Bahaya Benjamin Netanyahu Yang Umat Islam Patut Tahu.

Oleh : Ayman Rashdan Wong

KHUTBAH ALTERNATIF: BREAKING BENJAMIN



Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian, 

Dalam masa 10 hari lagi, maka genaplah 50 tahun peristiwa Perang Enam Hari yang merupakan titik hitam paling besar dalam sejarah moden umat Islam. Dalam perang tersebut, Israel menewaskan pakatan Mesir-Jordan-Syria, sekali gus merampas Baitul Maqdis dan Masjid Al-Aqsa. 

Sehingga hari ini, konflik Israel-Palestin masih belum selesai. Selagi ia tidak diselesaikan, selagi itu akan ada umat Islam yang sengsara. Malah keadaan bertambah rumit dengan kemunculan golongan ekstremis yang menunggang nama perjuangan Palestin. Masa depan umat Palestin semakin gelap, seolah-olah tiada cahaya dan pengharapan.

Kini, umat perlu berdepan dengan musuh yang bertambah licik. Benjamin Netanyahu mempunyai kelebihan boleh berkawan dengan semua orang, semua diklaim sebagai "best friend". Trump dia sapu, Putin pun dia sapu. Di sebalik muka tembok Netanyahu, terdapat rancangan jahat untuk memulaukan Palestin di peringkat antarabangsa.

Dari segi pengiktirafan antarabangsa, Palestin masih di belakang Israel: dari 193 negara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN), Israel diiktiraf oleh 161 negara, Palestin diiktiraf oleh 137 negara. 

Mengapa lebih ramai yang menyokong Israel? Adakah Israel guna sihir? Santau? Jin? Atau Freemason?

Tidak. Walaupun komuniti antarabangsa menyokong Palestin atas dasar kemanusiaan ("humanitarianism"), namun Israel menawarkan kepentingan ("interest") dan faedah ("benefit"). Melalui diplomasi, Israel telah menyakinkan negara-negara di dunia ini bahawa adalah "berbaloi" untuk menyokong mereka. 

Di Amerika ada pelobi Israel ("Israel Lobby"), mereka merupakan kumpulan pendesak yang melobi kerajaan Amerika agar sentiasa menyokong Israel. Selain mengguna wang, mereka juga membina jaringan ("networking") interpersonal. Warga Israel belajar di universiti terkemuka dan bekerja di syarikat multinasional untuk membina jaringan tersebut dari peringkat awal. Netanyahu sendiri merupakan bekas pelajar Harvard dan MITI dan bekas pekerja firma Boston Consulting Group yang telah melahirkan ramai pemimpin dunia. 

Jadi, di sektor kerajaan, tentera, korporat, media dan akademi di Amerika, sentiasa ada pihak yang bercakap untuk kepentingan Israel. Jika terdapat presiden yang tidak menyokong Israel, misalnya George H.W. Bush (1989-1992), maka mereka akan memobilisasi segala jentera untuk menewaskannya (Bush dapat 11% undian Yahudi manakala Clinton dapat 80% semasa pilihanraya 1992). Maka, untuk menjaga kepentingan diri, presiden Amerika tiada pilihan selain memberi sokongan padu kepada Israel.

Jika dibandingkan, diplomasi umat Islam teramatlah lemah. Negara-Negara Teluk cuba wujudkan "Arab Lobby", namun tidak berkesan. Mereka bergantung kepada wang semata-mata, tidak pandai membina jaringan seperti Israel. Apabila Arab tidak lagi kaya raya, pengaruh mereka pun berkurangan. 

Israel juga tidak menaruh harapan sepenuhnya kepada Amerika. Mereka sedar dunia sentiasa berubah, jadi lebih baik sediakan payung sebelum hujan. Maka Netanyahu mendekati Rusia dan China, dua kuasa besar yang menyokong Palestin. Netanyahu kini cuba menarik Rusia dan China ke sebelahnya. Jika tidak berhati-hati, Palestin akan hilang sokongan semua kuasa besar di Majlis Keselamatan UN.  

Mimbar bukan menyuruh kalian untuk mengagumi Israel atau Yahudi. Mimbar cuma ingin mengingati tentang realiti politik antarabangsa. Suka atau tidak, kita tidak mampu mencapai kejayaan tanpa kekuatan diplomasi. Tiada siapa yang mampu "lawan semua", termasuk Hitler. Kita perlu belajar dari Salahuddin Al-Ayyubi dan sultan-sultan Khilafah Uthmaniyyah. Mereka tidak hanya berjaya mengguna kekuatan semata-mata, malah juga melalui seni diplomasi.

Mimbar cukup kesal dan muak dengan tuduhan "jual negara" dan "jual agama" yang dilemparkan ke atas pemimpin orang Islam yang menjalin hubungan dengan kuasa besar. Tidakkah kita sedar kepentingan jaringan untuk tujuan masa depan? Adakah kita mahu hilang semua "leverage" yang kita ada? 

Umat kita perlu kurangkan emosi dan banyakkan strategi. Kita memerlukan diplomasi ofensif yang boleh mematahkan ("break") pelan jahat si Benjamin Netanyahu. Untuk berbuat demikian, kita perlu menonjolkan kepentingan kita untuk menarik sokongan. Kita tidak boleh mengharapkan simpati sentiasa. kita perlu menjalin hubungan dengan kuasa-kuasa besar untuk mewujudkan imbangan kuasa ("balance of power") yang memihak kepada kita. 

Hanya sampai masa itu, baru kemenangan akan tiba. 

(#KhutbahAlternatif terakhir sebelum Ramadhan 1438H)

Related Posts