Make Japan Great Again : Geopolitik Jepun Di Era Pentadbiran Donald Trump.

Oleh : Ayman Rashdan Wong

'MAKE JAPAN GREAT AGAIN': GEOPOLITIK JEPUN DI ERA TRUMP 


Kalau Rusia lah yang paling gembira dengan pertabalan Trump sebagai presiden US, Jepun lah yang paling runsing sekali. Dalam masa tidak sampai seminggu (17 November yang lalu), Shinzo Abe, perdana menteri Jepun bergegas mengunjungi Menara Trump untuk “slow talk” dengan Trump yang masih president-elect. Apa yang membuat Abe gelojoh sangat? 

Kerana Trump mewakili mimpi ngeri Jepun selama ini: dasar luar US yang isolasionis/realis dan ekonomi US yang proteksionis, sedangkan Jepun selama ini bergantung kepada sebuah US yang memberi perlindungan ketenteraan secara “murah hati” dan membuka pasarannya kepada barangan Jepun. Jepun dan US mempunyai hubungan cinta dan benci (love-hate relationship). 

Jepun dan US dapat berubah dari musuh jadi rakan dalam masa yang sangat singkat (1945 Jepun menyerah kalah, 1952 Jepun dan US menubuhkan pakatan) kerana pertemuan kepentingan (convergence of interests). Memasuki Perang Dingin, US memerlukan sebuah negara yang berkedudukan strategik untuk mengekang kemaraan Soviet dan China. 

Jepun merupakan negara yang paling ideal. Pada masa yang sama, Jepun perlu membangunkan semula negara yang hancur akibat perang yang dicetuskan diri sendiri. Maka, perdana menteri Yoshida Shigeru (1946-1954) memperkenalkan “Doktrin Yoshida” (Yoshida Doctrine) yang menetapkan halatuju Jepun sebagai sebuah negara damai (pacifist). 

Dalam Perlembagaan 1947, Jepun telah melepaskan “peperangan sebagai hak kedaulatan negara” melalui Perkara 9 yang menyatakan bahawa “angkatan darat, laut dan udara, serta mana-mana potensi perang yang lain, tidak akan disimpan lagi" oleh Jepun. 

Dengan itu, Jepun menjadi sebuah negara yang tidak mempunyai angkatan tentera. Pasukan Pertahanan Diri Jepun (JSDF) bukan angkatan tentera, walaupun memainkan fungsi yang seakan sama. 

Tujuannya adalah supaya Jepun dapat berfokus dalam pembangunan ekonomi. Namun untuk mencapai tujuannya Jepun mestilah bernaung di bawah sebuah negara yang berkemampuan melindunginya dari negara seperti Soviet, China dan Korea Utara. 

Maka Amerika bertindak sebagai penjamin keselamatan dengan menempatkan angkatan tenteranya di Jepun dan memberi “payung nuklear” (nuclear umbrella) kepada Jepun. 

Meskipun hubungan Jepun dan US yang harmoni adalah penting, kebangkitan ekonomi sejak 1970-an telah menggugat kedudukan industri US. 

Maka bermuncul lah kempen “Hentam Jepun” (Japan Bashing) yang digerakkan oleh bisnes-bisnes dan perkerja-pekerja (terutamanya dari industri automotif dan besi keluli) yang merasa peluang ekonomi mereka telah dirampas oleh Jepun. Mereka mendesak kerajaan US supaya mengenakan cukai tarif ke atas barangan Jepun untuk melindungi mereka. 

Donald Trump ialah antara Penghentam Jepun yang paling terkemuka pada 1980-an. Bukan sahaja Trump menghentam dasar ekonomi Jepun, malah Trump turut menghentam dasar keselamatan Jepun yang disifatkan sebagai “menumpang percuma” (free riding) atas perkhidmatan US. 

Bagi Trump yang bermentaliti bisnes, kalau nak guna fasiliti ketenteraan US, sila bayar. Trump masih konsisten sehingga hari ini. Kalau 30 tahun yang lepas, mungkin Jepun mampu memuaskan hati Trump dan para penghentam Jepun yang lain, namun ekonomi Jepun kini sudah tidak seperti yang dulu. 

Jepun masih terperangkap dalam kelembapan ekonomi sejak 1990-an. Rancangan ekonomi “Abenomics” gagal merangsangkan ekonomi Jepun. Bertrillion yen diperlukan untuk Sukan Olimpik 2020. 

Kemunculan Trump dengan permintaan peliknya membuat Abe bertambah sakit kepala, dan Abe tiada pilihan selain slow talk dengan Trump. Namun pada masa yang sama kemunculan Trump sebenarnya “berkat tersembunyi” (blessing in disguise). 

Kerana Doktrin Yoshida telah lama dipertikaikan oleh ahli politik dan cendekiawan yang berhaluan kanan dan ultra-nasionalis. Mereka berpendapat penaungan Jepun di bawah Uncle Sam amatlah memalukan dan merendahkan martabat bangsa Jepun. 

Mereka mendesak supaya Perkara 9 Perlembagaan dipinda bagi membolehkan Jepun kembali menjadi sebuah “negara yang normal” (futsu no kuni). 

Abe adalah seorang politikus berhaluan kanan, dan datuknya Nobusuke Kishi merupakan bekas PM (1957-1960) yang pernah terlibat dengan kesalahan jenayah perang semasa WW2. Walaupun US mahu mengurangkan komitmen, ia tidak akan meninggalkan Asia begitu sahaja. 

Kekosongan kuasa (power vacuum) di Asia Tenggara adalah bahaya bagi Vietnam, Filipina dan Malaysia. US di bawah Trump pun pasti akan menggunakan proksi atau dalam bahasa IR “offshore balancer” untuk mengimbangi China. 

Ini memberi alasan kepada puak kanan untuk melanggar had Perkara 9 supaya dapat menjadi penjamin keselamatan serantau yang lebih berkesan. Malah proses pemindaan perlembagaan Jepun telah pun bermula sejak Abe menjadi PM. 

Cuma, majoriti rakyat Jepun masih tidak dapat keluar daripada trauma Hiroshima dan Nagasaki. Bagi mereka, untuk mengelakkan tragedi yang sama, elok mereka tidak terlibat dengan peperangan buat selama-lamanya. 

Percubaan Abe untuk meminda perlembagaan telah membawa kepada demonstrasi besar-besaran pada September 2015. Orang Jepun ini walaupun nampak lemah lembut, ganas juga kalau berdemo. 

Datuk Abe, Kishi telah meletak jawatan pada 1960 akibat protes rakyat ke atas penyambungan perjanjian keselamatan dengan US. 

Dan lebih membimbangkan ialah reaksi China dan Korea Selatan yang masih dendam dengan Jepun. Tindakan Abe yang kontroversial telah membuat Korea Selatan semakin jauh dari US dan Jepun dan mencondong ke China. 

China akan guna kebangkitan semula Jepun sebagai preteks untuk menjadi ofensif. Sama-sama kita melihat mampukah Abe mengembalikan status Jepun sebagai negara yang normal, atau dengan kata lain, “make Japan great again”. Ini adalah antara perkara yang bakal jadi menarik pada era Trump. 

Bacaan lanjut;

Japan Rising: The Resurgence of Japanese Power and Purpose (Kenneth B. Pyle, 2007) 

The Abe Restoration: Contemporary Japanese Politics and Reformation (Craig Mark, 2016)

Related Posts