Tiket Teater 'Jeng Jeng Jeng' Laris Walaupun Dikecam Hebat Netizens.

Kecaman dan sindiran netizen terhadap teater Kembang Layarku diterima oleh Pengarah Artistik Kembang Layarku, Fauziah Nawi dengan berlapang dada.


Ia selepas rakaman persembahan pelapis teater berkenaan di rancangan Selamat Pagi Malaysia tiba-tiba tular di media sosial walaupun teater tersebut sudah berakhir Julai lalu.

Persembahan yang kini digelar "tarian Jeng Jeng Jeng" itu mula diperkatakan ramai. Malah ia diparodikan dalam sebuah rancangan bual bicara hiburan semalam.

Namun mungkin ada yang tidak tahu tiket persembahan tiga hari teater itu, iaitu 27 hingga 29 Julai, di Sanggar Teater Fauziah Nawi (Stefani), Ampang, terjual cukup laris.

Fauziah yang juga pelakon terkenal ketika dihubungi berkata, ramai yang menjadikan persembahan itu sebagai bahan jenaka kerana tidak memahami maksud di sebaliknya.

Namun ia bukanlah apa-apa, katanya yang mesra disapa sebagai 'ibu', berbanding penat lelah yang perlu dilalui penggiat teater sepertinya yang sentiasa berusaha menarik orang ramai untu menonton pementasan mereka.

“Ibu bukan orang kaya, terpaksa merangkak dari bawah sejak mengadakan bengkel kira-kira seawal tahun 1980-an. Ada tiket yang susah dijual, persembahan tiada penaja, justeru baguslah orang tularkan perkara sebegini.

“Macam mana orang kutuk sekalipun, apa ibu boleh cakap tiket pada ketiga-tiga hari persembahan diadakan itu semuanya laris dijual,”
katanya.

Klip video tular itu menampilkan pelapis Stefani iaitu Nurul Syuhada Az’mi, Fathir Radzi dan pelakon Iellyas Fietrie Amerudin Mohd Nor Hafiz.

Fauziah, 65, tetap menghargai mereka yang mengongsikan rakaman itu kerana ia secara tidak langsung mempromosikan Kembang Layarku.

“Namun sayang ia sudah berakhir," katanya lagi.

Dia menjelaskan persembahan di RTM itu hanyalah sebahagian daripada prsembahan sebenar untuk tujuan promosi.

“Takkan persembahan yang mengambil masa lima minit nak kena bawa semua keperluan pementasan masuk studio. Kami bawa yang perlu saja,” katanya lagi.

Dia juga menegaskan aksi yang mendapat perhatian ramai itu bukanlah sejenis tarian, seperti yang disangka ramai.

"Orang menggelarkannya tarian jeng jeng jeng selepas perkataan itu dibunyikan (pelakon) dengan iringan gendang. (Sebenarnya) Ia tiada nama dan bukan tarian.

“Ia pergerakan jiwa, tetapi apa orang nak anggap terserahlah. Saya tidak marah dan tidak boleh paksa apa jua tanggapan umum mengenainya,”
katanya lagi.

Sumber : Malaysiakini

Related Posts