Pertukaran menteri besar Kedah yang berlaku baru-baru ini antara punca Pemilik Dherbs Holding (M) Datuk Aliff Syukri Kamarzaman menarik kembali hasrat untuk menaja pasukan bola sepak negeri itu.
Jutawan kosmetik yang terkenal dengan tagline “Terlajak Laris” itu berkata keputusannya untuk tidak menaja pasukan Helang Merah itu kerana perbincangannya itu ketika Datuk Seri Mukhriz Mahathir masih lagi menjadi menteri besar.
"Saya tidak jadi taja (pasukan bola Kedah), sebab waktu perbincangan, saya dengan Mukhriz.
"Jadi, bila dia tidak ada (letak jawatan menteri besar) saya tidak tajalah," katanya seperti dipetik dari laporan The Malaysian Insider.
Alif antara pemilik syarikat kosmetik yang berminat menaja pasukan bola negeri itu selepas trend tersebut dimulakan Datuk Seri Dr Hasmiza Othman yang terkenal dengan produk Qu Puteh di Kelantan.
Tambah laporan itu lagi, beliau bersetuju untuk menaja pasukan bola Kedah kerana bekas menteri besar itu yang memulakan usaha menghubunginya memohon tajaan.
Pada masa sama Aliff berkata setelah penarikan tajaan bola sepak Kedah, kini beliau mungkin mempertimbangkan tawarannya kepada 3 pasukan bola – Terengganu, Felda atau Pahang.
"Sekarang ini saya menunggu jawapan dari tiga pasukan bola sepak iaitu Felda, Terengganu dan Pahang," katanya.
Di bawah pimpinan Mukhriz, skuad Kedah berjaya bangkit semula apabila menjadi naib juara Piala Malaysia tahun lalu selain muncul juara Liga Perdana.
Ramai yang menyifatkan pengunduran Muhkriz sebagai menteri besar diganti Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanifah satu kerugian kepada industri bola negeri itu.
Mukhriz selepas mengumumkan pengundurannya turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), memandangkan kedudukan itu datang bersama jawatan menteri besar.