Sejarah Di Sebalik Lagu "Selamat Hari Raya".

SEJARAH DI SEBALIK LAGU "SELAMAT HARI RAYA".
Setiap kali menjelang Aidilfitri sudah pasti akan kedengaran lagu-lagu Raya berkumandang di corong-corong radio. Antara lagu yang sering dimainkan ialah lagu klasik "Selamat Hari Raya" yang dipopularkan oleh Ahmad Jais.
Gambar - Pusat Sejarah Negara
Tahukah kamu lagu ini telah dicipta oleh P. Ramlee dan Jamil Sulong pada tahun 1957 untuk menyokong perjuangan pekerja-pekerja filem yang mogok pada Hari Raya tahun itu?
P. Ramlee dan Jamil Sulong yang kita kenali sebagai pelakon dan pengarah filem-filem Melayu klasik juga merupakan pemimpin kesatuan pekerja-pekerja filem Malayan Artistes' Union yang dikenali dengan nama PERSAMA (Persatuan Artis Malaya).
Pada bulan Mac dan April 1957, pekerja-pekerja studio filem MFP (Malay Film Productions) milik Shaw Brothers telah melancarkan mogok untuk menuntut gaji yang lebih berpatutan. Mogok mereka telah berlarutan sehingga Hari Raya yang jatuh pada 1 Mei 1957.
Salah satu aktiviti yang telah dijalankan oleh PERSAMA ialah menganjurkan konsert amal untuk mengutip dana bagi membantu perjuangan pekerja-pekerja yang sedang mogok.
Sempena Hari Raya tahun itu, P. Ramlee dan Jamil Sulong telah menggubah sebuah lagu Raya baru untuk dinyanyikan semasa konsert amal tersebut.
Menurut penulis liriknya, Jamil Sulong:
"Lagu "Selamat Hari Raya" ditulis khas untuk Persatuan Artis Malaya atau PERSAMA. Lirik lagu ini saya tulis dalam masa 10 minit sahaja. 
Kisahnya, ketika itu artis dan pekerja di Studio MFP Jalan Ampas mengadakan mogok. Jadi, dalam majlis sambutan Aidilfitri tahun itu, kerana mahu memungut dana persatuan, PERSAMA mengadakan pertunjukan pentas di Taman Hiburan Happy World. 
Sedang saya menolong kawan-kawan membuat persiapan, P. Ramlee datang menyerahkan sekeping kertas yang ada nota suku kata sebuah lagu dan menerangkan bahawa nota itu untuk lagu pembukaan pertunjukkan pada malam itu dan saya mesti menyiapkannya sebelum pertunjukkan bermula. Keadaan memaksa, maka saya menyiapkan lirik lagu itu dalam waktu singkat. Hinggalah kini lagu ini masih berkumandang pada setiap kali Hari Raya menjelma."
Sumber: Akhbar The Straits Times dan http://datukjamilsulong.blogspot.com

Related Posts