Kementerian Luluskan Dana 1.5 Juta Untuk Baiki SK Tohoi.


Kementerian Pendidikan meluluskan peruntukan segera sebanyak RM1.5 juta bagi membaik pulih kemudahan infranstruktur Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi di sini.

Anggota Dewan Udangan Negeri (ADUN) Nenggiri Datuk Mat Yusoff Ab Ghani berkata ia bagi menjamin keselamatan murid di sekolah berkenaan berikutan insiden kehilangan tujuh murid Orang Asli, Ogos lepas.

"Kerja-kerja membaik pulih kemudahan dan infrastruktur sekolah itu termasuk pembinaan pagar baharu berjalan lancar dan dijangka siap sepenuhnya tahun depan.

"Kerajaan tidak mahu kejadian kehilangan murid berulang lagi selepas ini dan mengambil langkah bagi mengatasi masalah yang dihadapi di sekolah itu supaya keselamatan lebih terjamin," katanya kepada pemberita selepas melawat sekolah berkenaan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mat Yusoff mengakui kehadiran murid sekolah itu masih berada pada tahap tidak memuaskan kerana hanya 116 daripada 225 murid Orang Asli yang hadir ke sekolah pada masa ini.

"Ia disebabkan halangan oleh segelintir ibu bapa di Kampung Penad, Gawin, Simpor dan Rekom yang tidak tidak mahu menghantar anak mereka ke sekolah kerana faktor keselamatan.

"Mereka sepatutnya melupakan kejadian berkenaan dan tidak perlu bimbang dengan keadaan keselamatan anak mereka yang kini dijaga dengan baik," katanya.

Beliau berkata, beberapa program motivasi melibatkan ibu bapa murid di SK Tohoi akan dilakukan supaya mereka kembali yakin untuk menghantar anak mereka ke sekolah pada tahun depan.

Dalam kejadian 23 Ogos lepas, tujuh murid Orang Asli SK Tohoi bertindak melarikan diri bagi mengelak dikenakan hukuman kerana mandi di sungai.

Selepas hampir 50 hari hilang dalam hutan, empat daripada mereka iaitu Ika Ayel, 9; Haikal Yaacob, 8; Linda Rosli, 8; dan Juvina David, 7; ditemui mati.

Sementara, dua lagi kanak-kanak iaitu Miksudiar Aluj, 11, dan Norieen Yaacob, 10, ditemui selamat dalam keadaan kelaparan serta mengalami dehidrasi lapor BERNAMA.

Related Posts