Kenali Said Zahari Dan Sejarah Mogok Utusan 1961.

Oleh : Pusat Sejarah Negara

Said Zahari (1928 – 2016)

Hari ini kita memperingati ulangtahun kedua pemergian Pak Said Zahari - seorang patriot ulung, pejuang kebebasan dan ikon kewartawanan di Malaysia dan Singapura.
 

Said Zahari dilahirkan dalam sebuah keluarga Melayu keturunan Jawa di Kampung Kebun Bunga, Singapura pada 18 Mei 1928.



Beliau mendapat pendidikan Sekolah Melayu di Singapura sebelum Perang Dunia Ke-2, dan meneruskan pengajian untuk memperoleh sijil Senior Cambridge selepas pendudukan Jepun, sambil dalam senyap-senyap mengikuti gerakan perjuangan kemerdekaan menentang penjajah British.

Beliau kemudian menceburi bidang kewartawanan dengan menyertai akhbar Utusan Melayu pada 1951 yang ketika itu gigih meniup api perjuangan kemerdekaan bukan sahaja di Malaya tetapi juga di tanah jajahan yang lain.

Oleh sebab bakat dan ketokohannya, beliau diberi kepercayaan untuk memimpin akhbar itu selaku Ketua Pengarang pada 1959.

Pada 1961, apabila pimpinan UMNO dan pemerintah Malaya yang tidak senang dengan kelantangan Utusan telah berusaha mengambilalih pemilikan akhbar tersebut dan mengubah polisinya, Said memimpin pemogokan bersejarah Utusan selama tiga bulan menentang tindakan UMNO tersebut demi membela kebebasan akhbar.

Cabaran demi cabaran menimpa hidup beliau sekeluarga.

Pada 2 Februari 1963, beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri oleh rejim Lee Kuan Yew Singapura selama 17 tahun, mengakibatkan anak-anaknya dibesarkan tanpa bapa di sisi mereka.

Namun berkat kegigihan Puan Salamah, isteri Pak Said, bukan sahaja anak-anak itu mendewasa dengan baik bahkan Pak Said juga dapat memperteguhkan azam dan menundukkan segala pahit getir di penjara.

Beliau antara tahanan politik paling lama merengkok dalam tahanan sama ada di Malaysia mahupun Singapura serta dianggap sebagai ikon nurani suara kebebasan dan keadilan oleh ramai angkatan lama dan juga angkatan baru.

Beberapa tahun setelah keluar daripada tahanan, beliau berpindah dari Singapura ke Malaysia untuk bersama-sama dengan anak-anaknya dan menyambung kehidupan dan perjuangannya.

Said Zahari berdiri sebaris dengan pejuang-pejuang kebebasan yang hebat, yang telah mengorbankan masa muda mereka yang paling berharga dalam penjara dan mengobarkan semangat juang yang tidak boleh ditundukkan.

Walaupun diri Pak Said dan tokoh-tokoh lain yang senasib dengannya pernah dipenjarakan, jiwa mereka bebas memeluk pertiwi manakala pemikiran mereka menjangkau luas di persada dunia. Mereka telah memahatkan nama yang harum dalam sejarah perjuangan kebebasan dan keadilan manusia sejagat yang kekal abadi.

Pak Said sudah tidak ada lagi dengan kita, tetapi meminjam kata-kata penyair agung A Samad Said, dalam ketiadaan amat terasa kehadirannya.

Dalam kenangan, kita tetap merindui dan menyanjungi imej besar Pak Said!

#RememberSaidZahari


--------------------

Oleh : Fahmi Reza

Sempena ulangtahun kedua pemergian Said Zahari, izinkan aku kongsi semula tulisan pendek ini yang aku pernah kongsikan 5 tahun lalu buat geng yang mungkin dah lupa atau tak kenal siapa Said Zahari dan tak tahu sejarah di sebalik Mogok Utusan 1961. 

1961 merupakan tahun kemerdekaan Utusan Melayu dibunuh oleh UMNO. Pada tahun itu seramai 115 orang pekerja dan wartawan Utusan Melayu telah melancarkan mogok bagi memperjuangkan kebebasan akhbar dan membantah pengambilalihan akhbar Utusan oleh parti pemerintah UMNO. 

Mereka membantah pelantikan Ibrahim Fikri (ahli Majlis Tertinggi UMNO dan bekas Ketua Penerangan UMNO) sebagai Ketua Pengarang baru Utusan yang mahu mengubah dasar-dasar independen akhbar itu untuk menjadikan Utusan lidah rasmi parti pemerintah. 

Pekerja-pekerja Utusan yang mogok telah menduduki perkarangan bangunan pejabat Utusan Melayu di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur secara berterusan dan mendirikan khemah protes tempat mereka tidur dan makan sepanjang mogok berjalan. 

Selepas 30 hari mereka mogok, kerajaan telah mengambil tindakan keras dengan menyingkirkan Said Zahari, salah seorang pemimpin utama pemogokan Utusan ke Singapura. Sebelas hari kemudian Tunku Abdul Rahman telah mengeluarkan surat perintah mengharamkan Said Zahari dari memasuki Persekutuan Tanah Melayu. 

Setelah menghadapi pelbagai rintangan, khemah-khemah protes mereka akhirnya dirobohkan empat hari sebelum pemogokan mereka tamat pada 21 Oktober 1961. Mogok mereka telah bertahan selama 93 hari tanpa mencapai tuntutan asal mereka untuk mempertahankan kemerdekaan Utusan. 

Selepas mogok berakhir, Utusan Melayu (sekarang Utusan Malaysia) terus dikuasai oleh UMNO sehingga ke hari ini.

Related Posts