Pengisahan Sejarah Kelantan : Sultan Adiluddin / Raja Loyor (1579-1597 / 1602-1605).

Oleh : Persatuan Pencinta Sejarah Kelantan


PENDAHULUAN
 
Sultan Adiluddin yang juga dikenali Raja Loyor sebenarnya adalah Datu Kelantan bagi pihak Patani menggantikan bapanya Nik Jamaluddin bin Wan Abul Muzaafar. Dominasi beliau dalam sejarah Kelantan adalah kuat. Hal ini dapat dilihat pada tahun 1579 beliau juga digelar sebagai Raja Kelantan sedangkan pada masa yang sama Paduka Sri Sultan Ibrahim sedang bertakhta buat kali yang kedua yang bermula pada 1570.

Selain itu, semasa pemerintahan Paduka Sri Sultan Ibrahim juga, ibu saudaranya Paduka Che' Siti binti alMarhum Sultan Ahmad Syah telah dilantik sebagai Pemangku Raja dengan gelaran Paduka Sultan pada 1585 serentak dengan itu beliau telah memakai gelar nama sebagai [Chik Wan Kembang]. Beliau mempunyai suami yang bernama Sri Paduka Sultan Husain ibni alMarhum Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Syah. 

Jelas disini semasa pemerintahan Paduka Sri Sultan Ibrahim, di Kelantan terdapat tiga City States iaitu:
  • Pemerintahan Kesultanan Kelantan (Dinasti Chermin) di ketuai oleh Sultan Ibrahim
  • Pemerintahan Datu Kelantan (bagi pihak Patani) di ketuai oleh Raja Loyor
  • Pemerintahan Paduka Cik Siti [Chik Wan Kembang]

3 KERAJAAN DALAM 1 MASA
 
Sejarah Kelantan dan Patani menghadapi kekeliruan dan kesamaran pada era ini. Terutama sejarah di Patani, kerana Raja Loyor disebut sebagai anak Raja Sakti ditambah pula kekeliruan kisah lagenda Che Siti Wan Kembang. Kekeliruan ini juga telah menenggelamkan pemerintah lain, selain itu kisah Che Siti Wan Kembang dan Puteri Saadong juga menambahkan kecelaruan fakta. Justeru, kami cuba memperincikan mengikut kronologi berkenaan tahun pemerintahan setiap City States di Kelantan.
Sekadar Hiasan

Pemerintahan Sultan Ibrahim

Kelantan pada era pemerintahan beliau telah mengalami pasang surut dengan drastik. Beliau telah ditabalkan sebagai Raja Kelantan pada 1561, setelah kemangkatan bapanya Sultan Mansur (1547-1541). Ketika ini juga berlaku pergolakkan politik serantau terutama perkembangan Kerajaan Persekutuan yang baru selain daripada Patani Besar iaitu Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga. Kerajaan ini pada waktu itu sedang berusaha untuk memulihkan kuasa pemerintahan Empayar Melayu daripada ancaman Portugis dan Belanda. Justeru, tidak menghairankan Sultan Ibrahim memberi laluan kepada Raja Umar pada 1565 untuk menaiki takhta Kelantan. Raja Umar ini mempunyai pertalian darah dengan kerabat Kelantan yang lain kerana mereka adalah warisan daripada Sultan Mansur Syah (1467-1521). Berkemungkinan besar, pertabalan Raja Umar ini sebagai satu langkah untuk mengembalikan kegemilangan Kelantan kerana ia pernah bernaung di bawah Empayar Melayu Melaka setelah Kelantan akur dengan kehebatan angkatan Melaka pada 1499, sementelahan, Raja Umar adalah adik beradik kepada Sultan Alauddin Riayat Syah, Sultan Johor yang ke-3.

5 tahun, Raja Umar memerintah Kelantan. Pengagihan kuasa antara Kelantan dan Patani juga mengalami perubahan. Semasa pemerintahan Raja Umar, Raja Loyor bin Nik Jamaluddin telah menggantikan tempat bapanya sebagai Datu Kelantan pemerintah bagi pihak Kesultanan Patani. Pada tahun 1570, Raja Umar telah turun dari takhta Kelantan ekoran anakandanya Raja Abdul Jalil telah ditabal sebagai Sultan Johor yang ke-4 dan beliau telah dilantik sebagai Tengku Mahkota Johor.

1570-1597, Sultan Ibrahim telah ditabalkan semula sebagai Sultan Kelantan, bagaimanapuan tercatat pada 1579, Raja Loyor telah ditabalkan sebagai Raja Kelantan dengan gelaran Sultan Adiluddin. Kemudian pada 1585, Paduka Che' Siti [Chik Wan Kembang] telah ditabalkan sebagai Pemangku Raja Kelantan dengan gelaran Sri Paduka Sultan. 

Pemerintahan Sultan Adiluddin / Raja Loyor (Datu Kelantan)

Beliau merupakan anak kepada Nik Jamaluddin bin Wan Abul Muzzafar yang dilantik oleh Sultan Muhammad Syah / Phya Tu Intira, Sultan Patani sebagai Datu Kelantan yang memerintah bersama-sama Sultan Kelantan (Sultan Mansur Syah) pada 1520 manaka bapa saudara beliau Nik Mustaffa sebagai Datu Jambu.

Pada 1577, beliau telah membantu ekspedisi bapa saudaranya itu untuk melancarkan serangan balas terhadap kedudukan tentera Annam yang telah menyerang Champa. Sultan Adiluddin (Raja Loyor) telah menghantar sejumlah 5,000 perajurit dari Kelantan dalam ekspedisi tersebut. Ekspedisi serangan balas ini telah berjaya mengahalau tentera Annam dan bala tentera Nik Mustaffa itu juga telah menyerang Kota Hue, ibu negeri Annam itu. Kejayaan ini telah menyebabkan Nik Mustaffa ditabal sebagai Raja Champa dengan gelaran Sultan Abdul Hamid Syah.

Dipercayai juga sekembali Raja Loyor dari ekspedisi tersebut beliau telah dilantik sebagai Raja Kelantan dengan sokongan Kesultanan Patani pada 1579. Justeru, beliau telah memerintah bersama-sama dengan Sultan Ibrahim.

Raja Loyor ini mempunyai seorang adik iaitu Raja Ekok, mereka sama-sama tinggal di Kelantan. Bagaimanapun Raja Loyor tidak mempunyai putera, beliau hanya dikurniakan dua orang puteri iaitu:
  • Puteri Dalula
  • Puteri Mariam (Puteri Saadong III)
Rasminya, Sultan Adiluddin (Raja Loyor) ini memerintahkan Kelantan dengan penuh kedaulatan bermula pada 1579 sehingga Sultan Ibrahim mangkat pada 1597. Takhta Kelantan telah diganti oleh putera Sultan Ibrahim iaitu Sultan Muhammad. Namun beliau hanya memerintah lima tahun sahaja iaitu dari 1597-1602 seterusnya menamatkan Pemerintah Kelantan dari Dinasti Chermin. Ia kemudian digantikan oleh Sultan Adiluddin yang ditabal buat kali kedua pada 1602 dan beliau telah mangkat tanpa berputera pada 1605.

Kemudian, takhta Raja Kelantan telah digantikan oleh adiknya iaitu Raja Ekok dengan dimasyhurkan sebagai Sultan Samiruddin dari 1605-1616 ekoran beliau mangkat tidak berputera. Puteri Dalula telah dijodohkan dengan Pemangku Raja Champa manakala Puteri Mariam yang dikenali sebagai Puteri Saadong III telah dikahwinkan dengan sepupunya Raja Abdullah anak Raja Ekok.
Raja Abdullah adalah Putera kepada Sultan Samiruddin adik kepada Sultan Adiluddin

Pemerintahan Paduka Che' Siti [Chik Wan Kembang]

Beliau adalah puteri kepada Sultan Ahmad Syah, Raja Kelantan 1526-1547. Royal Ark.net menyatakan beliau telah berkahwin dengan Sri Paduka Sultan Husain ibni alMarhum Paduka Sri Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Syah. Sultan Husain merupakan anak kelima kepada Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Syah, Sultan Johor ke-5. Beliau sebenarnya mempunyai kembar iaitu Raja Hassan yang telah dilantik sebagai Raja Siak.

Dicatat dalam sejarah bahawa pada 1585, Paduka Che' Siti telah ditabal sebagai Pemangku Raja dengan gelaran Sri Paduka Sultan dan suaminya secara automatik diberi gelaran Sultan yang dikenali sebagai Sultan Hussien. Pertabalan Paduka Che' Siti ini dilihat sebagai usaha Patani dan Kelantan untuk menjalinkan hubungan yang lebih erat dengan kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga dalam usaha mereka untuk mengekang pengaruh orang-orang kafir (Ayuthya-Diaviet-Portugis-Belanda-Sepanyol) yang sedang meluaskan kuasa ke Alam Nusantara. Pemerintahan Paduka Che Siti dicatat berakhir pada 1610.

Mereka memerintah di Selatan Kelantan. Paduka Che' Siti adalah lagenda ulung dalam sejarah Kelantan, dan pada masa sekarang pengkaji sejarah kotemporari mengenal beliau sebagai Che Siti Wan Kembang II (CSWKII) berikut gelaran yang dipakai oleh beliau. Kita tidak diragui akan ketokohan Che Siti Wan Kembang (CSWK) yang nama lainnya Adruja Wijayamala yang merupakan puteri kepada Sang Tawal, Raja Garhi (Langkasuka). CSWK adalah gelaran Dewi Durga atau Adruja Wijayamala Singha setelah diberi kawasan dan diberi kedaulatan untuk memerintah Selatan Kelantan. Beliau disebut bersemayam di Gunung Chintawangsa pada 1318-1348.

Perbezaan masa antara CSWK dengan CSWK II adalah lebih kurang 267 tahun. Kerana kekeliruan dan kesamaran dalam mentafsir maklumat sejarah, kisah kedua tokoh ini telah bercampur aduk hingga ramai mengambil keputusan untuk mempercayai bahawa CSWK hidup sehingga kini dan ia telah dianggap sekadar mitos malah ada yang anggap ia adalah cerita dongeng orang Kelantan. Sedangkan mereka berdua mempunyai kisah yang tersendiri serta menarik untuk kita ketahui.

Dinyatakan bahawa Che Siti telah mengambil anak Raja Loyor iaitu Puteri Mariam yang dikenali sebagai Puteri Saadong III sebagai anak angkat beliau. Kisah Puteri Saadong inilah yang kita ketahui menjadi idaman Raja Siam kerana kecantikannya. Puteri Saadong ini telah dikahwinkan dengan Raja Abdullah, perkahwinan ini jelas untuk mengurangkan gangguan dari Siam itu. Setelah berkahwin, Che Siti bersama-sama Puteri Saadong dan Raja Abdullah membuka satu penempatan di Chetok dalam jajahan Pasir Mas.

Penempatan ini tidak lama kerana ia telah diketahui oleh Siam dan menghantar angkatan tenteranya untuk menawan Puteri Saadong. Usaha tersebut tidak berjaya, namun Che Siti disebut telah mengambil keputusan kembali ke Selatan Kelantan dan Raja Abdullah bersama-sama Puteri Saadong berpindah ke Bukit Marak. Siam tidak pernah berputus asa, dan menyerang kedudukan Puteri Saadong dan Raja Abdullah di Bukit Marak, untuk mengelakkan pertumpahan darah, Puteri Saadong telah sukarela menyerah diri. Berpisahlah pasangan suami dan isteri itu. Raja Abdullah adalah anak kepada Sultan Samiruddin adik kepada Sultan Adiluddin ini. Jelasnya Puteri Saadong ini berkahwin dengan sepupunya. Kami tinggalkan sumpah Puteri Saadong kerana kekecewaan beliau :
Kutinggalkan rakyat, kutinggalkan negeri, kutinggalkan harta, kutinggalkan segala. Merajuk diriku sehelai sepinggang, lalu berlabuh di tempat asalku, di mana bumi ku pijak, di situ langit kujunjung, aku bersumpah tak lagi ku injak negeri Kelantan sehingga cukup tujuh keturunan.
Semasa penulisan artikel ini, kami tidak dapat mengesan keturunan Che Siti bersama Sultan Husain mungkin ia tersimpan dalam jurai keturunan seterusnya. Namun, ini adalah kisah yang sepatutnya kita ketahui selain daripada kisah kesaktian yang telah kita sedia tahu sebelum ini. Satu pengisahan khusus akan kami terbitkan untuk mencerahkan kisah mengenai Che Siti Wan Kembang dengan Paduka Che' Siti [Chik Wan Kembang].
 
KESIMPULAN
 
Sewaktu pemerintahan Sultan Adiluddin (1579-1597 & 1602-1605), Kelantan mempunyai 2 Kerajaan yang lain iaitu pemerintahan Sultan Muhammad Syah (1597-1602) dan Paduka Che Siti [Chik Wan Kembang] 1585-1610. Antara ketiga-tiga pemerintahan ini, Kerajaan dibawah pimpinan Sultan Adiluddin yang paling dominan dan keturunan beliau yang memerintah Kelantan selepas itu. Semasa pemerintahan beliaulah, tertubuhnya Kota Jembal yang sering menjadi sebutan pada masa sekarang.

Related Posts