Oleh : Azri Walter
Beberapa minggu ini aku agak rungsing. Masalah datang bertimpa-timpa. Semuanya gara-gara kesilapan yang aku pernah lakukan dulu. Waktu itu aku masih baru dalam dunia bisnes.
Ya, di Facebook ini terlalu banyak cerita indah tentang bisnes. Aku pernah tersilap langkah. Alang-alang silap, aku terpanggil untuk kongsikan, dengan harapan moga bermanfaat buat ramai orang di luar sana.
Ceritanya begini, setahun yang lalu dikala aku sedang dahagakan ilmu bisnes aku mencari-cari cara yang betul dan sesuai untuk menguruskan syarikat yang aku dan pasukan berhempas pulas bangunkan.
Disebabkan aku sedang dahaga, maka datanglah beberapa pihak yang menjamu air. Mahu salahkan mereka tidak boleh juga. Memang kerja mereka menjual air, cuma aku yang salah memilih air apa yang perlu diminum.
Air yang aku sangka mampu hilangkan dahaga, rupa-rupanya bertukar menjadi racun.
Waktu itu aku sudah mempunyai 9 cawangan. Aku telah dinasihati untuk membuka setiap satu cawangan dengan satu syarikat. Maka mereka meminta aku mendaftarkan syarikat jenis Pemilikan Liabiliti Terhad (PLT).
Semua PLT itu aku daftarkan melalui mereka dengan kos Rm1200 setiap satu. Maka untuk 9 PLT kosnya adalah Rm10,800. Aku diberitahu bahawa PLT ini tidak perlukan apa apa laporan kewangan tahunan. Menurut mereka PLT ini mudah.
Maka aku yang naif dan nubis ini terus sahaja mendaftarkan PLT ini. Itu belum lagi masuk kos kontrak kerjasama yang sebenarnya bukanlah satu kewajipan.
Setelah selesai penubuhan PLT itu baru aku tahu bahawa kos untuk mendaftarnya hanya Rm500 dan boleh didaftarkan sendiri melalui sistem online.
Aku agak terkilan kerana pihak yang menasihati aku itu tidak maklumkan perkara sebenar. Jika mereka maklumkan perkara sebenar sudah tentu aku tidak kisah. Ada unsur-unsur ‘gharar’ di situ. Pihak yang berikan servis tidak menerangkan perkara sebenar entah sebab apa.
Waktu itu baru aku faham dikala aku sedang bertungkus lumus menguruskan bisnes. Ketika aku sedang sibuk menaikkan jualan maka aku hilang fokus dengan menambah masalah baru iaitu untuk membuka akuan bank bagi 9 syarikat PLT ini.
Malah untuk menguruskannya juga menyebabkan akauntan aku terbeban dengan tugas baru.
Akhirnya semua PLT itu terbiar begitu sahaja. Rupanya aku hanya perlu gunakan satu syarikat sahaja cuma perlu bezakan lejer-lejer akaunnya dan wujudkan jabatan-jabatan baru sahaja. Ia lebih mudah dan sesuai.
Kemudian, beberapa minggu lalu aku menerima emel daripada SSM yang meminta laporan kewangan tahunan dan jika aku gagal berbuat demikian maka boleh dikenakan denda sebanyak Rm20,000 setiap satu PLT.
Kehulu kehilir aku mencari jalan penyelesaian. Aku cuba juga bertanyakan beberapa pihak dan aku dapati untuk menutup PLT ini urusannya sangat rumit.
Ianya boleh menelan belanja hingga Rm2500 atau lebih untuk menutup satu syarikat PLT. Maka, Rm2500 untuk 9 PLT kosnya adalah Rm22,500.
Allahu, aku terududuk. Terpaku dan buntu memikirkan nasib aku yang masih bilis ini. Sudahnya, aku juga yang perlu melalui masalah ini dan penasihat-penasihat aku yang dulu tetap jalan terus dan sudah dapat wang bahagian mereka.
Bagi anak anak muda yang baru menjalankan bisnes. Jadikan kesilapan aku ini sebagai pengajaran buat kalian. Moga kalian tidak perlu baziran yuran kebodohan seperti aku.
Antara yang aku belajar adalah seperi berikut :
1. Usah mudah percaya kepada sesiapa pun. Sama ada mereka masih muda, sudah berumur, otai atau kelihatan handal di Facebook. Buat kajian dan kenal pasti setiap pihak yang kita mahu lantik.
2. Sebaiknya, kekal dengan Enterprise dalam tempoh 3 tahun. Tidak kira berapa banyak pun jualan kalian. Jualan tahun pertama belum tentu sama dengan tahun kedua atau ketiga.
3. Jika mahu tukar juga, terus sahaja mendaftar Sdn Bhd. Elakkan mendaftar syarikat jenis PLT.
4. Syarikat jenis PLT boleh didaftarkan sendiri melalaui sistem online SSM dengan kos hanya Rm500 sahaja. Ianya tidak perlukan company secretary.
5. Masukkan sahaja duit ke dalam satu akaun dan hanya asingkan lejer-lejer akaunnya sahaja. Boleh juga buka akaun syarikat yang sama dengan bank yang berlainan.
Ya kawan, moga perkara ini dapat menjadi manfaat buat ramai orang di luar sana. Orang lain memang mudah melafazkan jalan terus dan ketap bibir. Apa jua bahana, kita juga yang bakal melaluinya.
Hanya mereka yang pernah TERKENA sahaja faham betapa pedih dan peritnya diperlakukan sedemikian.
Sentiasa berhati-hati sengan siapa kita menaruh kepercayaan kerana di luar sana ada terlalu ramai ‘CON MAN’ yang konon-konon handal tetapi rupanya hanya pandai memanipulasi dan menipu demi mengaut keuntungan.
Ayuh! Bangkit-Lah anak muda. Usah biarkan diri menjadi mangsa buli. Aku ini bukannya kaya. Meniaga pun gunting rambut sahaja, berapa banyak sangatlah untungnya. Aku ada ramai anak-anak muda yang perlu aku tanggung gaji mereka.
Tak baik tau orang besar buli orang kecil.
Sob sob.
Sob sob.
Azri Walter,
Buat menyesal, tak buat menyesal dan aku memang betul-betul menyesal. #BMTBM
Buat menyesal, tak buat menyesal dan aku memang betul-betul menyesal. #BMTBM