Muhyiddin Dedah Rahsia - Putrajaya Pernah Dicadang Untuk Luluskan Suntikan Dana 3 Billion Kepada 1MDB.


Memetik berita dari portal pro pembangkang, The Malaysian Insider melaporkan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan Putrajaya pernah cuba meluluskan suntikan dana sebanyak RM3 bilion untuk syarikat pelaburan strategik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas timbalan perdana menteri itu berkata, tindakan itu bagaimanapun gagal apabila Jemaah Menteri menolak cadangan berkenaan.

"Selepas pinjam (dari) T Anandha Krishnan RM2 bilion, nak pinjam lagi RM3 bilion. Berapa bilion kita nak pinjam ni?" soal Muhyiddin merujuk kepada RM2 bilion yang dipinjamkan hartawan itu bagi membantu 1MDB menyelesaikan hutang banknya.

"Berniaga apa macam ini, pinjam atas pinjam," katanya ketika berucap pada program Bicara Minda dan Sesi Dialog bertajuk 'Berani kerana benar' anjuran akhbar Sinar Harian di Johor Baru hari ini.


Julung-julung kali bercakap di hadapan umum selepas pemecatannya pada Julai selain platform parti, Muhyiddin yang juga timbalan presiden Umno berkata, syarikat itu kemudiannya hanya diberikan kredit tersedia sebanyak RM950 juta.

"Bila timbul hal begini, bila dibangkitkan kepada jemaah menteri, mulalah saya bangkitkan, saya nyatakan pandangan dan kebimbangan saya.

"Saya sebutkan berkali-kali, saya tidak ada niat jahat. Kerana nak membantu, supaya perdana menteri mencari jalan nak selesaikan keadaan itu. Kalau tidak, jadi beban kepada kita," katanya.

"Saya tidak pernah mendoakan 1MDB jatuh. Kalau mereka jatuh, kita akan jatuh... Pandangan saya ikhlas."

Beliau berkata, setiap pinjaman yang dipinjam dari bank oleh 1MDB akan menjadi beban kepada kerajaan dan menjadi tanggungan kepada generasi akan datang.

"Ini serius. Setiap pinjaman dari bank akan jadi tanggungan beban kerajaan. Dan kita terbeban kepada rakyat, anak cucu kita, yang akan menanggungnya kalau tidak diselesaikan," kata ahli Parlimen Pagoh itu lagi.

Beliau turut mendedahkan, pihaknya turut membuat permohonan kepada Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy supaya memberikan penjelasan kepada Kabinet, namun penerangan yang diberikannya agak mengecewakan.

"Saya minta kepada jemaah menteri, panggil Arul Kanda, berikan penerangan. Tetapi, beliau datang tidak bawa apa-apa pun.

"Bercakap dalam 10 hingga 15 minit. Sehelai kertas pun tiada," kata Muhyiddin.

The Malaysian Insider pada Februari tahun ini mendedahkan Kabinet tidak meluluskan cadangan untuk memberikan suntikan tunai sebanyak RM3 bilion kepada 1MDB.

Sumber berkata, pilihan semakin sempit untuk Kementerian Kewangan kerana 1MDB tidak lagi mampu mengumpul dana sendiri dan ia memerlukan wang daripada satu-satunya pemegang saham, iaitu kerajaan.

Dalam program hari ini, Muhyiddin berkata, pihaknya juga pernah menasihati Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya memecat mana-mana pegawai 1MDB yang gagal melaksanakan tugas mereka sehingga menyusahkan kerajaan.

"Saya cakap dengan perdana menteri, kalau 1MDB ini beri masalah, buang mereka. Sampai hari ini mereka tidak dibuang, saya yang kena buang," katanya.

Muhyiddin juga mendakwa, turut menasihati Najib supaya tidak lagi menjadi penasihat kepada 1MDB kerana sekiranya salah laku dikesan dalam transaksi syarikat itu, beliau akan turut menerima kesannya.

"Saya rasa itu tidak betul. Saya kata jangan duduk situ. Kalau ada apa-apa salah laku, (Najib) akan terlibat.

"Tapi dia duduk situ, macam mana nak siasat?" soalnya merujuk kedudukan Najib sebagai pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

Related Posts