Pakdin, Kisah Banduan Yang Dihukum Sebat Paling Banyak Dalam Negara.

Oleh : Syahril A.Kadir
 

APA KHABAR PAK DIN?

Assalamualaikum. Pagi ni aku nak berkongsi pengalaman aku menemubual banduan paling banyak dijatuhkan hukuman sebat di negara kita - 84 sebatan!

Kita pun tahu betapa seksa dan sakitnya hukuman sebat ini, kena satu sebat pun rasa macam nak habis nyawa, apatah lagi 84 sebatan.



Aku interview Pak Din ni kira-kira 12 tahun lepas. Pada tahun 2006 waktu aku menemubual dia di Penjara Kajang, banduan yang aku panggil Pak Din ni dah catat rekod Jabatan Penjara sebab dah 84 kali disebat.

Beberapa tahun kemudian, akhbar Harian Metro ada menemubual Pak Din ini setelah dia dibebaskan dari penjara, kali ni Pak Din atau nama glamournya Botak Chop mengaku dah disebat sebanyak 104 sebatan rotan!!!

Maknanya mungkin selepas aku menemuramah Pak Din dulu, masih ada baki hukuman yang belum selesai ataupun mungkin dia 'keluar masuk' lagi penjara lepas tu dan dijatuhkan hukuman sebat lagi, Wallahualam.

Pengalaman aku masa diberi peluang melihat sendiri hukuman sebat ini, bila masuk sebatan ke lima dan ke atas, kulit punggung kita akan menetas dan berdebu (kulit pecah) sebelum 'disusuli' dengan lelehan dan percikan darah. Ini kerana ketika itu hanya daging punggung saja yang tinggal kerana kulit di sekitar punggung itu telah koyak.

Bayangkan betapa sakitnya hukuman sebat ini!

Masa tu menjerit-jerit banduan ni teriak nama mak bapak, teriak nama Tuhan sebab dah tak mampu nak tanggung kesakitan yang teramat dahsyat itu. Selalunya mereka yang terlibat kes rogol, rompakan bersenjata dan pengedaran dadah paling ramai yang menerima hukuman sebat ini.

Tarikh: 9 Oktober 2006

Lokasi: Bilik Pelawat, Penjara Kajang

PAK Din (bukan nama sebenar) dihukum penjara sejak 1982 dan dikatakan banduan paling ganas kerana terlibat dalam 39 kes rompakan bersenjata

"Orang lain baru kena satu sebatan pun dah meraung inikan saya 84 sebatan, akibat hukuman tersebut daging punggung saya menipis sebanyak 2.54 sentimeter, luka berbulan tak sembuh-sembuh, jangkitannya merebak hingga ke buah pinggang dan bermacam-macam lagi.

"Sehingga kini badan saya dari paras pinggang ke bawah sentiasa terasa perit, sakit dan kebas-kebas,

"Entahlah, rasanya sampai mati saya akan tanggung seksa ini,"
katanya tanpa menyebut tarikh sebenar pembebasannya atas sebab-sebab tertentu.

Pak Din bukan sahaja dilabel sebagai banduan ganas, tetapi dia juga terkenal dengan tabiat suka melarikan diri dari mana-mana institusi yang menahannya. Dia pernah melarikan diri dari pusat tahanan, lokap balai polis dan tidak ketinggalan Penjara Kajang sendiri.

Pak Din pernah diklasifikasikan oleh Bukit Aman sebagai penjenayah paling berbahaya kerana terlibat tidak kurang daripada 39 kes rompakan bersenjata dan disyaki melepaskan tembakan ke arah seorang anggota polis yang cuba menahannya tidak lama dulu.

"Dengan segala kesalahan yang pernah saya lakukan sebelum ini, saya sendiri tidak tahu adakah saya layak untuk pulang semula ke pangkuan masyarakat selepas dibebaskan nanti.

"Sekiranya saya dipulaukan oleh masyarakat, terus-terusan dihina dan dikeji, macam manalah agaknya saya hendak meneruskan kehidupan ini,"
katanya.

SAK : Aku difahamkan Pak Din telah pun melangsungkan pernikahannya beberapa tahun lepas selepas dibebaskan. Moga-moga Pak Din insaf dan menemui kebahagian yang dia cari selama ini, walaupun parut sengsara yang melekat di tubuhnya akan dia bawa hingga ke mati. Apa khabar Pak Din sekarang?

Related Posts