Review : Jibam - "Kalau Kau Menjadi Aku, Aku Yakin Kau Mengerti".

Segmen Review

Oleh : Pustaka Perindu
MAKSUD TERSIRAT NOVEL/FILEM JIBAM
SPOILER ALERT : Mungkin mengganggu penghayatan tontonan filem atau pembacaan novel.
Nota : Hanya pemahaman peribadi. Tidak semestinya selari dengan visi penulisnya, Ujang.
Jibam adalah novel yang telah menjadi sebutan ramai sejak awal penerbitannya dahulu. Ramai juga kawan-kawan saya yang bukan kaki membaca novel turut terjebak. Saya pasti ramai orang yang bukan ulat buku, tapi satu-satunya novel yang pernah dibacanya adalah Jibam sahaja.
Setiap pembaca mempunyai pemahaman masing-masing yang mungkin sama atau lain daripada apa yang penulisnya, Ujang, cuba sampaikan. Seperti saya, pemahaman kali pertama membaca bertahun-tahun dahulu tak sama dengan sekarang seiring dengan peningkatan usia dan pengalaman. Dahulu Jibam bagi saya sebuah cerita suka-duka watak budak istimewa yang selalunya agak lucu dan menghiburkan. Sekarang ini barulah hal-hal yang tersirat itu dapat saya fahami sedikit demi sedikit.
Gambar - Pustaka Perindu
Suman, bapa Jibam, membawa diri jauh ke dalam hutan dan membuka tanah baru yang akhirnya menjadi Kampung Belulang yang makmur walaupun masih serba kekurangan dari segi kemudahan asas. Di kampung lama, Suman sekeluarga diejek dan difitnah kononnya membela hantu raya kemudian melanggar sumpah yang menyebabkan Jibam lahir cacat. Suman menganggap kecacatan Jibam sebagai balasan dosa-dosa riak dan takbur kerana ilmu kedukunan yang dimiliki.
Kita imbas sejarah, contohnya Zaman Kesultanan Melaka yang amat maju lalu mengundang iri hati pelbagai pihak. Ditambah pula segelintir panglima-panglima dan rakyat leka dengan duniawi akhirnya bala dalam bentuk penjajahan pun tiba. Rajanya berundur ke Johor dan rakyatnya yang dahulu mungkin peniaga-peniaga di pelabuhan ada yang berpindah ke hulu, jauh daripada telunjuk Portugis dan memulakan hidup baru yang mundur tapi aman, seperti Suman membawa diri jauh dari ejekan dan fitnah.
Tuk Ngah Sudin, mewakili pendatang yang lupa budi, bukan peneroka asal yang selalu khuatir tentang masa depan anaknya Miah, simbolik kepada keturunan pendatang dan generasi pewarisnya. Dia melakukan pelbagai muslihat untuk mendapat hak tanah demi Miah. Dia menipu sejarah, meletakkan nama sendiri sebagai pemilik tanah dengan bantuan anaknya di Pejabat Tanah, simbol kepada korupsi kuasa. Dia juga menggalakkan Miah berkahwin dengan anak sulung Suman, Fakir, simbol kepada diplomasi.
Kita lihat Tuk Ngah Sudin walaupun buta huruf tapi berpandangan jauh. Miah, anaknya dihantar belajar di Universiti Pertanian. Ini simbolik kepada kepentingan ilmu, yang tentunya akan membantunya mengusahakan tanah-tanahnya nanti sedangkan ramai kanak-kanak di situ tak berpeluang ke sekolah pun seperti anak-anak Usup Kidung. Penduduk kampung seperti Karim Peot dan Lebai Dollah, yang juga pendatang, sepakat untuk melantik Sudin menjadi ketua kampung, simbol kepada kuasa politik, kerana termakan budi anaknya yang menolong mendapatkan hak dan geran tanah.
Tuk Ngah Sudin, sebagai pendatang selalu mengungkit hal-hal kecil angkara Jibam dan melupakan hal besar seperti tanah yang didudukinya dan budi bapa Jibam yang membenarkannya tinggal di situ. Dia bukan saja tak berterima kasih tapi melakukan angkara terhadap orang yang berjasa padanya. Akibatnya hidupnya diselubungi kerisauan dan takut dengan bayang-bayang dosa silam. Jibam, walaupun 'maut' dikerjakannya tetap kembali berkali-kali mengganggunya seperti sebuah kebenaran yang sentiasa ada menghantui hidup para pendusta sepertinya.
Jibam yang lurus bendul, walaupun sering dipukul Tuk Ngah Sudin, sentiasa ikhlas hendak berbaik-baik. Dia mewakili generasi yang tidak berdendam dengan peristiwa lama, seperti Piah ibunya yang hanya mahu hidup harmoni walaupun tanah diambil sedikit demi sedikit. Mungkin juga ia simbolik kepada golongan tak terpelajar dan kesannya dalam pembentukan sikap. Jibam juga tak faham erti sabar seperti kebanyakan orang kita yang mengharapkan hasil yang cepat tanpa usaha. Sindiran ini ditunjukkan dalam babak menanam anak durian, selang beberapa hari Jibam dah nak makan buahnya. Ia memang lucu tetapi ada pengajaran yang terselindung.
Kadir anak kedua Suman pula tidak mudah diperbudakkan, mewakili pejuang yang membela tanah air, tidak suka diarah-arah. Kerana itu dia berhenti kerja di bandar untuk berusaha sendiri di kampungnya setelah menimba pengalaman dan ilmu yang membangkitkan kesedarannya. Dialah yang selalu membela Jibam dan arwah ayahnya seperti pahlawan yang membela rakyat tertindas.
Fakir sebagai abang sulung pula sudah lupa tentang kepentingan menjaga pusaka kerana selesa dengan cara bandar, mewakili generasi terpelajar tapi tak lagi prihatin tentang masyarakat dan generasi depan. Dia nampaknya berbaik-baik pula dengan orang yang merampas hak ayahnya serta selalu memukul adiknya ibarat berbaik-baik dengan penjajah kerana kepentingan peribadi. Pada akhirnya barulah dia sedar keluarganya dah jadi penumpang di tanah sendiri seperti negara hasil bantingan tulang dan curahan keringat nenek moyang telah tergadai pada orang asing.
Kuasa ekonomi pula digambarkan melalui watak Lam Shook, peniaga yang sentiasa cerdik mencari peluang menambahkan kekayaan. Penduduk kampung amat bergantung kepadanya untuk menjual hasil hutan dan pertanian. Duit mereka pula tidak ke mana melainkan kembali kepada Lam Shook juga dengan membeli barang-barang keperluan seperti beras, cat hinggalah kepada tiub basikal. Perlahan-lahan dia berbudi kemudian memujuk untuk membeli tanah untuk bertapak.
Usup Kidung atau Wo, begitu marah terhadap Usin Singai kerana terlalu celupar dan buta sejarah. Babak ini begitu menjadi di dalam filem. Kaza sebagai Wo lantang bangkit membela arwah Suman. Dia mengingatkan sepatutnya Sumanlah yang menjadi ketua atau raja di negara kecil Kampung Belulang kerana Sumanlah yang membuka kampung itu, tempat mereka mencari kesenangan hidup. Memang Suman perlu dihormati sebagai tokoh berjasa oleh orang-orang yang datang menumpang, bukan dibalas dengan cara mengambil hak anak-cucunya secara tidak sah.
Novel Jibam ini saya anggap setaraf dengan karya Pak Sako, Putera Gunung Tahan dan Animal Farm oleh George Orwell. Walaupun ceritanya nampak lucu, santai dan tenang di permukaan tapi arus kesedaran mengalir deras di bawahnya, jika kita selami. Dari segi bahasa juga Ujang tidak kalah dengan para sasterawan seperti Shahnon Ahmad dan Azizi Hj. Abdullah. Seharusnya peminat sastera membaca dan mengkaji novel ini.
Namun begitu, novel-novel beliau yang lain kurang menjadi. Fiona, bagi saya terikut-ikut gaya penulis lain dan ceritanya pula tidak tamat, tergantung tanpa sambungan. Cinta Terakhir adalah cerita remaja sekolah yang biasa, sudah banyak ditulis. Saya harap Ujang dapat lagi menulis karya-karya hebat seperti Aku Budak Minang, Abe dan Jibam. Jika diteliti, babak Jibam agak kurang dalam novel dan filemnya. Lebih banyak tertumpu kepada watak-watak lain. Masih ada ruang untuk dikembangkan watak ini jika Ujang mahu atau tulis novel lain dengan ilham yang baru.
Menonton filem Jibam memang berbaloi. Saya dapat lihat sinematografinya yang cantik, emosi pelakon yang tak dapat dibayangkan dengan membaca novel dapat dikeluarkan dan intonasi dialog yang dilontarkan dengan tepat. Hampir semua babak yang ada di bukunya dapat ditunjukkan. Penamat dan jalan cerita 100% sama dengan novel, tidak diubahsuai. Saya sangkal pendapat bahawa Jibam lebih sesuai dijadikan siri TV kerana hanya ada beberapa babak sahaja yang tidak dapat dimasukkan dalam suntingan akhir. Jika tidak, ia sempurna seperti versi buku. Syabas kepada team Jibam!
Alangkah sedih jika kerdipan manikam seperti Jibam ini terlindung sayu oleh warna-warni batu-batu infiniti dan tenggelam dalam silau simpang-siur pedang-pedang cahaya. Hinakah kotak sakti Jibam berbanding kotak Jumanji? Jadi sementara masih ada tayangan di pawagam, segeralah pergi menonton salah satu karya filem penting negara kita ini.
"Kalau kau menjadi aku, aku yakin kau mengerti."
oleh Azlan Musa
Admin Pustaka Perindu & Bida Barang RM1
14 Disember 2017

Related Posts