10 Tips Untuk Yang Bergaji Kecil Tapi Nak Beli Rumah.

Oleh : Amir Syahir
Dulu, sebelum aku ada ilmu tentang hartanah ni, mulanya aku fikir orang beli rumah banyak-banyak ni tamak lah. Tak kesian kat orang ke. Dasar kapitalis. 

Bagi aku, biarlah orang Melayu banyak yang jadi pemilik rumah. Senang nak kawtim kalau dorang nak jual rumah nanti. 

Kalau dorang jadi tuan rumah pun ada timbang rasa. Tak naikkan kadar sewa rumah sesuka hati setiap tahun kan. Aku pun belajarlah, join seminar, beli buku, baca ebook. Baca bahan bacaan percuma di FB, blog dan web. 

Lama-lama aku mula faham. Kenapa mereka mampu beli rumah banyak walapun bergaji kecil. Kekangan utama nak beli rumah sebab nak bagi bank lulus permohonan kita je. Yang lain senang dah. Bank is King. 

Rumah kecil, buruk, sempit, busuk memang tidak digemari oleh golongan muda. Tak ada kelas katanya. Buka saja laman web Mudah.my. 

Berlambak rumah apartmen yang masih belum dibeli. Ada sesetengah orang malu nak beli rumah kecil dan sempit ni. 

Jom baca panduan untuk membeli rumah walaupun bergaji kecil; 

1. Analisa kewangan diri termasuklah pengiraan DSR, NDI, dan hutang dengan bank untuk tahu kelayakan harga rumah yang boleh dibeli dengan gaji kau. Boleh pergi tanya kelayakan dengan bank berdekatan korang. Jangan lupa bawa slip gaji kau tu. 

2. Kau kena buktikan kepada pihak bank yang kau mampu bayar ansuran bulanan. Macam mana nak buktikan? Kena ada hitam putih la. Kau cakap kau ada simpanan RM20K pun bank tak percaya kalau cakap kosong. Jadi, kepilkan segala sokongan pendapatan kau tu seperti simpanan di Tabung Haji ataupun ASB 

3. Nisbah Hutang Kepada Pendapatan (DSR). Yang ni kau kena jaga. Kau kena pastikan bawah 60% kalau kau bergaji bawah RM3000. Kalau kau dah ada hutang kereta, hutang peribadi, kau kena tambahkan pendapatan kau dulu. 

4. Baiki CCRIS. Jika CCRIS PTPTN kau barai, baiki dulu. Bawa bincang dengan pegawai PTPTN tu. Bayar tunggakan guna KWSP. Ingat kalau hutang PTPTN kau tak mampu bayar, macam mana bank boleh yakin kau mampu bayar ansuran bulanan rumah nanti? 

5. Cari hartanah yang ansuran bulanannya tidak melebihi RM1000 sebulan. Gunakan formula kiraan kasar; Ansuran bulanan X 200 = Anggaran Harga Rumah Contoh: RM1000 X 200 = RM200,000 Jadi, kalau kau mampu simpan RM1000 sebulan barulah kau boleh beli rumah berharga RM200K. 

6. Carilah hartanah yang dapat memberi aliran tunai positif. Yang mampu cover ansuran bulanan yang perlu dibayar kepada bank. Kau kena kaji potensi rumah yang kau nak beli terlebih dahulu. 

7. Carilah lokasi yang mempunyai permintaan yang tinggi seperti kawasan yang mempunyai kawasan IPTA/IPTS, pusat membeli belah, kawasan kilang, kawasan hospital, pengangkutan awam dan sebagainya. 

8. Sediakan perjanjian sewaan yang lengkap dan dimatikan setem di LHDN. Sewakan setiap bilik lagi untung. Sediakan perabot asas seperti mesin basuh, dapur, peti sejuk, katil dan sebagainya. Biarkan ada transaksi duit masuk dalam bank kau setiap bulan selama 6 bulan sebelum memburu rumah kedua dan seterusnya. 

9. Kebanyakan bank akan anggap perjanjian sewaan tu sebagai pendapatan. Ada bank kira 80%. Ada bank kira 70%. 

10. Asasnya, carilah ilmu. Orang nak suruh kau pergi seminar beli buku kau malas nak layan. Sampai bila lah kau nak duk takuk yang sama. 

Jangan ikut orang. Ikut kemampuan kewangan dan minat kau. Tak semua orang minat melabur dalam hartanah ni. Kau boleh melabur di ASB, Tabung Haji, AHB ataupun unit amanah yang diyakini. Kalau simpanan biasa, lambat duit kau nak membiak. 

Bahagian kedua

Gaji Kita Kecil
***************
Nak hidup di bandar besar, gaji RM2000 memang tak cukup. Tak cukup jika gaya hidup kau setinggi gunung Everest.
Jika gaji kau tak banyak, tetapi kau
pandai uruskan dengan bijak, kau akan sentiasa rasa cukup.
Rezeki tidak pernah salah alamat. Jika kau kuat berusaha, berdoa dan tawakal pasti ada rezeki yang tidak diduga menanti.
Gaji kecil tidak mengapa. Yang penting kau kena bijak menguruskannya. Antara yang kau boleh buat ialah;
1. Sedar Diri Bergaji Kecil
Beringat yang gaji kau kecil. Kau harus bersederhana dalam berbelanja. Tak perlu nak belanja sakan serupa anak Datuk.
2. Simpan Sebelum Berbelanja
Simpan sekurang-kurangnya 10% daripada gaji untuk kegunaan masa depan. Buat potongan akaun gaji ke Tabung Haji ataupun 'force saving' guna pembiayaan ASB. Simpan sikit-sikit, lama-lama jadi banyak juga duit kau tu.
3. Gaya Hidup
Gaya hidup kau tak perlu sama dengan orang lain. Kau tahu kemampuan kewangan kau. Biarkan kawan-kawan pergi travel luar negara, pakai IPhone, lepak Starbucks. Kau kena rilek je.
4. Buat Bajet Dan Monitor Bajet
Buat satu bajet tentang pendapatan, jumlah perbelanjaan dan hutang yang harus dibayar. Ia penting supaya kau tidak terlebih berbelanja.
5. Cari Pendapatan Tambahan
Jika hutang kau melebihi pendapatan bulanan, usahakan pendapatan tambahan. Boleh cuba dropship. Jual barang online. Jadi runner.
6. Tangguhkan Kehendak
Lupakan dahulu travel luar negara. Lupakan dahulu kereta import mewah dan kehendak kau yang menggunung tu. Utamakan apa yang perlu.
7. Bandingkan Harga
Bandingkan harga semasa kau berbelanja. Jimat RM2-RM3 pun dah banyak. Jika dihimpunkan lama-lama banyak juga.
8. Segera Bayar Hutang
Jika ada hutang dengan bank jangan tangguh bayar. Lewat bayar mungkin kena caj lambat bayar. Hutang kawan kau pun kena bayar jugak. Jangan buat-buat hilang ingatan.
9. Berhenti Buat Hutang Baru
Jangan buat hutang baru jika hutang lama kau rabak nak bayar. Fokuskan hutang lama terlebih dahulu.
10. Tabung Berwarna
Jika sukar untuk simpan 10% daripada gaji, cuba simpan RM5 (Si Hijau) ataupun RM20 (Si Oren). Jumpa je dalam dompet kau terus asingkan dan masukkan dalam tabung berwarna.
***
Jika gaji kau bawah RM2000 tapi kau kena tanggung keluarga, adik-adik tu aku tahu kau seorang yang bertanggungjawab. Tak apa lah itu. Mungkin rezeki kau bukan untuk memiliki harta benda tetapi rezeki kebahagiaan, rezeki kesihatan dan rezeki yang cukup walaupun bergaji kecil.
Gaji besar pun kalau bersikap boros, tiap bulan pergi travel, beli kereta import mewah pun susah nak menyimpan walaupun hanya RM100.
Masalah kewangan biasanya berlaku kerana dua perkara. Kau tidak berfikir sebelum bertindak ataupun kau berfikir tanpa bertindak.
Jangan malu bergaji kecil. Tetapi malu lah jika berpura-pura kaya. Kah!

Related Posts