Macam Mana Najib Pernah Dikangkungkan, Sebegitulah PH Kini Dikangkungkan..

Oleh : Fathi Aris Omar
 
Kita tidak boleh marah atau berkecil hati pada DS Najib Razak atas sindiran, perli atau ejekannya terhadap kerajaan PH. Yang makin menjadi-jadi di Facebooknya.

Apa yang beliau buat ini bukan sekadar troll PH walau ia lucu atau mencuit hati. Beliau, penyokongnya dan penyokong PH yang tumpang gelak bersamanya menghina PH pada tingkat arasy paling tinggi.


Tokoh paling korup, paling tidak guna, dijulang sebagai sumber perlawanan. Bayangkan! Bukan setakat orang Umno berselindung di belakangnya, malah penyokong PH juga menjadikan Najib laluan menyakitkan hati PH.

Sama dengan kucing kurap mencakar muka permaisuri. Bukan kucing manja peliharaan permaisuri tetapi kucing kurap dihias indah-indah, dan kukunya diasah tajam-tajam, agar cakarannya membekas lebih dalam, agar kukunya yang kotor itu menyebarkan penyakit.

Sangat luas jurangnya, maka gelagatnya itu sangat menghinakan! Penyokong PH yang turut bergembira dengan lawak Najib menyampaikan mesej penghinaan itu juga.

Penghinaan ini pula simbol kecewa, geram atau sakit hati mereka yang, dulu-dulu, percaya bulat-bulat tetapi kini sedar ia tidak seindah harapan yang mereka impikan. Hiburan yang ditawarkan oleh Najib sekadar kosmetik menutup rasa kecewa itu.

Macam mana orang PH pernah mengkangkungkan Najib dulu, kini Najib pula mengkangkungkan PH. Bezanya ada penyokong PH yang dulunya mengkangkungkan Najib tetapi kini bersama beliau mengkangkungkan PH.

Kalau menteri PH macam menteri BN, sebilangannya "insulting our intelligence" macam BN dulu juga, maka Najib juga boleh melawak-lawak macam pembangkang dulu juga.

Apatah lagi sekarang belum muncul tokoh-tokoh pembangkang yang cukup wibawa dan popular, maka tokoh yang sedia terpampang di mata umum, termasuk penyokong PH, tentulah Najib. I enjoy Najib's trolls, therefore I am.

Ia bolehlah diumpamakan macam pelawak Benjamin S (dulu) menghina presiden Soeharto di RTM Indonesia. Pelawak hebat ini tidak pernah berbuat begitu tetapi cuba bayangkan begitu.

Cuba bayangkan dia diizin mengkarikaturkan Soeharto selama berjam-jam di TV Indonesia, cuba bayangkan dia membelakang tubuhnya di depan kamera, kita di rumah bertepuk tangan, bersorak dan berguling-guling atas kelucuan yang tidak senonoh itu.

Anggap sahaja Najib dan penyokongnya serta PH dan penyokong PH itu lelucon bangsa ini. Tidak perlu terlalu tegang walau hati sakit.

Tiap zaman ada gilanya, Najib dan PH ini kita anggap sebahagian kegilaan politik kita saat ini. Habis cerita. Esok kerja, cari makan.

Related Posts