Kenapa Cina, India Tak Ramai Hadir Pesta Buku?

Oleh : Arif Atan

Bahasa kebangsaan "bapa" segala jawapan

Mengapa tidak ramai atau hampir tiada orang Cina dan India membanjiri Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL)?

Jawapannya ada pada soalan mengapa ramai orang bukan Melayu terutama kaum Cina gagal menguasai bahasa kebangsaan tidak seperti etnik Tionghoa di Indonesia yang fasih berbahasa kebangsaan negaranya.

Akibatnya, kita pula jadi maha takjub apabila berjumpa orang Cina yang fasih berbahasa kebangsaan atau minat lagu Melayu sedangkan sepatutnya kita hairan dengan orang Cina rakyat Malaysia pelajar universiti pula tu selamba angkat plakad RAYKAT bukan RAKYAT.

Hatta sudah jadi wakil rakyat di negeri yang bersultan pun dalam sidang Dewan Negeri masih sebut "terbulu-bulu" bukan "terburu-buru". Sudah jadi Menteri pun selamba sebut "lemak tebu" bukannya "lemak tepu" dan "mengan-tungi" bukannya "mengandungi"!

Pola soalan itu juga sama dengan pertanyaan mengapa majoriti kaum Cina menolak untuk masuk Sekolah Kebangsaan sebaliknya memilih Sekolah "Jenis" Kebangsaan Cina atau paling ekstrem Sekolah Persendirian Cina yang bakal berkembang biak dari 62 buah tidak mustahil menjadi 62,222 buah sekolah jika kerajaan mengiktiraf UEC lantaran tunduk pada tuntutan perkauman.

Seterusnya, rantaian soalan berkaitan: Mengapa tidak ramai kaum Cina masuk perkhidmatan awam apatah lagi menyertai anggota keselamatan polis, tentera juga pasukan seperti Jabatan Perkhidmatan Awam dan RELA.

Soalan berbeza tetapi temanya sama. Bahasa kebangsaan "bapa" segala jawapan.

Kegagalan negara sejak lebih 60 tahun Merdeka membentuk taat setia warganegara bukan Melayu terutama kaum Cina kepada bahasa kebangsaan melahirkan 1001 soalan tentang jurang interaksi sosial antara kaum di negara kita.

Related Posts