PUNCA yang menutup rezeki tanpa kita sedari.
Aku rasa, hampir semua orang pernah rasa hidup dalam kesempitan. Terpaksa menahan diri membeli apa yang mereka nak.
Bahkan ada yang mengira duit syiling untuk membeli beras, membayar sewa rumah. Walau pelbagai cara dibuat, walau pelbagai tips diikuti, kadangkala masih tidak dapat keluar dari kesempitan ini.
Lega sekejap, sempit pula yang banyak. Sedangkan tips utama seperti solat sunat dhuha, bersedekah dan menyantuni ibu ayah kita sudah ikuti. Doa minta murah rezeki tidak terkira banyaknya. Apa lagi yang terkurang?
Cuba renung balik. Cuba ingat balik. Apa kita masih punya hutang dengan orang?
Hutang ini salah satu penutup rezeki, kawan-kawan. Tolong ingat dan selit dalam hati kejap-kejap.
Seorang kawan baik aku, pernah terhutang dengan orang lebih RM76k. Orang kirim beli kereta dengan dia, dia bayarkan kat pembekal kereta. Dan pembekal itu membawa lari RM76k duit itu.
Dia sebagai orang tengah tersepit. Niat nak buat sedikit duit dah jadi bebanan yang sangat berat pula. Dia ditipu, dan orang menagih kembali duit dengan dia.
Apa dia lakukan?
Dia tidak lari tuan puan. Gigih dia berusaha, bekerja dalam hujan dan panas terik. Setiap hasil usahanya dibayar hutang kawan-kawan. Hampir dua tahun, akhirnya hutang RM76k itu langsai jua.
"Cikgu, sebaik dapat selesaikan hutang tersebut terasa ringan sangat kepala. Lega sungguh.
Dan benarlah cikgu, bila kita bayar hutang ini rezeki mencurah-curah pula yang masuk," ceritanya pada aku di suatu ketika.
Aku sendiri melihat dan menyaksikan kejayaan demi kejayaan dia perolehi selepas langsainya hutang orang. Dia berjaya menyimpan RM200k kurang dari setahun selepas langsainya hutang tersebut.
Kita ini, hidupnya dalam doa ibubapa, doa orang-orang alim, doa kita dan doa kawan-kawan.
Jadi jangan hairan jika ada yang mendoakan rezeki kita sempit kerana kita liat membayar hutang.
"Harap-harap perniagaan Mamat tu bankrup cepat lah. Hutang aku yang RM50 tu dah bertahun-tahun tak bayar."
"Bukan main melancong sana sini, makan restoran mahal-mahal sedangkan hutang aku tak bayar pun. Aku tak halalkan satu sen pun duit yang kau pinjam."
Kata-kata begini sering bermain di bibir pemberi hutang. Dan jangan lupa, kata-kata itu merupakan satu doa.
Hari demi hari ramai orang mendoakan kejatuhan kita, tidak mustahil ada doa orang teraniaya ini Tuhan makbulkan.
Bukankah Tuhan ada mengatakan, doa orang teraniaya itu tiada hijab?
Maka tidak hairan walau si pemiutang itu kaya, tetapi hidupnya tidak berkat. Anak-anak menjadi nakal dan liar. Hisap dadah, masuk kelab malam dan bersosial hingga sering bertukar pasangan.
Hubungan suami isteri mulai renggang. Pergaduhan dan pertengkaran berlaku dan hidup tidak bahagia. Bahkan ada yang sampai bercerai berai pula.
Ada kemungkinan tiadanya keberkatan dalam hidup. Hanya kerana hutang tidak dilangsaikan. Hanya kerana doa-doa orang yang teraniaya.
Antara satu lubang murahnya rezeki dan berkatnya hidup adalah dengan melangsaikan hutang.
Ada hutang? Cubalah langsaikan secepat mungkin. Kerana kita hidup dalam doa.