Saya turun melawat ke sekolah rendah lama saya. Bilangan pelajar satu sekolah hanya tinggal 148 orang dari darjah satu hingga enam(kurang 50% daripada zaman saya). Saya melihat daripada 148 orang itu, hanya 5 orang adalah bukan Melayu. Mungkin ada dua pelajar Cina. Kemudian saya baru sedar sekolah saya diapit oleh dua SJKC (dulu sekolah-sekolah ni kecil, sekarang semakin besar). Sekolah saya pula sama sahaja kecilnya, dan paip bersimen retak yang saya pernah guna tahun 1997 dulu masih wujud).
Sedih apabila melihatkan bilangan pelajar di dalam sekolah kebangsaan(SK) yang tidak seimbang dalam peratusan kaum. Semakin lama semakin teruk. Saya tidak akan pernah menyokong apa-apa bentuk institusi pendidikan awal yang memecahkan pelajarnya mengikut fahaman kaum. Selagi mana wujud sekolah vernakular, selagi itu janganlah mimpikan sebuah bangsa "Malaysia" yang bersatu hati. Prinsip saya jelas. Saya mahukan semua rakyat Malaysia berkongsi satu bumbung dan dan dididik untuk bergaul antara kaum sejak kecil.
Kerana itu juga saya geram apabila SMPC menerima dana kerajaan dalam bajet 2019, seolah-olah kerajaan sendiri telah lari dari matlamat utama untuk menyatupadukan masyarakat dengan sekolah kebangsaan malah menggalakkan pula perkembangan SMPC. Salah satu masalah dari SMPC adalah mereka boleh mengambil seberapa banyak pelajar yang mereka mahu (kerana mereka tak boleh bina sekolah baru, mereka bina bangunan baru dan bina cawangan. Pelajar disumbatkan lebih 50 orang sekelas) sehinggakan peratusan pelajar Cina dalam SK dan SMK semakin mengurang dan menyukarkan lagi usaha integrasi antara kaum.
Sudahlah sekolah itu kaya dari yuran yang tinggi dan tajaan komuniti Cina, dapat pula dana kerajaan. Sekolah berfasiliti mewah dan hebat (rujuk gambar), ibu bapa mana yang tidak mahu hantar anaknya ke sini?
Begitu juga SJKC, tidak pelik jika kita lihat ramai ibu bapa bukan Cina juga menghantar anak mereka ke SJKC kerana fasiliti dan pengurusan yang lebih bagus. Ditambah pula dengan persatuan ibu bapa yang aktif dan rajin memberi sokongan dalam bentuk dana atau penyertaan. Mereka berkemampuan dan mereka serius. Orang bukan Cina yang hantar anak ke SJKC bagi saya hanya menumpang kelebihan kemudahan yang wujud atas solidariti ibu bapa Cina di situ.
Saya dah bosan dengar cerita mak bapak anak sekolah kebangsaan yang liat bayar yuran PIBG. Yuran tu untuk anak-anak mereka juga. Susahlah saya nak terangkan lagi. Kalian dah faham kan saya nak cakap apa ni.
Dengar kata isu UEC dibangkitkan semula. Tunggu masa je. Kita memang dah tak ada kuasa apa-apa kalau perangai kita tak mahu ubah.