Agama Yang Menganjurkan Puasa Sehingga Mati

Oleh : Ahmad Iqram Mohamad Noor

Agama Yang Menganjurkan Puasa Sehingga Mati

Berpuasa sehingga mati bermaksud seseorang itu menahan lapar dan dahaga dari makan atau minum sehingga meninggal dunia. Amalan ini dilihat ada dipraktiskan oleh pengamal agama Jainisme, Hinduisme dan Buddhisme.

Agama Jain

Jainisme adalah sebuah agama kuno yang wujud di India sebelum lahirnya Gautama Buddha. Agama ini diasaskan oleh Nataputta Vardhamana yang hidup sekitar tahun 599-527 SM. Beliau menggelarkan dirinya sebagai ‘Mahavira’ yang bermaksud pahlawan besar. Beliau memperkenalkan aktiviti pertapaan yang ekstrem seperti kerap berpuasa, menghindari harta benda, bertelanjang bulat untuk menghindari rasa malu, dan kerap bertapa. Agama ini tidak tersebar kecuali berada di India sahaja.


Mayat orang melakukan puasa Sallekhana akan diarak dan disanjung oleh penganut Jainisme.
Puasa sehingga mati di dalam agama ini dikenali sebgai Sallekhana atau Santhara. Sallekhana (Sanskrit: Sallikhita) bermaksud untuk 'mengecil', 'mencuci' atau 'melangsingkan' nafsu dan badan melalui secara beransur-ansur dari sebarang makanan dan minuman. Ia digambarkan sebagai "menghadapi mati secara sukarela melalui berpuasa". Bagi orang yang melalui ritual ini, mereka dianggap sebagai 'suci'.

Pada tahun 2015, Mahkamah Tinggi Rajasthan melarang amalan ekstrem itu kerana menganggapnya sebagai bunuh diri. Pada tahun yang sama, Mahkamah Agung India memutuskan supaya keputusan Mahkamah Tinggi Rajasthan ditarik balik larangan ke atas Sallekhana.

Agama Hindu

Ritual ini di dalam Hindu dikenali sebagai Prayopavesa (Sanskrit: secara literal mengakhiri kehidupan melalui berpuasa). Konsepnya hampir sama dengan Sallekhana di dalam Jainisme.




Agama Buddha

Sokushinbutsu adalah istilah di dalam bahasa Jepun nama kepada sejenis mumia sami Buddha. Istilah ini merujuk kepada praktis sami Buddha yang melalui jalan keperitan dalam agama (ritual ekstrem) hingga ke menemui ajal, salah satu adalah dengan berpuasa.

 
Mumia seorang sami dari Thailand yang telah melalui ritual Sukoshinbutsu.
Menurut Paul Williams, amalan Sokushinbutsu ini dimulai oleh sami Kukai – (pengasas Buddhisme Shingon: aliranVajrayana di Jepun), yang mengakhiri hidupnya dengan mengurangkan dan kemudian menghentikan pengambilan makanan dan minuman, sambil terus bermeditasi dan menyanyikan mantera Buddha.

Kesimpulan

Di dalam Islam terdapat banyak amalan berpuasa atau disebut sebagai ‘Shaum’ (صوم) dan jamaknya adalah ‘Shiam’ (صيام). Akan tetapi, Islam melarang umatnya dari bertindak melampaui batas seperti berpuasa dan tidak berbuka. Berlaku pada zaman nabi di sebut sebuah hadis:

Dari Anas ia berkata, “Ada tiga orang mendatangi rumah isteri Nabi untuk bertanya tentang ibadah baginda. Lalu setelah mereka diberitahukan (tentang ibadah baginda), mereka menganggap ibadah mereka itu sedikit sekali. Mereka berkata, “Kita ini tidak ada apa-apanya dibandingkan dengan Nabi SAW! Baginda telah diberikan keampunan atas semua dosa-dosanya baik yang telah terdahulu mahupun yang akan datang.” Salah seorang dari mereka mengatakan, “Aku akan solat malam selama-lamanya.” Lalu seorang lagi mengatakan, “Aku akan PUASA TERUS MENERUS TANPA BERBUKA.” Kemudian yang lainnya lagi berkata, “Saya akan menjauhi wanita, saya tidak akan menikah selamanya.”

Kemudian, Rasulullah mendatangi mereka dan bersabda, “Benarkah kalian yang telah berkata begini dan begitu? Demi Allah! Sesungguhnya aku adalah orang yang paling takut kepada Allah dan paling taqwa kepada-Nya di antara kalian. Akan tetapi AKU BERPUASA DAN AKU JUGA BERBUKA (tidak puasa), aku solat (malam) dan aku juga tidur, dan aku juga menikahi wanita. Maka, barangsiapa yang tidak menyukai sunnahku, maka ia tidak termasuk golonganku.” (al-Bukhari: 5063)

Di dalam Islam membunuh diri adalah suatu perbuatan yang haram dan ditegah di dalam agama. Allah menyebut di dalam al Quran yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”(Surah al-Baqarah: 195)

Dan dalam sebuah hadis nabi menyebut yang bermaksud:

“Sesiapa yang membunuh diri dengan sesuatu cara, pada hari kiamat kelak dia akan diseksa dengan cara seperti itu pula.” al-Bukhari (6047)

Di samping Islam menuntun hawa nafsu manusia, Islam juga melarang sebarang sikap yang melampau di dalam beragama. Agama Islam itu berdiri di atas apa yang diajar oleh Allah dan Rasul.

Related Posts