Segmen Review : Drama Korea Pied Piper.

Peniup seruling itu yang berang kerana ditipu dan tidak mendapat upah yang dijanjikan, kemudiannya meniup seruling bagi memikat hati kanak-kanak kota Hamelin untuk mengikutinya. 

Kumpulan anak-anak kecil itu mengikutinya sehingga terkeluar kota lalu menuju ke hutan dan menghilang buat selamanya. Tertinggalnya tiga kanak-kanak di belakang. Yang berjalan terhincut-hincut kerana tempangnya kaki, yang buta kerana tidak nampaknya jalan, yang pekak tuli mengikuti tak ketahuan arah kemudiannya berhenti; begitulah jalan cerita salah satu versi kisah dongeng yang terkenal dari negara Jerman yang bertajuk Pied Piper

Kisah itu kemudiannya dibukukan berulangkali, dinovelkan, didramakan dan menjadi begitu sinonim dengan kehidupan masyarakat Jerman kerana ia antara kisah dongeng terkenal untuk diceritakan kepada anak-anak laksana kisah Hang Tuah Lima Saudara seperti di negara ini.


Bagaimanapun Pied Piper versi Korea ditampilkan dengan gaya penceritaan yang jauh berbeza.

Dendam, sakit hati, marah kerana tidak mampu menegakkan kebenaran, gagal membantu yang tertindas dengan suasana pemberitaan yang berat sebelah adalah latar belakang drama ini.

Kisah bermula dengan watak Joo Sung-Chan (Shin Ha Kyun) sebagai Pakar Perunding Krisis yang gagal menyelamatkan tunangnya yang terkorban dalam satu insiden teroris ketika restoran ditawan oleh ahli keluarga mangsa yang terkorban dalam kejadian penculikan di Selatan Pilipin.


Setahun berlalu, dengan tidak melupakan insiden sedih itu, Joo Sung-Chan menyertai agensi polis bagi mencari dalang disebalik insiden yang membunuh tunangnya.

Joo Sung-Chan bertemu Yeo Myung Ha (Jo Yoon Hee) sebagai rakan sekerjanya dalam satu team yang ditugaskan untuk berhadapan dengan krisis seperti kejadian bunuh diri, tebusan, ancaman membunuh, teroris dan situasi sensitif.

Mereka berdua dan bersama rakan sekerja lain seperti Kong Ji Man (Yoo Seung Mok) sebagai ketua; Choi Sung-Bum (Oh Eui Sik) sebagai pakar IT/hacker; Jo Jae Hee (Jang Sung Bum) sebagai anggota baru; kemudiannya berjaya menyelesaikan beberapa krisis bersama. Bagaimanapun setiap kes yang berlaku merungkai satu demi satu persoalan tentang insiden yang berlaku setahun lalu.


Joo Sung-Chan juga bekerjasama dengan wartawan terkenal TNN, Yoon Hee-Sung (Yu Jun Sang) bagi membongkar identiti sebenar Pied Piper yang menjadi dalang kepada kejadian teroris yang berlaku setahun lepas. 

Pada awalnya Joo Sung-Chan berfikir kejadian teroris itu telahpun berakhir dengan kematian tunangnya dan kumpulan yang membuat keganasan bagaimanapun dia akhirnya menyedari rupa-rupanya kejadian tersebut adalah permulaan untuk melakukan ancaman teroris yang lebih besar dan tersusun dengan mensasarkan beberapa pihak yang dilihat penting dalam syarikat K.

Misteri yang cuba dirungkai akhirnya menemukan kaitan dengan kejadian yang berlaku pada 13 tahun lepas; yang mana mangsa-mangsa yang mempertahankan hak mendapatkan pampasan perpindahan ketika itu terkorban dalam satu nahas ketika berlawan dengan sepasukan polis dari unit tempur (SWAT/FRU).

Kejadian itu ditutup dengan pihak mangsa dipersalahkan. Cerita sebenar juga tidak dilaporkan oleh media massa dan syarikat kapitalis berjaya melakukan rancangannya. 

Rundingan gagal disebabkan tekanan dan desakan syarikat K serta campurtangan politik membuatkan seorang remaja perempuan, Yeo Myung Ha (semasa kecil) kehilangan kedua-dua ibu dan ayahnya. Kejadian itu membuatkan remaja tersebut trauma dan perlu menjalani rawatan dengan berjumpa dengan doktor psychiatrist.

Myung Ha kemudiannya diambil sebagai anak angkat oleh Oh Jung-Hak (Sung Dong II) yang bekerja sebagai polis dan membesar menjadi seorang anggota polis yang bercita-cita mahu berkhidmat di unit yang menguruskan krisis dan bencana.

Cita-citanya tercapai bagaimanapun Oh Jung-Hak yang dipanggilnya sebagai pakcik akhirnya mati terbunuh dalam kejadian teroris yang turut membunuh tunang Joo Sung-Chan.

Terkesan dengan kejadian itu, Myung Ha kemudiannya melakukan siasatan sendiri bagi mencari sebab dan menemui ada sesuatu yang tidak kena; yang akhirnya dia simpulkan ada konspirasi disebalik kejadian.

Myung Ha tidak bersendirian kerana Sung Chan turut merasakan perkara yang sama selepas mendengar satu rakaman. Mereka kemudiannya bekerjasama untuk mencari individu yang bertanggung atas kematian orang tersayang. 


Siasatan mereka akhirnya mendedahkan Pied Piper; dalang yang merancang, menghasut, mempengaruhi, mendorong dan memujuk individu-individu yang teraniaya yang tidak mampu mendapatkan keadilan supaya melakukan ancaman teroris bagi menegakkan kebenaran; supaya suara mereka dapat didengar oleh orang ramai dan pihak kerajaan.

Antara kata-kata semangat Pied Piper bagi menghasut orang melakukan keganasan;

"Orang yang berkuasa sama sekali tidak akan mendengar  (peduli) hak (suara) mereka yang tidak mempunyai kuasa".

"Tiada sesiapa yang akan mendengar kata-kata mereka yang tak punya kuasa dan kedudukan di negara ini. Kita yang harus memaksa untuk mereka mendengar suara kita."

"Saya akan berikan anda kuasa untuk melakukan keganasan supaya dunia mendengar penderitaan anda".

"Mereka yang tidak boleh dihukum, adalah pihak yang seringkali akan memberikan kemaafan".

Drama ini menghuraikan bagaimana kerajaan dan kapitalis berkerjasama bagi menjaga kepentingan masing-masing walaupun ianya sampai ke tahap mengabaikan kepentingan rakyat dan menindas orang awam.

Drama ini juga mendedahkan bagai media yang tidak adil bertindak tidak melaporkan perkara sebenar hanya dengan arahan dan tekanan; apabila media dikawal dan wartawan dihalang dari melaporkan perkara sebenar - penindasan yang berlaku tidak dapat disampaikan ke pihak luar agar suara mereka didengar. 

Drama ini juga menyalahkan anggota bawahan seperti unit tempur polis yang menerima arahan tanpa memikirkan kesan negatif terhadap orang awam yang akan terjejas dan baik buruk satu-satu arahan yang dikeluarkan. Ketiadaandaya untuk melawan, mempertikaikan dan mempersoalkan arahan pihak atasan - dianggap Pied Piper sebagai lemah dan bersubahat melakukan kerosakan dan penganiayaan ke atas masyarakat tertindas.

Pied Piper juga menyalahkan masyarakat awam yang seringkali mengabaikan sesuatu penindasan dan ketidakadilan sehinggalah mereka mengalaminya sendiri.

Majoriti memilih mendengar, melihat kemudiannya melupakannya terus tanpa mempedulikan rintihan yang tertindas dan lebih seronok membaca berita-berita hiburan. Mereka tutup mata, tutup telinga dan tutup mulut.

Masyarakat terbanyak yang harus bertanggungjawab dan dipersalahkan kerana merosakkan dunia seperti dunia hari ini apabila memilih mendiamkan penindasan dan bersubahat secara tidak langsung dengan ketidakadilan. Oleh itu masyarakat juga perlu dihukum bagi memberikan satu mesej dan pengajaran yang berguna supaya mereka belajar dan berubah dan tidak lagi berdiam diri dan redha dengan penganiayaan. Itulah mesej yang cuba disampaikan dalam drama yang sarat dengan aksi ini.

Pied Piper mempunyai 16 episode dan setiap episode berdurasi satu jam.

Saksikan teaser dibawah; 

 

Nota : Episode 15 dalam drama ini ada menyebut mengenai insiden pesawat Malaysia yang telah dihijack dan dilencongkan sebagai contoh bagi mengulas insiden rampasan pesawat; salah satu babak yang terdapat di episode ini.

Related Posts