Oleh : Sadiq Jebat
Karl Marx : Sejarah, Ideas, dan Revolusi. |
130 tahun dahulu iaitu bertarikh 14 March 1883, kematian Marx dikenang, sehingga namanya diangkat di dalam BBC dengan mendapat undian paling terbanyak bahawasanya beliau seorang pemikir yang termasyhur sepanjang zaman. Sumbangan Marx dalam bidang sejarah tidak boleh dilupakan, teori Dialektikal Historis beliau telah membuka mata manusia tentang kebobrokan kapitalis. Bahkan, terhasil Dialektikal Materialisme yang membincang perihal teori konflik antara kapitalis dan proletariat untuk melahirkan sebuah dunia yang baharu.
Masa ini ramai yang cuba ‘memahami’ Marx. Mereka membaca karya Marx daripada orang lain yang menulisnya, sedangkan Marx mempunyai karya sendiri tetapi tidak pula mereka menelaah nya. Terdapat dua kategori yang ingin menjatuhkan Marx, pertama yang terus terang menonjolkan diri dengan menyerang idea-idea Marxism. Manakala yang kedua pula cuba untuk menginterpretasikan idea-idea Karl Marx dengan panjang lebar sekali dalam pada memutarbelitkan maksud sebenar Marxism. Namun, Marx pernah berkata semasa di penghujung hayatnya “Apabila aku melihat gelagat dan kerenah orang yang mengisytiharkan dirinya sebagai Marxis, aku saban kali tertanya-tanya adakah aku ini termasuk dalam golongan yang menggelarkan diri sebagai Marxis.”
Ada orang berkata membaca karya-karya Marx sangat menyukarkan, bahasanya terlampau tinggi dan penuh dengan perkataan jargon. Sebenarnya itu tidak benar sama-sekali. Marx menulis dengan ilmiah tetapi mudah difahami. Ini kerana penulisannya ditulis untuk golongan remaja dan pekerja. Oleh sebab itu penulisannya tidak terlampau berat dan begitu mudah difahami. Tetapi apabila datang kepada penginterpretasi ini, mereka mula membuat argumen yang langsung bercanggah dengan apa yang Marx sampaikan. Penulisan beliau banyak menjurus tentang class struggle dalam konteks kelas pekerja.
Kehidupan Marx boleh di bahagi kepada dua bahagian bagi memudahkan pembaca, pertama Marx muda (Young Marx) dan keduanya Marx tua (Old Marx). Ini bagi memudahkan para pembaca untuk melihat perkembangan idea-idea Marxism dalam mencapah sehingga kematian menjemputnya. Tidak lupa juga kepada sahabat karibnya Friedrich Engel. Ramai pengkritik Marxism kebanyakan pengkritik amatur menyangka Marx seorang yang inventif idea-idea Scientific Socialism termasuk Communist Manifesto. Sedangkan kerja yang dibuat oleh Marx itu dibantu oleh rakan karibnya Friedrich Engel dan beberapa rakan beliau di Liga Komunis.
Golongan pekerja harus membaca karya Marx agar mereka dapat memahami apa yang Marx sampaikan, dan seperti mana yang kita ketahui untuk rakyat Malaysia, golongan pekerja bawahan kita di ’monopoli’ oleh orang asing iaitu bukan ingenious worker (Pekerja Tempatan). Ini yang menyukarkan kita di Malaysia, maka pendekatan harus di ubah iaitu harus tertumpu pada golongan kelas pertengahan; Guru, mahasiswa, Intelektual, kerani, Jurutera dan penjawat awam. Idea-idea Marx bukan sekadar ilmu untuk pengetahuan am, tetapi lebih daripada itu. Idea beliau membincangkan tentang memahami dunia dengan lebih dekat, memahami bahawa ekonomi memainkan peranan penting dalam pembentukan manusia. Teori konflik yang mampu mengubah tingkah laku, politik dan juga individu itu sendiri.
Sejarah Marx
Marx dilahirkan pada 195 tahun dahulu pada 5 Mei 1818 di Trier, German Rhineland. Keluarganya adalah daripada keturunan Yahudi yang selepas itu bertukar kepada Kristian (Lutherism). Ini menolak hujah konspirasi Marx seorang Yahudi yang ingin menjatuhkan umat Islam. Sesungguhnya konspirasi Marx seorang Yahudi yang cuba menjatuhkan umat Islam adalah satu pembentukan teori konspirasi yang tidak teratur dan diputarbelitkan. Marx seorang yang mempunyai intuisi tinggi sejak kecil lagi, beliau dihantar di Universiti Bon untuk meneruskan pengajian dalam perundangan. Pada waktu itu, bidang perundangan adalah amat berprestij dan berguna! Selain itu ada yang mengklaim beliau mempelajari Yunani dan Rom Mythology. Tetapi jelas tesis falsafah PhD dibuat tentang Democritus dan Epicurus.
1836 beliau melanjutkan pelajaran di Universiti Berlin mempelajari tentang undang-undang dan kerap kali menghadiri kelas Bruno Bauer. Bruno Bauer lebih dikenali sebagai anak buah kepada George Hegel. Beliau mendapat Sarjana Undang-undang di Universiti Jena pada tahun 1841. Diceritakan juga, beliau banyak dipengaruhi zaman mudanya oleh Ludwig von Westphalen, mengajar beliau tentang syair dan falsafah. Westphalen memperkenalkan penulisan Shakespeare dan penyair Yunani. Di Berlin Marx lebih mendekati kelompok ‘Left Hegelian’ iaitu mengaku aties dan seorang liberal radikal dalam memerangi sistem feudal kerajaan Prusia.
Pada tahun 1843, Jenny anak perempuan Westphalen telah dijadikan isteri kepada Marx dan juga teman sejati sepanjang perjuangannya. Jenny seorang isteri yang sangat radikal dan taat kepada Marx, walaupun dipenuhi ranjau, sakit dan luka perjuangan, hubungan mereka tidak langsung terputus. Malahan Jenny pernah mengukir sebuah syair tentang kehidupannya bersama Karl Marx; menceritakan suka duka mereka mengharungi cabaran sebagai radikalis.
Penglibatan Marx dalam bidang falsafah bukanlah semata-mata bersifat akademik tetapi banyak kali beliau melibatkan diri dalam perdebatan falsafah walaupun beliau masih seorang pelajar universiti. Bidang falsafah menajamkan lagi pemikiran beliau tentang konsep dunia dan cara aturan dunia terbentuk termasuk perkembangan manusia yang berkait rapat dengan materi. Sewaktu itu, nama George Hegel menjadi sebutan para falsafah kerana kehebatan idea Hegel tentang kesadaran (Consciousness) dan dialektikal. Malahan Hegel juga seorang yang menyokong revolusi Perancis, menurutnya revolusi itu akan membuka satu era baharu bagi masa depan manusia di mana kerasionalan dan kewasaran akan menjadi kayu ukur kepada tindak tanduk manusia.
Kelompok Hegelian Muda (Young Hegelian) ini dan kumpulan yang sependapat dengan mereka telah bersatu untuk menentang kerajaan Prusia yang menindas mereka ketika itu. Revolusi Perancis, 1789 dapat menyedarkan rakyat tentang hak mereka termasuk idea-idea progresif itu juga dapat mengubah sistem Jerman Feudal yang sedia ada dengan sistem demokrasi kapitalis. Sebenarnya idea-idea ini sudah dikhatamkan oleh Marx, kerana sejak kecil lagi, ayahnya telah menjemput beberapa tokoh penting datang ke rumah mereka untuk membincangkan idea-idea liberal. Bahkan ayah Marx seorang penyanjung Voltaire dan John Stuart Mill kala itu yang menjadi tokoh penting dalam abad pencerahan. Ayah Marx sanggup membiayai akhbar progresif, Rheinische Zeitung yang memuat turut idea-idea penting bagi menentang kerajaan feudal Prusia. Malahan Marx juga menjadi editor setelah kembalinya di Trier pada 1841.
Marx pernah berkata, “Ahli-ahli falsafah hanya mentafsir dunia dalam berbagai-bagai cara dan bentuk; yang paliign penting adalah untuk mengubahkannya.” Ayat ini menjadi satu corak perubahan dalam diri Marx, daripada seorang penggemar falsafah kepada seorang revolusioner. Tetapi tidak menjadi Marx seorang pembenci falsafah tetapi sekadar mengingatkan ahli ‘akademik’ supaya berhenti bercakap sahaja tetapi lakukan gerak kerja yang lebih mendasar. Begitu jua, seperti kata Stephen Hawking, “Falsafah telah mati”- menonjolkan makna yang membidas bidang falsafah itu sendiri.
Sepanjang hayatnya, Marx berjaya untuk menggabungkan idea-ideanya dengan pengalaman hidupnya, termasuk membawa apa yang dipelajari itu dalam pergolakan politik dan sosial pada masa itu. Contohnya, analisisnya terhadap pemansuhan hak tradisional petani untuk mengutip kayu dari hutan. Undang-undang baharu mentafsirkan bahawa mengutip kayu dari hutan sebagai kegiatan mencuri kerana kayu itu sudah menjadi milikan tuan tanah yang pada masa itu berpengaruh dan kaya raya. Malahan golongan borjuis di kala itu sebulat suara untuk menguatkuasakan undang-undang ini pada waktu itu. Jelas bahawa ekonomi kapitalis yang berlandaskan harta individu (swasta) tidak dapat menjamin masa hadapan rakyat yang menderita dan tidak berharta.
Peristiwa itu telah mendorong Marx untuk mendalami lagi pergolakan yang berlaku dalam masyarakat khususnya dar sudut perjuangan kelas (class struggle). Namanya melonjak naik setelah beliau meluahkan perasaannya dalam akhbarnya dan menggugat kewibawaan kerajaan Prusia saat itu. Maka Marx dipulaukan kerana idea-idea nya terlampau radikal menentang kerajaan Prusia. Marx dan Jenny terus ke kota Paris untuk meneruskan perjuangan mereka walaupun dipulau oleh ahli keluarga dan sahabat handai, namun itu tidak mengecewakan pasangan Marx-Jenny itu.
Di Paris Marx telah menjadi penulis di sebuah jurnal baru iaitu- Dutsche Franzosische Jahrbucher. Pada Oktober Marx mula menjemput falsafah Ludwig Feuerbach bagi membincangkan tentang rencana kewujudan idea-idea berpunca daripada hubungan sosial. Marx percaya bahawa kepercayaan dan hubungan sosial seseorang itu terbentuk dari keadaan dan hubungan materi di dalam masyarakat itu sendiri- kontradiksi teori Hegel. Daripada idea inilah maka Marx beralih daripada idea-idea Hegel dan Hegelian Muda kepada idea-idea Materialisme. Pembincangan Marx dan Feuerbach agak bersifat abstrak tetapi pembentukan idea-idea itu tetap terjadi, bahkan teori Marx mengenai Materialisme sangat berbeza dengan apa yang di rencanakan oleh Feuerbach. Marx telah menulis Theses on Feuerbach bahawasanya ada beberapa idea Materialisme itu masih bersifat falsafah dan idealis, masih terikat dengan perkara yang tidak mampu dibuktikan.
Kata Feuerbach, apa yang sangat penting adalah merevolusikan keadaan kehidupan yang sebenarnya dan mengambil kira idea-idea dan kemungkinan yang akan timbul dari proses atau dinamika perubahan tersebut. Marx tidak menganggap perubahan ini dalam konteks intelektualan sahaja, tetapi perkembangan idea ini membawa sebuah peradaban untuk pembentukan manusia yang hidup dalam konsep kolektivisme. Ini kerana Marx pernah berdepan dengan golongan pekerja yang serba kekurangan dalam masyarakat perindustrian. Marx sangat terharu dengan kegigihan golongan pekerja ini hatta mereka dikatakan malas oleh golongan borjuis; “Sejarah pula sedang menyediakan unsur-unsur yang praktikal bagi pergolakan yang berlaku di kalangan ‘kaum liar’ dalam masyarakat yang bertamadun kita ini, agar mencetuskan proses pembebasan umat manusia” (Marx dan Friedrich Engel, Collected Work 1975.)
Pada September 1844, Marx telah bertemu dengan rakan karibnya Engel, pertemuan itu asalnya adalah yang kali kedua, di mana pada pertama kalinya, Engel tidak bersetuju dengan idea-idea Karl Marx. Tetapi perubahan idea Engel sejajar dengan pemikiran Marx telah membuatkan nama mereka melonjak naik ke persada dunia. Mereka berdua terus mengorak langkah ke hadapan dengan membincangkan ketirisan ekonomi kapitalis dan membuat gerakkan pekerja untuk melawan golongan kapitalis itu sendiri. Pergerakan mereka bukan sekadar lepak dan bincang tetapi pembincangan mereka tentang strategi melawan golongan penindas.
Selain daripada itu, Marx dan Engel juga mempunyai beberapa ‘musuh’ dalam memperjuangkan idea mereka. Proudhon iaitu seorang anarki sejati telah membidas idea-idea Marx bahawa sewajarnya untuk mencapai sebuah dunia yang bebas dan aman perlu hidup seiring dengan kapitalis dan mengubahnya daripada dalam. Hujah itu disangkal oleh Marx dalam draf beliau iaitu, Poverty of Philosophy 1847. Marx mengkritik keras idea Proudhon itu dengan fakta yang disertakan sekali. Bukan sahaja Proudhon, Marx juga membidas Max Stirner dan Bruno Baur dalam pewujudan idea berkait rapat dengan hubungan sosial (hubungan manusia dan materi).
Marx dan Engel berkerah tenaga, dan membanting tulang untuk menjayakan idea-idea mereka dengan menyerang hujah dangkal golongan kapitalis, petit borjuis, anarki seperti Mikhail Bakunin, Sosialis Sejati (Nazi) Jerman dan yang lain. Mereka telah mengubah idea Utopian Socialism kepada Scientific Socialism dengan pembincangan yang lebih mendasar dan teratur. Socialism tidak lagi menjadi sebuah idea-idea sahaja, tetapi sebuah teori yang mapan membincangkan perihal perlawanan kelas, satu produk perkembangan sejarah. Iaitu sebuah idea Marx dan Engel.
Ideas.
Pada 1843, beliau telah menulis dua draft penting sepanjang zaman, pertamanya adalah Contribution to a Critique of Hegel's Philosophy of Right iaitu penentangan beliau terhadap idea Hegel berkenaan metafizik, juga membidas agama sebagai khayalan manusia, ciptaan manusia semata-mata dalam minda manusia. Bersifat idealistik, tidak nyata. Selain itu di dalam draft inilah kata-kata Marx yang termasyhur tentang agama mula diperdebatkan saban hari iaitu agama sebagai candu. Marx membahaskan perkara ini kerana dikatakannya agama bertindak sebagai candu untuk manusia, iaitu mengurangkan rasa sakit ditindas oleh golongan kapitalis sehingga mereka merasa gembira dengan penindasan itu. Malahan Marx sangat skeptik dengan kehadiran agama, tanpa agama Marx mengatakan manusia bisa maju ke hadapan.
Idea Marx itu disanggah oleh Emile Durkheim tentang kewujudan agama dapat membentuk tamadun yang baik. Manakala Max Weber juga membidas idea Marx tentang agama, hatta Max Weber membahaskan agama dalam konteks ketidakadilan tuhan, tetapi baginya agama masih dapat membentuk jiwa manusia untuk bersatu dalam satu kelompok manusia bagi membina satu tamadun yang berjaya.
Selain itu juga, Marx menulis kepada Bruno Bauer menjawab persoalan Bruno tentang kebobrokan agama Yahudi. Berkenaan polisi dalam agama Yahudi itu sendiri dari sudut pandangan seorang ateis. Marx membidas idea-idea Bruno dalam draft beliau iaitu On the Jewish Question. Marx membezakan antara pembebasan politik, manusia dan hak-hak asasi manusia termasuk hak kebebasan. Pencerahan yang diberikan Marx ini lebih teratur dalam membidas idea Yahudi, sehingga Marx digelar sebagai anti-semantis oleh penganut agama Yahudi. Marx meneruskan ideanya bahawa pembebasan politik sangat berkait rapat dengan kewujudan agama. Baginya, kewujudan agama melemahkan manusia itu sendiri kerana kerajaan memberi dos untuk golongan pekerja bagi menindas mereka dengan lebih kerap lagi. Marx juga membidas maksud hak kebebasan (liberal right) kerana baginya kebebasan itu sewajarnya dilihat dalam konteks hubungan manusia sesama manusia, bukan sekadar hak individu itu sendiri.
Pada musim panas 1844, beliau juga telah menyiapkan satu lagi tulisan penting beliau, tetapi tidak di ekpos sewaktu zamannya iaitu Economic and Philosophical Manuscripts. Sewaktu inilah dia berjumpa rakan Engel itu. Pembincangan dalam tulisan itu membincangkan tentang kebobrokan ekonomi zamannya itu, tidak dinafikan beliau bahawa ekonomi kala itu membentuk industri yang baharu saban masa, tetapi penindasan dan pengasingan (alienasi) terhadap golongan pekerja terus berlaku. Ketika itu Marx baru sahaja berusia 26 tahun, namun kematangan beliau dalam dunia penulisan telah membolehkan beliau mengorak langkah besar ke hadapan khususnya kefahaman tentang ekonomi semasa. Marx mengaitkan hubungan ini semuanya dengan pengaruh manusia terhadap materi yang memuja pancaindera semula jadi, kebendaan, nafsu duniawi termasuk tenaga kerja.
Seperti kata Marx, “Tenaga dan kudrat si pekerja itu telah dijadikan sebagai bahan pertukaran atau komoditi yang lebih murah nilainya bila dibandingkan dengan nilai komoditi yang dihasilkannya di dalam kilang. Malangnya peningkatan nilai dunia materialis (kebendaan) pula diiringi dengan penurunannya nilai manusia dan kemanusiaan. Identitinya sebagai seorang pekerja yang menyumbangkan tenaganya lenyap begitu sahaja selepas dia menghasilkan barangan kilang. Dengan perasaan alienasi, keterpinggiran atau pengasingan ini, si pekerja tidak lagi merasa seronok untuk bekerja atau tidak bangga dengan barangan yang dihasilkan dengan titik peluh sendiri. Malahan dia sudah dianggap sebagai alat, dirinya sebagai robot dan manusia tanpa perasaan lantas dimiliki dan diuli oleh kuasa luar. Maka kehidupannya tidak mempunyai haluan dan dirinya terasing, terpisah dan keadaan senantiasa memusuhi dirinya sekeluarga.”- (Marx, Manuskrip Ekonomi dan falsafah. 1967)
Tulisan ini menjadi satu anjakan paradigma untuk Marx membina idea ekonominya dengan lebih mapan bersama rakan karibnya Engel. Sememangnya kapitalis sudah menyedari bahawa mereka menindas para pekerja ini tetapi atas dasar liberal right, penindasan itu tidak digelarkan sebagai penindasan tetapi hak individu untuk memilih hala-tuju mereka. Paradoks atau percanggahan yang bertimbal balik ini menjadi nadi penting untuk Marx membidas idea-idea kapitalis, seperti teori lebihan kerja (Surplus Labor) yang dihisap oleh golongan kapitalis menjadi satu perkara penting untuk diperbincangkan. Semestinya mereka (kapitalis) inginkan keuntungan yang lumayan dengan mengawal sumber produksi (Means of Production) seperti kilang, mesin, tanah, resources dan juga tenaga kerja.
Pengasingan dan tekanan pengasingan (alienasi) ini telah menjadi satu masalah dalam sistem kapitalis, maka bagi golongan pekerja untuk menentangnya adalah melalui jalan perjuangan yang mantap menentang golongan kapitalis. Tidak boleh katakan tidak akan permasalahan ini, jika dibiarkan sahaja, maka penindasan ke atas golongan pekerja akan terus berlaku, dan menjadi ala bisa tega biasa sehingga masyarakat menganggap ini adalah satu perkara yang biasa dalam sesebuah negara. Sedangkan ia bukanlah satu perkara yang biasa dan tidak akan pernah menjadi satu perkara yang biasa apabila membabitkan penindasan terhadap manusia. Marx mengimbau kebangkitan kelas pekerja dalam menentang golongan kerajaan feudal sewaktu revolusi Perancis. Sewaktu itu, golongan usahawan tempatan atau borjuis tidak mampu untuk mengubah sistem feudal itu kecuali dengan bantuan rakyat yang tertindas, golongan pekerja sajalah yang mampu menyahut cabaran itu dek kerana mereka telah mengharungi pahit getir kemiskinan melampau.
Marx menolak kuasa tuhan mencampur tangan dalam perkembangan manusia, Marx lebih berpegang kepada teori konflik iaitu berlakunya konflik antara kelas pekerja dengan kapitalis akan melahirkan tingkah laku, politik, dan kerajaan yang baik. Oleh sebab itu, Marx percaya perubahan boleh dibawa oleh kelas pekerja, bahkan kajian ahli ekonomi Inggeris terhadap pergerakan sistem pengeluaran kapitalis telah mengukuhkan pendirian Marx bahawa “Pembebasan kelas pekerja adalah pada pekerja sendiri”. Kritikan terhadap agama diterima sedikit oleh Feuerbach berkenaan tindakan ekonomi bukan berpunca dari kuasa-kuasa tuhan, logika, atau kewarasan pemikiran, tetapi Marx telah melangkau jauh daripada itu. Bahawasanya, Marx percaya sejarah itu ditentukan oleh tindakan manusia dan konsep kefahaman manusia pula berkisar bersama perjuangan manusia untuk mengubah dunia materialis ini dengan menjadikannya sebuah dunia kolektivisme.
Tulisan Marx yang lain pula adalah The German Ideology ,Theses on Feuerbach, antara kritikan beliau terhadap fahaman materialisme Feuerbach. Tulisan ini membidas segala idea-idea Feuerbach yang masih bersifat idealistik dan metafizik, tidak saintifik. Dalam tulisan ini juga Marx membahas tentang agama dalam hubungan manusia, tetapi lebih banyak menyentuh tentang perkembangan manusia dalam konteks sejarah. Daripada sinilah terbinanya idea Dialektikal Historis beliau yang menjadi akar penting pembentukan idea-idea ekonomi Sosialis saintifik dan Komunisme. Marx juga menjelaskan lagi perbezaan antara idealisme dan materialisme bahawa materialism adalah satu interpretasi tentang hubungan manusia dengan materi mampu melahirkan idea baharu. Manakala menurut Idealisme pula, kehadiran materi itu kerana wujudnya ideal.
Sebenarnya perbezaan antara materialist dan idealist tidaklah terlampau jauh sewaktu itu, sekadar berkisar kewujudan idea dalam benak fikiran manusia untuk perkembangan manusia. Sedangkan Dialektikal Materialism Marx lebih mencapah idea materialisme lama. Pembincangan Marx mencakup ruang politik dan ekonomi, menceritakan pembentukan teori konflik antara tesis dan anti-tesis dalam pembentukan sintesis. Di dalam makalah ini juga, beliau menghubungkaitkan kepentingan linguistik dalam perkembangan manusia. Iaitu manusia memerlukan satu bahasa pertuturan bagi mengembangkan idea-idea. Penulisan ini ditulis sewaktu Marx Muda, dan perubahan Marx Muda dan Marx Tua berlaku dalam pemansuhan idea-idea nya tersendiri.
Dikatakan Marx Muda bersifat radikal, manakala Marx Tua agak ego-centric dan menumpukan kepada pembincangan teori sahaja. Sebenarnya ini adalah momokan untuk menjatuhkan Marx, Marx tetap aktif dalam berjuang, walaupun dia sibuk memikirkan kebobrokan sistem kapitalis tetapi saban masa dia tetap menulis artikel sampingan. Marx juga membincangkan perihal konsepsi kesadaran manusia dan pembebasan manusia dalam makalahnya The German Ideology. Iaitu berkisar tentang kepentingan individu, bersama dan kebersamaan. Penerangan beliau tentang hak-hak hubungan sesama manusia dalam pembahagian kepentingan bersama. Dalam ini Marx menekankan konsep division of class (Pembahagian kerja dalam konteks Pemilikan bersama).
Apabila manusia membuat kerja secara bersama, maka wujud kesalingantungan antara mereka, maka kewujudan kepentingan umum (general interest) adalah bersama dalam pembahagian kerja. Jelas di sini bahawa Marx menekankan hak kebersamaan yang bersifat kolektif. Pembahagian kerja inilah yang mewujudkan alienasi terhadap manusia, kerana pembahagian kerja akan mencipta distribusi daripada kerja dan produk yang berbeza-beza. Pembahagian kerja jelas adalah contoh utama bahawa manusia hidup dalam masyarakat yang berkembang secara alamiah. Tetapi kenapa pemilikan itu perli dimiliki secara individu? Itulah yang menjadi satu masalah akan sistem kapitalisme ini. Berkenaan produksi yang dimonopoli oleh satu kuasa sahaja sedangkan kerja dilakukan oleh golongan pekerja. Seperti kata Marx dan Engel, “Kami memperhatikan aspek aktiviti manusia iaitu pembentukan alam ini dibentuk oleh manusia sendiri, aspek lainnya berkaitan pula dengan penciptaan manusia oleh manusia”- The German Ideology. Jelas bahawa manusia itu sesama manusia bertindak dalam membentuk alam ini dengan daya usaha mereka.
Tulisan The German Ideology adalah tulisan awal Marx dan Engel dalam membahas sumber daya produksi berkait rapat dengan hubungan manusia. Serta perkembangan manusia berhubungkait dengan pembentukan sosial dalam ekonomi. Sewajarnya bagi sosok manusia yang ingin menelaah Marxism, perlu membaca karya-karya penting ini, agar maksud sosialisme itu difahami secara mendalam bukan sekadar superficial. Selain itu Marx banyak menulis draft yang membidas idea-idea dangkal musuhnya, seperti The Holy Family, kritik terhadap , kritik terhadap ‘Young Hegelian’.
Perjuangan Sebenar
Pada tahun 1848, Marx memulakan langkah revolusinya, dia mula menulis beberapa karya penting di sini seperti Communist Manifesto bersama rakan karibnya Engel, pada waktu ini juga, Marx menyibukkan dirinya dengan gerakkan revolusi pekerja. Mereka berdua mula berenang dalam arus revolusi, sebagai revolusioner, Communist Manifesto adalah sebuah karya yang membincangkan perkara yang serius tentang apa yang perlu dilakukan oleh kelas pekerja. Karya ini mengandungi analisis yang terperinci berdasarkan peristiwa-peristiwa yang telah berlaku dan yang akan berlaku. Ianya mengenal pasti ketegangan dan konflik yang berlaku di dalam masyarakat dan bagaimana pihak tertentu cuba membenam realiti materialis ini.
Di tulis di dalam Communist Manifesto, “Suatu gelombang roh sedang menghantui Eropah- Roh komunisme”- (Marx dan Engel, The Communist Manifesto).
Bagi pembaca adab ke- 21, manifesto ini tetap segar, kerana risalah politik ini membincangkan dengan cukup jelas tentang wawasan yang bakal dibina. Sesiapa yang membaca karya ini akan mendapat nafas baru, dan tidak kekang ditelan zaman. Ini kerana peristiwa yang telah berlaku dahulu masih bergolak pada zaman moden ini. Marx telah menjangka apa yang bakal berlaku dan apa yang kapitalisme bakal lakukan, perindustrian kapitalisme akan sampai kepada penghujungnya dan kebobrokan kapitalisme senantiasa dijangka. Jangkaan ini bukan dilakukan Marx sahaja, malahan pakar ekonomi ramai sudah membahaskan. Lihat sahaja Bursa Saham Wall Street jatuh semasa 1929 dan bermulanya neo-liberal kapitalisme menggantikan kapitalisme lama. Perubahan ini hanya secebis daripada perubahan lama, konflik tetap akan berlaku.
Menurut Marx lagi, konflik akan berhenti apabila sesebuah negara itu dipimpin di bawah ekonomi sosialisme dan pada saat itu rakyat akan memerintah negara secara kolektif. Dengan wujudnya socialism state maka kewujudan komunisme akan lebih cerah. Engel dan Marx sudah menjangka bahawa di dalam sistem kapitalisme, borjuis tidak mampu bertahan tanpa memperbaharui teknologi dan alat pengeluaran, menguasai hubungan pengeluaran di tempat kerja dan juga mengongkongi segala jenis hubungan di dalam masyarakat. Pada awal pembentukan kapitalisme, cara-cara pengeluaran tidak banyak berubah dan ketika itu kelas perindustrian masih menggunakan alat-alat bentuk lama. Tetapi saban hari manusia membangun, teknologi baru dibina, maka dengan itu para borjuis ini perlu menaiktarafkan teknologi mereka. Maka perlu mengeluarkan kos yang tinggi pula untuk menaiktarafkan teknologi, dan keuntungan akan menurun, maka mereka terpaksa mengaut untung daripada keringat pekerja dengan lebih tinggi.
Cuba bayangkan bersama, andaikata suatu masa nanti, hanya mesin yang menguruskan kerja-kerja di kilang, tidakkah itu menjadikan manusia punya banyak masa untuk berfikir tentang perkara lain? Tentang teknologi baharu dan kehidupan mereka seterusnya?
Dalam Manifesto ini juga adalah satu kritikan terhadap sistem yang telah pincang dan mengukuhkan lagi semangat perjuangan kelas pekerja bagi menentang sistem yang jelek ini. Persoalan yang perlu kita tanya adalah; Siapakah akan menjadi penggali kubur kapitalisme? Jawapannya ada dalam beberapa muka surat manifesto itu sendiri. Kapitalisme sendiri yang berakar umbi dari masyarakat yang terdahulu dengan kewujudan idea Adam Smith; Free-Market. Idea ini telah membangun masyarakat sebenarnya, tidak dinafikan bengkel-bengkel kecil menjadi kilang besar; petani kecil diasak sehingga tersingkir dan dijadikan pekerja buruh dalam sistem pengeluaran pertanian; pertanian dihapuskan bagi membesarkan lagi industri di bandar; pedagang kecil dan kedai runcit dimangsakan oleh unit-unit perdagangan pasar raya kebangsaan dan antarabangsa yang makin membesar. Maka muncul firma dan syarikat besar seperti BP dan Halliburton dan memiliki kuasa besar bagi mengawal sumber produksi.
Di nyatakan lagi oleh Marx dan Engel, “Jumlah pekerja yang ramai ini telah dihimpun dalam kilang-kilang dan diatur seperti askar. Sebagai askar dalam tentera perindustrian, mereka diletakkan di bawah pemerintahan sebuah hierarki pegawai dan sarjan. Para pekerja ini bukan sahaja menjadi hamba abdi kepada kelas borjuis dan kerajaan borjuis malahan pada setiap hari dan setiap jam, mereka ini diperhambakan oleh jentera, oleh penyelia, dan terutama oleh usahawan borjuis sendiri.” (The Communist Manifesto)
Revolusi telah memecahkan segala-galanya, March 5 1848, Marx mula berganjak ke Paris untuk revolusi Paris, setelah itu berlaku March 13 berlaku revolusi di Austria, March 15 berlaku di Hungary, dan seterusnya memecah ‘tembok’ Berlin pada March 18. Revolusi ini terus merebak dan dikenali sebagai revolusi pekerja. Pihak kerajaan Brussel mula risau dengan api revolusi di seluruh Eropah dan toleransi mereka kepada keluarga Marx ditamatkan begitu sahaja. Oleh sebab itu Marx mula bergerak ke Paris di mana beliau membina ibu pejabat Liga Komunis. Marx menentang keras akan penggunaan senjata dalam gerakkan revolusi, kunci gerakan revolusi itu adalah pendekatan utama supaya dapat menyebarkan demokrasi secara meluas. Akhbar Neue Rhienische Zeitung telah memainkan peranan penting dalam mencetakkan Manifesto bagi menjayakan revolusi itu. Sebanyak 5000 naskhah habis dijual.
Daripada Jerman beralih ke Paris, daripada Paris Marx terus ke London. Di situlah dia meneruskan kerjanya dengan menjayakan akhir penulisannya iaitu Das Kapital. Kelompok counter-revolution mampu menjatuhkan gerakan revolusi itu. Mereka telah memerangi gerakkan revolusi ini dan beroleh kemenangan secara menyeluruh di Berlin dan Jerman. Oleh Sebab itu, pada tahun 1849, agenda revolusi tidak lagi menjadi agenda utama. Kapitalisme Eropah sudah memasuki era pertumbuhan dan perkembangan. Namun demokrasi borjuis mengalami kesulitan kerana masih terikat dan sukar memisahkan diri dari cengkaman sisa-sisa pemerintahan lama.
Louis Napoleon Bonaparte telah menjadi Presiden France pada tahun 1848 dan pada 1852 beliau menjadi Maharaja France. Marx dan keluarganya hidup dalam kehidupan yang miskin di London, kerana bantuan Engel lah mereka dapat bertahan lagi. Engel dan Marx di ibaratkan seperti adik dan abang, idea-idea mereka seiring bersama. Engel banyak memuji Marx serta pembantu Marx dalam meneruskan kerja untuk menyiapkan kerja tersisa Marx iaitu membukukan Das Kapital jilid 2 dan 3.
Rujukan;
-The German Ideology.
-Panduan Ringkas tentang Marx, Mike Gonzalez.
-Why Marx was Right? Teary Eagleton.