Kalau Kita Panggil Lagi Saksi Pakar, Takut Terdedah Lagi Aset Defendan - Peguam Bekas Isteri Anak Taib Mahmud.

 
Permohonan mutaah RM100 juta Shahnaz A Majid terhadap bekas suaminya Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib "tidak aneh atau berlebihan" memandangkan anak bekas ketua menteri Sarawak itu mampu membayarnya, kata peguam Akbardin Abdul Kader.

Akbardin berkata, penyata kad kredit yang dipersembahkan kepada mahkamah dengan sesetengah perbelanjaan bulanan mencecah ratusan ribu ringgit serta kemudahan kredit tanpa had yang dinikmati Bekir menyokong permohonan tersebut.

"Beliau sendiri mengaku pegangan sahamnya dalam Cahaya Mata Sarawak mencukupi bagi membayar tuntutan itu," kata Akbardin yang mewakili Shahnaz di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan pagi ini, memetik laporan The Malaysian Insider.
 
Katanya, mahkamah sebelum ini juga diberitahu aset bersih Bekir bernilai di antara RM916 juta sehingga RM1.334 bilion.
 
Akbardin berkata, penilaian harta Bekir yang dibuat akauntan bertauliah Andrew Heng daripada firma Ferrier Hodgson juga tidak pernah dibidas peguam Bekir sepanjang perbicaraan berlangsung.

Sementara itu, seorang lagi peguam Shahnaz, Rafie Mohd Shafie berkata beliau percaya Bekir tidak memanggil saksi pakar lain untuk membidas penilaian yang dilakukan pihak bekas isterinya kerana risau mungkin lebih banyak hartanya akan diketahui orang ramai.

"Kalau kita panggil lagi saksi pakar, takut terdedah lagi aset defendan Yang Arif.

"Sebab itu mereka tidak berani panggil saksi pakar," katanya kepada Hakim Muhammad Abdul Karim Wahab, tambah laporan itu lagi.

Shahnaz, sebelum ini telah memohon mutaah sebanyak RM100 juta susulan perceraiannya dan menuntut harta sepencarian sebanyak RM300 juta.

Beliau turut menuntut RM121 juta bayaran nafkah anak mereka yang berusia 21 tahun.

Shahnaz dan Bekir bernikah pada 1992 namun tinggal berasingan sejak 1999 dan bercerai pada Mei 2011.

Peguam syariah Datuk Seri Zainul Rijal Abu Bakar dan Saadiah Din mewakili Bekir. Kes berkenaan mendapat liputan meluas ramai pihak memandangkan Taib Mahmud adalah bekas Ketua Menteri Sarawak dan nilai aset-asetnya sering dipersoalkan umum.

Related Posts