Tangkap Dan Dakwa Doktor Palsu - Untuk Kejar KPI Je Ke?

Oleh : Medical Mythbusters Malaysia 

TUJUAN AKTA 586? KAMI INI NAK MENGEJAR KPI SAHAJAKAH?

Heboh baru-baru ini apabila sebuah persatuan NGO membantu seorang wanita membayar denda yang di jatuhkan atas hukuman Akta 586 (Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta).


Majoriti kami pengamal kesihatan terkejut dengan tindakan tersebut, rata-rata sedih apabila usaha kami untuk terus memberi perkhidmatan yang sempurna dan melindungi nyawa dan kesihatan masyarakat tiba-tiba dianggap tidak penting. Tambah menyedihkan apabila mengatakan tujuan penguatkuasaan akta berkaitan dengan kesihatan adalah semata-mata untuk mengejar KPI. Semacam kementerian kami ini ada kuota, berapa banyak kes yang kami perlu cari untuk di dakwa setiap tahun.

 
Kita perlu tahu tujuan asal Akta 586 dikuat kuasakan. Tatkala, negara kita membuka pintu untuk klinik-klinik dan hospital swasta beroperasi di negara ini, kita melihat premis-premis ini muncul dengan begitu banyak sekali ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Maka Akta 586 ini dikuatkuasakan supaya masyarakat Malaysia dilindungi daripada kegiatan kesihatan dan perubatan haram.

Bayangkan kalau akta ini tidak ada. Satu hari ketika anda sedang berjalan, tiba-tiba anda sakit perut. Anda ternampak ada sebuah hospital dalam deretan kedai-kedai. Tidak anda ketahui, hospital tersebut tidak pun berdaftar. Anda berjumpa seseorang yang mengaku sebagai doktor. Terus dia katakan anda ada appendicitis. Tanpa sebarang pemeriksaan, setelah mendapatkan berpuluh ribu dari anda, anda terus di usung ke dewan pembedahan yang tidak ubah kelihatan seperti filem-filem seram yang anda lihat di pawagam. Malang tidak berbau, anda mati di atas meja pembedahan. Keluarga anda hendak melakukan siasatan untuk menuntut bela atas kematian anda. Tetapi doktor palsu itu lebih licik, dia terus lari ke luar negara dengan duit yang telah diperolehi. Tinggalah anda di liang lahad dan keluarga anda yang meratap pemergian anda.

Cerita tersebut mungkin keterlaluan. Namun kejadian ini tidak mustahil jika penguatkuasaan Akta 586 tiada. Lebih daripada sekadar menghukum pesalah. Akta ini menetapkan bagaimana sesebuah fasiliti perubatan boleh ditubuhkan. Apa yang perlu ada, berapa keluasannya. Juga siapa yang boleh mengendalikannya, apa kelulusan yang mereka perlu ada. Tujuan akta ini adalah untuk MELINDUNGI KESIHATAN dan NYAWA rakyat Malaysia. Aktiviti perawatan bukanlah benda yang boleh dibuat main. Perkara ini melibatkan nyawa.

Malah penguatkuasaan Akta 586 ini bukanlah perkara yang baru. Carian di internet sahaja telah memperlihatkan berpuluh-puluh kes yang telah diheret ke mahkhamah, didakwa dan dihukum. Melalui akta ini lah, kementerian kesihatan dapat menghalang daripada perkhidmatan ozon dari semakin berluasa, mendakwa klinik kecantikan haram, menghentikan operasi doktor-doktor dan doktor-doktor palsu daripada terus beroperasi. Bayangkan berapa nyawa yang dapat diselamatkan dengan akta ini sahaja. Malah denda RM 300 ribu dan hukuman penjara 6 tahun itu kelihatan sikit nilai berbanding berjuta-juta nyawa yang dipertaruhkan.

Penguatkuasaan akta ini perlu dihormati. Akta inilah harapan kita agar nyawa rakyat Malaysia terus dilindungi. Kalau pun kita ingin membantu tertuduh sekiranya denda diluar kemampuannya. Bantulah melalui proses guaman, ‘Appeal against quantum’. Saya percaya sekiranya tertuduh telah insaf, dia berhak diberikan peluang kedua. Namun, kesalahan tetap kesalahan janganlah kita menghantar satu mesej kepada masyarakat Malaysia seolah-olah kita tidak pernah serius melindungi nyawa.

Menghormati Kedaulatan Undang-undang

Dr Mohamad Fadli Khairie, MPH
Doktor Kesihatan Awam
Medical Mythbusters Malaysia

Related Posts