Asal Usul BOMBA..

Oleh : Khairul Nizam
 

Dari mana datangnya perkataan BOMBA ini? Adakah benar ianya bermaksud Badan Organisasi Mencegah Bencana Alam? Pelbagai persoalan timbul tentang bagaimana bermulanya nama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Perkataan bomba dikatakan berasal daripada perkataan Portugis iaitu Bombeiros yang bermaksud pasukan pemadam. Manakala menurut Kamus Dewan, perkataan bomba mempunyai dua (2) maksud iaitu sejenis alat yang digunakan untuk mengepam air dan pasukan memadam kebakaran.

Berdasarkan kepada penemuan dokumen iaitu sekeping surat permohonan kepada pemerintah negeri Kedah bertarikh 12 September 1922 bersamaan 21 Muharram 1341, membuktikan bahawa perkataan bomba telah lama digunakan. Di dalam surat tersebut, terdapat perkataan bomba ayer yang merujuk kepada permohonan penempatan bomba ayer tersebut untuk memelihara pekan Kulim daripada kebakaran.

Bagaimana pun, melalui temubual Sejarah Lisan Arkib Negara Malaysia dengan bekas Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Perkhidmatan Bomba Malaysia iaitu Tuan Hj. Mohamad Yusop Bin Hamzah pada 14 Disember 2011 menyatakan bahawa jabatan ini menggunakan nama fire brigade sebelum ianya ditukar kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba Malaysia. Usaha menukar dan menterjemahkan nama fire brigade dan beberapa perkataan teknikal lain berkaitan dengan jabatan telah dibuat dalam satu kempen Bulan Bahasa Kebangsaan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka yang dilancarkan pada 28 Januari 1961.

Bulan Bahasa Kebangsaan ini diadakan selama enam tahun, iaitu dari tahun 1961 hingga 1966. Penterjermahan ini dibuat oleh beliau bersama tiga orang pegawai bomba lain iaitu Tuan Hj. Mohd Nor Daemon, G. Kandiah dan seorang pegawai berbangsa Cina dari Mentakab yang dilantik oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai panel penterjemah.

Menurut beliau perkataan fire brigade kalau diterjemahkan secara terus bermaksud pasukan api dan dirasakan tidak berapa sesuai untuk digunakan pada masa itu. Idea untuk perkataan bomba kemudiannya diambil dari nama sejenis alat pengepam minyak atau air yang dipanggil gumba. Alat ini walau bagaimanapun hanya dapat mengepam air dan tidak memancut air. Oleh itu satu lagi perkataan lain digunakan iaitu bombat yang bermaksud menumpukan tapi masih tidak sedap didengar. Selepas itu huruf T telah dibuang dan perkataan yang digunakan hanyalah bomba sahaja.




 
Pada 8 Januari 1997, nama jabatan sekali lagi mengalami perubahan apabila Jemaah Menteri telah bersetuju mengubah nama Jabatan Perkhidmatan Bomba Malaysia kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. Satu majlis pengumuman dan pelancaran telah dibuat di Genting Highlands pada 21 Februari 1997 oleh YAB Dato‟ Seri Dr. Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri Malaysia pada masa itu.

(Gambar : Hero Malaysia yang terkorban ketika mencari dan menyelamat seorang remaja lemas)

Related Posts