-hak kemanusiaan.

Masa berlalu, mereka dewasa dan bertemu.

"Untuk negara yang tinggalkan saya, saya juga akan tinggalkan dia".

Walaupun drama ini berkisarkan tentang cinta tetapi ada banyak persoalan menarik ditimbulkan penulisnya. Latarnya tidak hanya cinta dan perjuangan. Ia membawa perspektif dari pelbagai golongan yang tercicir di kelas rakyat. 

Hamba. Petani. Penembak. Pemotong daging. Pengawal. Pemburu. 

Tidak ketinggalan perspektif dari golongan atasan.

Raja. Bangsawan. Orang-orang kaya. Ilmuan. 

Ada pejuang.
Ada pengkhianat.

Sinematografik yang sangat cantik.

Setiap babak mempunyai kesinambungan yang jelas dan tersusun.

Bait-bait perbualan (skrip) yang puitis dengan lagu-lagu OST yang kena pada tema.

Dong Mae, anak pemotong daging diselamatkan Ae Shin - kembali sebagai Ketua Kumpulan Yakuza, kini ialah orang Jepun.

Eugene Choi, hamba yang melarikan diri - kembali sebagai Pegawai Tentera yang berpangkat tinggi, kini kerakyatan Amerika.

Hee Sung, anak orang kaya, elit yang tiada cita-cita dan menghabiskan masa dengan judi dan wanita, pulang semula ke Joseon.  

Penulis membayangkan sesuatu melalui watak-watak ini.

Ada banyak babak sedih dan mengharukan dalam drama ini. Hina Kudo, pemilik hotel yang dijual bapanya kepada orang kaya berusia ke Jepun. Mungkin berasa malu kerana berbapakan pengkhianat. Menjual maruah Joseon kepada Jepun.


Babak ibu Dong Mae yang  menghalau anaknya. Pengharapan seorang ibu untuk masa depan anaknya.
Babak ayah Seung Go yang enggan meninggalkan medan perang meskipun tiada bantuan susulan dari raja kepada rakyatnya.
Babak Yoo Jin merayu kepada pembuat tembikar agar diselamatkan dari pemburu hamba.
Babak pemilik chalet yang mati digantung tentera Jepun.
Babak ibu Yoo Jin yang terjun perigi.
Babak datuk Ae Shin yang mati membunuh diri.

Wajah pengkhianat negara
Drama ini juga jelas menamakan 5 watak pengkhianat Joseon yang bertanggungjawab membuatkan Joseon jatuh ke tangan Jepun.

Menteri Pendidikan. Menteri Pertahanan. Menteri Luar. Menteri Asas Tani & Industri. Menteri Dalam Negeri.

Hanya pada tahun 2005 barulah hal ini diketahui rakyat Korea. Tidak anehlah apabila penulis bersungguh memaparkan kejahatan 5 pengkhianat itu.

Watak Ae Shin, pelakon wanita utama yang jatuh cinta dengan tentera Amerika - Eugene Choi (selepas Yoo Jin dewasa dan kembali ke Korea), ialah pejuang yang menentang penaklukan Jepun ke atas Korea.

Ae Shin ialah wanita dari keluarga bangsawan. 

Penulis tinggalkan pembaca dengan babak ini;

"Adakah awak ke Amerika sebelum sempat belajar membaca (tulisan Korea)? Mengagumkan. Macam manala agaknya awak berakhir di negara yang jauh dari tempat kelahiran," soal Ae Shin sambil tersenyum.. 

"Adakah awak ingin tahu?," jawab Yoo Jin. Muka serius.

"Saya tertanya-tanya. Mengenai kisah awak yang panjang itu," kata Ae Shin. Manis.

"Selepas saya menceritakan kisah panjang ini, kita akan terpaksa berpisah," balas Yoo Jin. Lebih serius. Dan sedih.

"Apa yang membuatkan awak berkata begitu?," Ae Shin yang berasa pelik.

"Saya tinggalkan Joseon ketika saya berumur 9 tahun. Saya berlari dan terus berlari dan berlari jauh dari Joseon. Sejauh yang mampu saya lari.

Kemudiannya mubaligh Kristian dengan rambut perangnya dan bermata biru, muncul disana bagaikan penyelamat.

Dengan pertolongannya, saya menyelinap masuk ke dalam kapal perang Amerika. Saya fikirkan ia mungkin mengambil masa 10 hari. Tapi rupanya sebulan," jelas Yoo Jin. Kali ini dengan raut wajah yang duka.

"Tapi kenapa budak umur 9 tahun perlu meninggalkan negara (Joseon)?," soal Ae Shin. Jelas gadis itu tidak memahami.

"Bunuh dia. Walaupun membazirkan harta aku (hamba dianggap harta tuannya ketika itu) tapi ini akan memberikan pengajaran kepada hamba-hamba lain. Aku tak akan beranggapan ia satu kerugian. 

Itulah sebabnya.

Itulah, memori terakhir saya tentang Joseon," kata Yoo Jin. Air mata mengalir.

"Siapa yang bercakap macam tu?," tanya Ae Shin.


Eugene Choi & Ae Shin
"Salah seorang bangsawan di Joseon," jawab Yoo Jin dengan pantas.

"Apakah yang mengejutkan awak? Apa yang dikatakan oleh bangsawan itu? Atau, asal usul saya?," soal Yoo Jin.

"Benar. Sewaktu saya di Joseon, saya ialah hamba.

Di negara yang awak bersungguh mahu lindungi, untuk siapakah ia?

Apakah ada nyawa (harapan) untuk pemotong daging?
Apakah ada nyawa (harapan) untuk golongan hamba?," soal Yoo Jin lagi. Kali ini Ae Shin bukan lagi sekadar terkejut. 

Untuk menontonnya anda boleh sahaja ke Netflix atau layari portal-portal yang menawarkan drama Korea secara percuma.

Lihat trailer ini;
 

Related Posts