Memperingati 15 Mei - Sejarah Hari Nakba.

Oleh : Sosialis
15 Mei adalah Hari Nakba. Nakba membawa maksud kehancuran ataupun malapetaka. Hari Nakba adalah hari untuk memperingati sejarah pedih rakyat bangsa Palestin yang diusir keluar dari kampung halaman mereka pada tahun 1948.
Pada 14 Mei 1948, negara Israel ditubuhkan. Tetapi penubuhan Israel yang didorong oleh fahaman zionis yang bersifat perkauman dengan sokongan daripada kuasa imperialis Barat, telah mengundang malapetaka kepada rakyat Arab yang tinggal di atas tanah Palestin.
Pada 29 November 1947, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah meluluskan resolusi 181(II) yang membahagikan Palestin kepada 2 buah negara (sebuah negara bermajoriti orang Arab dan sebuah negara bermajoriti orang Yahudi) dan bandar Jerussalem (Baitulmuqaddis) diletakkan di bawah pentadbiran antarabangsa khas PBB, selepas tamatnya pemerintahan British di situ.
Ketegangan dan konflik telah wujud antara orang Arab dan orang Yahudi di Palestin, sejak berlakunya penghijrahan besar-besaran orang Yahudi ke situ selepas Deklarasi Balfour pada tahun 1917 dan juga pengwujudan Mandat Palestin di bawah penguasaan British pada tahun 1920. Dasar penjajahan British ditentang oleh kedua-dua pihak orang Arab dan orang Yahudi. Penentangan orang Arab telah mencetuskan Pemberontakan Arab di Palestin pada tahun 1936-1939, manakala orang Yahudi pula mengangkat senjata untuk memberontak pada tahun 1944-1947. Ketegangan yang berterusan tersebut akhirnya mencetuskan perang saudara antara orang Arab dengan orang Yahudi selepas Resolusi 181(II) PBB yang dibuat mengikut kehendak kuasa imperialis Barat. Golongan Zionis telah mengisytihar penubuhan negara Israel pada 14 Mei 1948. Ini kemudian diikuti dengan pengusiran rakyat Palestin berbangsa Arab dari tanah Pelestin dan juga kehancuran peperangan.
Pengusiran dan perampasan tanah rakyat Palestin oleh Israel ini dikenali sebagai “Nakba”.
Semasa Perang Palestin pada tahun 1948, seramai 700,000 orang rakyat Palestin telah diusir atau terpaksa melarikan diri dari kampung halamanan mereka. Ratusan pekan dan kampung rakyat Palestin telah dikosongkan dan dimusnahkan. Hari ini, pelarian Palestin ini dan generasi selepasnya telah bertaburan di negara-negara jiran seperti Jordan (2 juta orang), Lubnan (lebih 400 ribu), Syria (lebih 470 ribu), dan juga wilayah negara Palestin sekarang, iaitu Tebing Barat (lebih 700 ribu) dan Genting Gaza (lebih 1 juta).
Hari Nakba disambut pada 15 Mei setiap tahun, sehari selepas “Hari Kemerdekaan Israel” mengikut calendar Gregorian, bagi memperingati kehancuran yang dibawa negara Israel kepada rakyat Palestin.
Seawal tahun 1949, iaitu setahun selepas penubuhan negara Israel, 15 Mei disambut di beberapa bandar di Tebing Barat (yang berada di bawah penguasaan Jordan pada masa itu) dengan demonstrasi, mogok, pengibaran bendera hitam dan kunjungan ke kubur mereka yang terbunuh dalam Perang 1948. Sejak itu, 15 Mei menjadi hari untuk bersolidariti dengan rakyat Palestin yang dimangsakan Zionis Israel. 15 Mei biasanya disambut dengan aktiviti seperti berkabung untuk mereka yang mati akibat kekejaman rejim Zionis Israel, mengibarkan bendera Palestin, aksi demonstrasi menyokong perjuangan rakyat Palestin dan sebagainya.
Perjuangan rakyat Palestin membebaskan diri daripada kekejaman pemerintahan Zionis Israel, merupakan satu perjuangan pembebasan nasional yang hebat dalam menentang kekuasaan sebuah rejim bersifat rasis yang disokong oleh kuasa imperialis besar. Perjuangan ini masih berterusan sehingga hari ini. Perjuangan pembebasan rakyat Palestin telah menjadi inspirasi kepada rakyat seluruh dunia untuk bangkit melawan segala bentuk kezaliman dan penindasan.
Bebas Palestin! Hidup Palestin!

Related Posts