Chicago Typewriter - Satu Ulasan.

Menarik, berbeza dan ada kelainan yang ketara daripada drama-drama cinta Korea yang kebiasaannya. Nampak gayanya untuk tahun ini, ramai penerbit dan pengarah Korea S cuba mencipta pelbagai kelainan dan pembaharuan menerusi drama-drama terbitan mereka. 

Ia mengisahkan tentang watak Han Se Ju, seorang penulis atau novelis yang popular kerana banyak menulis buku-buku yang mendapat sambutan dikalangan pembaca.


Han Se Ju juga, seperti kebanyakan watak utama yang sering terpapar di dalam drama Korea, ialah seorang yang membesar di kawasan persekitaran yang menyedihkan; menumpang di rumah orang, ditindas dibuli dan dianiaya sebelum berjaya menjadi penulis yang terkenal di negaranya (dalam drama of course).

Disebabkan mempunyai pengalaman pahit ditikam belakang, Han Se Ju menjadi seseorang yang tidak mempercayai kepada sesiapa pun malahan tidak mempunyai kawan. Hidup menyendiri dengan hanya ditemani oleh bos (penerbit buku-bukunya) dan para pekerjanya.

Satu hari ketika mempromosikan bukunya di kalangan peminatnya di Chicago, Han Se Ju terlihat satu mesin taip kuno yang menarik perhatiannya.

Mesin taip itu seakan-akan memanggil namanya akan membawanya pulang bersama ke Korea. Han Se Ju kemudiannya meminta untuk membeli mesin tersebut dari pemiliknya namun pemilik enggan melepaskan mesin taip itu kerana ia antara barang antik kegemarannya.

Bagaimanapun tanpa disangka-sangka, mesin taip itu berakhir di rumah Han Se Ju dan sejak itu berlakunya pelbagai peristiwa aneh yang menyelubungi kehidupan Han Se Ju.

Han Se Ju juga mula mengingati satu demi satu memori silam yang pernah berlaku di dalam hidupnya.

Mesin taip itu juga menemukan Han Se Ju dengan seorang wanita dan seorang lelaki yang sebenarnya pernah hadir dalam hidup Han Se Ju. Malangnya Han Se Ju tidak mengingati langsung kedua-dua individu tersebut sehinggalah misteri tentangnya terurai satu persatu..

Apa yang menarik dalam drama ini ialah, penonton akan merasa terkejut dalam episode keempat dan kelima, bukti betapa bagusnya pengarah dan penulis skrip drama ini sampaikan kita sebagai penonton pun tidak dapat menyangka perkara itu sebenarnya yang sedang berlaku.

Yoo Ah In, Im Soo Jung, Go Kyung Po berjaya membawakan watak masing-masing dengan baik, selain dari elemen cinta drama ini juga membawakan semangat perjuangan nasionalis, semangat mahu memerdekakan negara dari ancaman penjajah Jepun. Garapan penulis dan pengarah dalam drama ini sangat baik, tidak terlalu mengheret atau melankolik, juga tidak berterabur, setiap satu babak yang terhasil sangat kemas dan berjaya disampaikan dengan baik. 

Drama ini drama mesti tonton bagi yang meminati drama cinta yang tidak terlalu berat, namun disulami dengan elemen perjuangan, misteri dan peperangan.

Senarai pelakon utama;

Yoo Ah In - Han Se Ju
Im Soo Jung - Jeon Sol
Goo Kyung Po - Yoo Jin O



Related Posts