ICERD adalah International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination. Dalam Bahasa Melayu, bermaksud Konvensyen Antarabangsa bagi Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum.
Ini isu yang sedang hangat sekarang. Ramai ahli dan pimpinan NGO dan parti berteraskan Melayu dan Islam waktu ini sedang giat membantah dan menyebarkan kebimbangan melalui media sosial. Ia kebimbangan yang wajar. Kerana apa? Kerana setakat ini Menteri berkaitan belum pun melancarkan siri penerangan berkenaan ICERD, melainkan hanya menunjukkan kesungguhan untuk meratifikasi perjanjian tersebut. Ratifikasi itu apa? Ratifikasi maksudnya menandatangani bagi mengesahkan konvensyen tersebut digunapakai dalam negara kita.
Baik, sebelum saya ulas, saya nyatakan pendirian saya terlebih dahulu. Secara umumnya saya membantah ratifikasi ICERD. Tapi bantahan saya bukanlah berdasarkan hujah undang-undang tetapi berdasarkan kepada hukum keutamaan. Apapun, kita bincang dulu kandungan ICERD serta hujahan undang-undang seperti yang disarankan oleh pengamal dan sarjana undang-undang.
ICERD mempunyai latar belakang sejarahnya. Resolusi berkaitan konvensyen ini disuarakan buat pertama kali pada tahun 1960 disebabkan oleh sikap anti-semitik yang tersebar luas ketika itu. Anti-semitik maknanya sentimen anti-Yahudi. Satu lagi, pertengahan abad-20 merupakan periode dekolonisasi. Tahun-tahun penjajah meninggalkan tanah jajahan, dan tahun-tahun kemerdekaan. Oleh itu, sentimen diskriminasi kaum masih menebal di banyak bahagian dalam dunia. Demi memberikan harapan baharu kepada masyarakat yang baru merdeka tersebut, PBB merangka konvensyen ini supaya masyarakat merdeka merasakan mereka tidak lagi berdepan dengan pengalaman perit sepertimana zaman penjajahan sebelumnya. Setelah melalui beberapa proses saringan dan penambahbaikan, ia akhirnya dibuka untuk tandatangan dan ratifikasi bermula Disember 1965.
Data di laman web PBB menunjukkan sehingga Januari 2018, 88 negara sudah meratifikasi konvensyen tersebut. Walau bagaimanapun, negara yang sudah meratifikasi konvensyen ini tidak sepenuhnya menerima kesemua Artikel yang terkandung dalam konvensyen, yang keseluruhannya mengandungi 25 Artikel. Paling banyak, Artikel 22, yang dimohon pengecualian. Ia berkaitan pertikaian antara pihak yang menyertai konvensyen ini mesti dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Antara negara yang tak bersetuju dengan klausa ini adalah Afghanistan, India, China, Israel, Turki, Thailand dan Vietnam.
Baik, apakah Artikel yang membimbangkan dalam konvensyen ini sehingga meledakkan bantahan dalam negara kita? Secara ringkas, Artikel 1 hingga 5 adalah klausa yang mendatangkan kegusaran. Saya simpulkan Artikel tersebut. Ia menyatakan "diskriminasi " adalah sebarang bentuk halangan, pengecualian, perbezaan dan kecenderungan yang boleh ditafsirkan mendatangkan tanggapan terdapatnya diskriminasi antara kaum, agama, warna kulit atau mana-mana kumpulan masyarakat dalam negara tersebut. Kerajaan mestilah meneliti mana-mana peraturan dan undang-undang yang mendatangkan kesan terhadap persefahaman antara kaum, lalu mengubah, meminda atau memansuhkannya jika perlu. Kerajaan turut perlu mengutuk (dan melarang jika perlu) sebarang organisasi atau gerakan atau individu yang menggerakkan sentimen kebencian antara kaum, agama atau kumpulan lain. Artikel 5 pula menyentuh tentang hak individu untuk berpartisipasi dalam sebarang pertubuhan, kebebasan untuk meninggalkan dan kembali ke negara, hak untuk bernegara, hak untuk memilih pasangan hidup, hak untuk memilih agama dan hak untuk berpendapat dan mengekspresikan diri.
Jadi, kebimbangannya adalah berkaitan peruntukan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah Sarawak, kerana konvensyen ini tidak membenarkan sesuatu kaum mendapat keistimewaan melebihi kaum lain. Ini dinyatakan dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Satu lagi, berkaitan kebebasan beragama. Konvensyen ini membuka ruang untuk murtad, jika ia dilaksanakan, kerana agama termasuk dalam hak individu. Seperti yang saya katakan awal tadi, kebimbangan ini berasas. Namun, dengan meneliti lebih dalam, ia tidaklah seteruk yang diimaginasikan. Dalam Artikel 1 (4) Konvensyen ini dinyatakan bahawa apa-apa pendekatan yang diambil oleh negara yang terlibat bagi melindungi atau memberi keistimewaan mana-mana kaum atau kumpulan yang difikirkan sebagai berada dalam keperluan/kedaifan supaya tidak ketinggalan maka peraturan afimatif dibenarkan untuk wujud. Tetapi, peraturan atau dasar tersebut perlu dimansuhkan sebaik ia difikirkan sudah tidak lagi diperlukan kerana kumpulan atau kaum ini sudah duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan kumpulan atau kaum lain.
Kalau klausa ini diambil kira, sejak DEB diperkenalkan pada 1971 hingga sekarang, ekuiti 30% Bumiputera masih tidak dapat dipenuhi ketika ia berakhir pada 1991. Hari ini pun, berdasarkan kesimpulan daripada statistik pendapatan per kapita dalam rurallink.gov.my mendapati orang Melayu/Bumiputera menghuni tangga tercorot. Oleh itu, dengan melihat trend ini, Perkara 153, yang tidaklah dilaksanakan sepenuhnya pun sehingga hari ini, masih diperlukan tanpa sebarang keraguan. Saya tidaklah bermaksud untuk mengatakan pada masa hadapan ia perlu dimansuhkan. Beberapa peruntukan dalam Perlembagaan kita bukanlah hal yang boleh dipinda sesuka hati. Hatta, 2/3 undi Parlimen pun tak akan dapat meminda atau memansuhkan beberapa peruntukan yang disebut sebagai 4 Perkara Tradisi dalam Perlembagaan kita, tanpa persetujuan Majlis Raja-raja. Empat perkara itu adalah Islam, Bahasa Melayu, Kedudukan Istimewa dan Raja-raja Melayu. Ini merupakan persefahaman dan kontrak yang dipersetujui ketika negara ini mula dibina bermula 1957. Ini cerita sejarah negara kita. Panjang kisahnya kalau nak dibincangkan di sini. Lain kalilah.
Berdasarkan hujah orang undang-undang yang dibaca beberapa hari ini, didapati bahawa ratifikasi konvensyen antarabangsa tidaklah mengikat apa-apa keputusan berkaitan undang-undang dalam negara kita sepenuhnya. Melalui tulisan Prof. Datuk Dr. Rahmat Mohamad, Profesor Undang-undang UiTM, beliau menyimpulkan bahawa ICERD tidak boleh menghapuskan peruntukan Perlembagaan yang digunapakai hari ini. Tulisan beliau boleh dibaca di sini https://www.thestar.com.my/…/ratifying-international-conve…/. Yang kedua, tulisan saudara Abdullah Abdul Rahman, pengamal undang-undang yang memetik kes-kes mahkamah yang pernah dibicarakan sebelum-sebelum ini, memberi kefahaman bahawa ICERD tidak dapat mengatasi Perlembagaan kita. Kalau nak tau lebih terperinci, selidiklah fb beliau "Abdullah Abdul Rahman."
Justeru, dengan meneliti hujah-hujah di atas, saya membina deduksi. ICERD tak dapat mengatasi superioriti Perlembagaan Persekutuan. Lalu soalnya kalau tidak mendatangkan sebarang perubahan, apa guna tandatangan ICERD? Inilah asas bagi pendirian saya membantah ICERD. Untuk apa ICERD mahu disegerakan? Adakah Menteri portfolio Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (PENING) ini mahu menghantar isyarat kepada rakyat Malaysia bahawa diskriminasi kaum dan agama berlaku dalam negara kita? Saya tak nafikan, dalam kes-kes terpencil, berlaku hal ini. Kes terpencil sebegini tetap berlaku hatta dalam negara maju yang meratifikasi ICERD seperti US, UK dan Australia. Menteri tersebut yang pernah memperjuangkan Hindraf, setakat ini belum datang dengan penyelesaian berbentuk wacana ilmiah berkaitan isu yang lebih mendesak dalam negara.
Menteri PENING -berdasarkan hukum keutamaan, rule of priority- seharusnya meneliti masalah dalaman kita seperti prejudis perkauman, isu sekolah vernakular, bahasa perpaduan, dan isu kemarahan Borneo terhadap Semenanjung. Sebagai Menteri portfolio PENING, beliau perlu dahulukan isu berbangkit ini sebelum kelihatan terburu-buru mahu meratifikasi ICERD, lalu mencetuskan konflik baharu yang segar antara kaum dan agama dalam negara. Nampaknya beliau gagal menguruskan persefahaman kaum dalam percubaan yang pertama.
Langkah yang sepatutnya diambil buat masa ini adalah mengumpulkan maklumat dan pandangan berkaitan isu berbangkit seperti yang diutarakan di atas tadi. Kita harmonikan keadaan dalam negara, sebelum pergi ke luar untuk meratifikasi. Bicara soal perpaduan dan integrasi. Bukan menimbulkan keributan yang tak melambangkan portfolio yang dipegang. Lagi satu, jika benar sekalipun Menteri ingin meneruskan rancangan beliau, setakat manakah kefahaman diberikan kepada rakyat terbanyak dalam memahami ICERD ini? Jangan nanti yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran. Kelihatannya seolah-olah Menteri bekerja untuk segolongan rakyat, bukan untuk semua rakyat Malaysia.
Jadi, bagaimana? Jika kita mahu menarik kesimpulan dalam isu ICERD ini, saya fikir maklumat lengkap perlu diperolehi sebelum melancarkan serangan. Jangan nanti serangan tanpa maklumat hanya bersifat propaganda murahan semata-mata. Bersikap adillah, walaupun yang di hadapan kita itu musuh politik kita. Sekali lagi, saya bantah ICERD. Bantahan atas sebab "hukum keutamaan." Dan keutamaan itu tadi adalah satu proses yang sangat panjang untuk diselesaikan.