Kejatuhan Abbasiyyah & Permulaan Zaman Gelap Umat Islam.

Oleh : Ayman Rashdan Wong

KEJATUHAN ABBASIYYAH DAN PERMULAAN ZAMAN GELAP UMAT ISLAM 

KEJATUHAN ABBASIYYAH DAN PERMULAAN ZAMAN GELAP UMAT ISLAM

Pada hari ini, 759 tahun yang lalu (10 Februari 1258), berlaku musibah terbesar umat Islam dalam sejarah iaitu kejatuhan kota Baghdad, ibu negara Kerajaan Khalifah Bani Abbasiyyah, ke tangan tentera Mongol. Selepas 2 minggu serangan tentera Mongol yang dipimpin oleh Hulagu Khan (cucu kepada Genghis Khan), Khalifah Al-Musta'sim Billah menyerah kalah. 

Tentera Mongol memasuki kota Baghdad dan melakukan pembunuhan selama sebulan. Dijangka antara 800,000 hingga 2,000,000 warga Baghdad telah terkorban. Tua, muda, wanita, kanak-kanak, tiada yang terkecuali. 

Azan tidak kedengaran di ibu kota Khilafah. Khalifah pula dibunuh dengan cara yang kejam sekali: Hulagu percaya bahawa bencana besar akan berlaku jika darah raja membasahi bumi, maka Al-Musta'sim digulung dalam permaidani dan diinjak hingga mati dengan kuda. 

Seperti biasa, kita akan cari pihak yang salah di sebalik setiap tragedi. Ada yang salahkan Syiah. Ibn Al-Alqami, wazir yang berfahaman Syiah, dikatakan telah mengkhianati Abbasiyyah (menurut catatan Ibnu Kathir). Ada yang salahkan Kristian. 

Isteri Hulagu adalah seorang Kristian Nestorian dan dikatakan telah menghasut Hulagu untuk membunuh orang Islam di Baghdad sebagai balasan dendam atas kekalahan Kristian dalam Perang Salib. Namun semua ini berlaku selepas Mongol menyerang Baghdad. Sebenarnya pertembungan dengan Mongol boleh dielakkan. 

Apa yang telah menyebabkan Baghdad menjadi sasaran Mongol? Mongol memusuhi umat Islam kerana tindakan melulu Sultan Muhammad II dari Kerajaan Khawarizmiyyah yang memerintah Parsi (Parsi ketika itu masih Sunni) dan Asia Tengah. 

Selepas Genghis Khan menyatukan suku-suku Mongol pada tahun 1206, Mongol hanya berperang dengan negara-negara sebelah timur iaitu Jurchen dan China. Genghis mahu berbaik-baik dan berdagang dengan Khawarizmiyyah. 

Sebuah rombongan utusan seramai 450 orang dihantar untuk menghadap Muhammad II. Namun Muhammad II membunuh semua utusan Mongol dan merampas semua barang dagangan. Genghis bersabar. Lalu dihantar lagi sebuah utusan untuk meminta penjelasan Muhammad II. Mereka dibunuh lagi. 

Kali ini Genghis hilang sabar dan memberi amaran terakhir kepada Muhammad II. Muhammad II balas dengan angkuh. Akhirnya, Genghis menyerang Khawarizmiyyah dan meratakan ibu kotanya, Samarkand, pada tahun 1220. 

Muhammad II mangkat dalam pelarian. Khawarizmiyyah bersempadan dengan Abbasiyyah. Putera Muhammad II, Jalal Ad-Din, telah meminta pertolongan Khalifah Al-Nasir Li-Din Allah, datuk kepada Al-Musta'sim. Ikutkan, Abbasiyyah sepatutnya membantu saudara seagama yang ditimpa kesusahan. 

Namun Abbasiyyah dan Khawarizmiyyah mempunyai sejarah permusuhan. Abbasiyyah juga memandang hina terhadap pemerintah Khawarizmiyyah yang berketurunan Mamluk (hamba Turki). 

Jadi, Al-Nasir membiarkan Mongol terus menyerang Khawarizmiyyah. Malah ada catatan menunjukkan Al-Nasir memberi sokongan kepada Mongol. Khawarizmiyyah ditawan sepenuhnya oleh Mongol pada tahun 1231. 

Kejatuhan Khawarizmiyyah menyebabkan Abbasiyyah kehilangan zon penyangga (“buffer zone”) antaranya dan Mongol. Lalu, Abbasiyyah ditimpa nasib yang sama selepas 27 tahun. 

Tragedi kejatuhan Baghdad bukan sahaja menamatkan sebuah dinasti, malah ia juga memberi kesan yang besar kepada tamadun Islam. Baghdad merupakan pusat intelektual dunia Islam ketika itu yang menghimpunkan ulama-ulama dan sarjana-sarjana yang terbaik dan terkenal dengan perpustakaan Baitul Hikmah. 

Namun tentera Mongol telah membunuh semua sarjana dan membuang semua buku di Baitul Hikmah ke dalam Sungai Tigris. Begitu banyak buku telah dimusnahkan sehingga air sungai bertukar jadi hitam akibat kesan dakwat. 

Perkembangan intelek dunia Islam terbantut dengan kemusnahan Baghdad kerana kesemua khazanah sains umat Islam telah dihancurkan. Dunia Islam tidak mampu lagi melahirkan ilmuwan seperti Al-Biruni, Al-Khwarizmi dan Ibn Sina. 

Sejarah masih berulang. Sultan Muhammad II hari ini ialah orang-orang yang suka menunjuk “hero” tanpa memikirkan kesan tindakan mereka ke atas umat Islam secara keseluruhan. Mereka suka mengganas atas nama “jihad”. 

Mereka tidak menyelesaikan masalah umat Islam tetapi hanya mencipta masalah baru. Mereka membuka pintu fitnah yang lebih besar. 

Mereka menyebabkan keseluruhan umat Islam dimusuhi dan menjadi sasaran kebencian dan diskriminasi. Khalifah Al-Nasir hari ini ialah pemimpin-pemimpin yang tidak berfikiran jauh dalam soal geopolitik tetapi hanya bertindak mengikut nafsu dan ketamakan. 

Mereka bertepuk tangan melihat negara-negara Islam (atau “kurang/bukan Islam” menurut piawai mereka) yang mereka musuhi diserang kuasa imperialis, malah ada yang sanggup menjadi tali barut. 

Mereka tidak pernah terfikir, satu hari nanti mereka juga akan ditimpa nasib yang sama. Semoga kita dapat mengambil pengajaran dan tidak lagi ditimpa musibah seberat ini. 

#KhutbahAlternatif 
#RenunganJumaat
Bacaan lanjut: Firas Alkhateeb. (2014). Lost Islamic History.

Related Posts