Cina China VS Cina Malaysia - Suatu Ulasan.

Oleh : Ayman Rashdan Wong

CINA CHINA VS. CINA MALAYSIA. 

Hampir 60 tahun merdeka, soal identiti Cina Malaysia masih belum selesai. Selain disuruh “balik China” dan dilabel “chauvinis”, “kiasu”, “oportunis” dan sebagainya, ada kalanya orang Cina Malaysia dipandang sebagai orang luar yang tidak setia kepada negara, bersubahat dengan negara asal (China) untuk menjatuhkan atau menjajah Malaysia. 

Balik Cina
Kredit gambar : CiliSos
Teori Cina Malaysia sebagai “fifth column” ini telah wujud sejak zaman Darurat dan masih timbul pada tahun 2017. Teori ini berdiri atas andaian bahawa Cina Malaysia dan Cina China ialah kelompok yang sama dan memiliki matlamat yang sama. 

Lagi-lagi kebangkitan China telah membuat ramai membuat spekulasi mengenai peranan Cina Malaysia. Hakikatnya Cina Malaysia dan Cina China tidak sama, malah boleh dikatakan berkonflik. 

Jangan terkejut dan hairan dengan tahap “Sinophobia” (takut/benci terhadap China) yang telah ditunjukkan oleh Cina Malaysia dalam komen-komen tentang isu baru-baru ini. 

Kehadiran warga China telah menimbulkan keresahan sebilangan besar Cina Malaysia. Sentimen yang sama juga berlaku di Singapura, Hong Kong, dan Taiwan -- negara-negara yang dikenali sebagai negara majoriti Cina. 

Warga China dipandang serong oleh orang Cina tempatan. Media-media tempatan tidak segan silu menyifatkan Cina China sebagai “barbarian” yang tidak beradab dan materialis. Kalau benar andaian orang Cina seluruh dunia ini sentiasa bersatu, mengapa jadi begini? 

Sebabnya, pertama, orang Cina tempatan juga melihat diri merempat di negara sendiri. 

Kedua, terdapat konflik identiti di antara Cina China dan Cina tempatan yang tidak dapat dipertemukan (irreconciliable). Mereka khuatiri kemasukan Cina China berpotensi menghakis identiti Cina tempatan dalam tempoh masa panjang. 

Mengapa walaupun sama-sama digelar Cina, identiti pula tidak sama? Kerana di mana-mana sahaja, identiti ke-Cina-an itu telah pun berubah mengikut acuan legasi sejarah dan budaya tempatan, maka terbentuklah identiti Cina setempat yang unik. 

Di Singapura, legasi Negeri-Negeri Selat. Di Hong Kong, legasi pemerintahan British. Di Taiwan, legasi pemerintahan Jepun selama 50 tahun dan pengaruh suku-suku orang asli. Cina Malaysia pula telah menyerap unsur-unsur tempatan dan menjadikan mereka komuniti yang unik dan berbeza dari Cina China. 

Bukan saja budaya, konsep kenegaraan Cina Malaysia juga tidak sama dengan Cina China. Dalam Bahasa Inggeris, “Chinese” boleh bermaksud orang China atau orang berketurunan Cina. Namun dalam Bahasa Cina, orang China digelar “Zhongguoren” (中國人) sementara orang Cina digelar “Huaren” (華人). 

Zhongguoren ialah konsep yang terbatas dengan sempadan negara iaitu orang yang bermastautin di China. Huaren merujuk kepada mereka yang berketurunan etnik Cina di sebelah ayahnya (penguasaan Bahasa Cina bukan syarat untuk digelar Huaren). Mustahil bagi seseorang Huaren menjadi Zhongguoren kalau bukan warganegara China. 

Malah definisi Zhongguoren juga merangkumi etnik-etnik seperti orang Manchu, orang Tibet, orang Mongol dan sebagainya. Disebabkan konsep Huaren itu tidak merujuk kepada negara tetapi kepada etnik, Cina Malaysia tidak pernah melihat pengekalan budaya dan warisan Cina itu bertentangan dengan kewarganegaraan Malaysia. Ia tidak saling mengecualikan (mutually exclusive). 

Beridentifikasi diri dengan susur galur keturunan dan budaya Cina bukan bermaksud tidak setia kepada negara, cuma, orang Cina adalah jenis yang tidak melupakan asal usulnya. 

Orang Cina berpegang kepada prinsip “minum air, ingat sumbernya” (yinshui siyuan, 飲水思源) dan “tidak lupa asal usul” (wuwang genben, 勿忘根本). Orang yang lupa asal usul bagai pohon yang tidak mempunyai akar (gen, 根). Jadi, kebanyakan orang Cina mempunyai amalan “mencari akar” (xungen, 尋根) dengan menjenguk tempat asal di China. 

Tindakan sebegini tidak bermaksud mereka masih mahu kembali ke sana tetapi hanya sebagai penghayatan asal usul secara simbolik. Yang layak digelar kampung atau “rumah” (jia, 家) hanyalah Malaysia. Tanya mana-mana Cina Malaysia "asal mana?", dia akan jawab "Ipoh", "Alor Setar", tidak sesekali muncul nama tempat China. 

Ada yang melihat “keengganan” Cina Malaysia untuk berasimilasi sebagai “bukti” mereka masih setia terhadap tanah asalnya. Ini tanggapan yang salah. Proses asimilasi yang lambat tidak sama dengan tiada langsung asimilasi. 

Seperti yang dikatakan tadi, Cina Malaysia telah pun dilokalkan mengikut konteks tempatan, bukan “transplant” dari Cina China. 

Identiti Cina Malaysia itu wujud, dan terdapat juga “Bahasa Cina Malaysia” yang telah menyerap istilah-istilah Melayu seperti “suka”, “baru”, “duit”, “mata” (polis) dan sebagainya. 

Orang luar tidak pernah mengelirukan Cina Malaysia dengan Cina China. Adakah kerana Cina Malaysia banyak berurus niaga dengan Cina China, maka kita boleh kata mereka bersubahat dengan kuasa luar? 

Dalam budaya Cina ada pepatah “business is business” (zaishang yanshang, 在商言商). Susur galur keturunan Cina dimanfaatkan oleh Cina Malaysia untuk memudahkan mereka berniaga di China, kerana orang Cina China masih menitik berat tentang soal “guanxi” (關係, jaringan kerja atau network) dalam urus niaga. 

Orang asal usulnya Hokkien lebih mudah berurus niaga dengan peniaga dari Fujian kerana berkongsi dialek yang sama. Orang yang membawa nama keluarga Lee lebih mudah bergaul dengan peniaga yang bernama keluarga Lee. 

Tidak dinafikan dalam mengejar keuntungan, ada peniaga-peniaga Cina yang telah mengabaikan soal kepentingan negara, tetapi itu bukan bermaksud tiada kesetiaan, cuma tiada kesedaran. Cina Malaysia bukannya boleh mengawal tindak tanduk kerajaan China. 

Tindakan melulu China seperti mengeluarkan komen tentang politik domestik dan pengeluaran “Kad China” tidak mewakili pendirian Cina Malaysia. 

China hanya melihat Cina Malaysia sebagai aset yg boleh dipergunakan, tetapi tidak pernah menganggap atau sedia menerima mereka sebagai sebahagian daripada rakyat China. Begitu juga dengan Cina Malaysia. Hubungan Cina China dan Cina Malaysia hanya terbina atas transaksi. 

Selain beberapa titik nila keliru identiti yang merosakkan, secara amnya Cina Malaysia tidak menaruh sedikit pun ikatan emosional terhadap Republik Rakyat China. 

Kita mungkin berbeza pendapat semasa berpolitik, namun perbezaan tersebut tidak sama dengan pengkhianatan terhadap negara. 

Berlapang dada memahami aspek kebudayaan Cina Malaysia, adalah lebih afdhal dari mempersoalkan kesetiaan orang lain.

Related Posts