Asal Usul Sejarah Bendera Kebangsaan.

Oleh : Fahmi Reza

SEJARAH BENDERA KEBANGSAAN (yang tidak dimasukkan dalam buku teks sejarah)

Dalam sejarah perjuangan kemerdekaan rakyat, sebuah bendera kebangsaan untuk sebuah negara Malaya yang Merdeka telah diusulkan buat kali pertama pada tahun 1947 oleh gerakan kemerdekaan rakyat berbilang kaum PUTERA-AMCJA (Pusat Tenaga Rakyat - All Malaya Council of Joint Action).

Bendera yang dinamakan 'Bendera Rakyat' ini telah dikibarkan buat kali pertama di seluruh Malaya pada 10 Disember 1947. Menurut akhbar Utusan Melayu bertarikh 11 Disember 1947, hampir semua bandar-bandar dan pekan-pekan termasuk Melaka, Johor Bahru, Kuantan, Sungai Siput, Alor Setar dan Singapura telah mengadakan istiadat menaikkan bendera tersebut.

Akhbar Utusan Melayu telah melaporkan semasa istiadat mengibarkan Bendera Rakyat di bangunan Malayan Democratic Union (MDU) di Singapura pada pagi 10 Disember 1947, Taha Kalu, Setiausaha Agung Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) telah menerangkan :



"Bendera Rakyat yang baru kita naikkan ini ialah sebagai cogan persatuan rakyat yang berjiwa maju progresif. Bendera ini telah sama2 diukir dan diputuskan oleh dua badan gabungan yang besar di Malaya, iaitu Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) dan Majlis Bergerak Serentak Se-Malaya (AMCJA). Bendera ini kita namakan Bendera Rakyat, kerana ia adalah satu gambaran atau satu tanda, tegasnya satu cogan merupakan persatuan rakyat seluruh Malaya. Persatuan yang kita yakini akan bertahan kuat perdiriannya tiap-tiap hari."

Maksud disebalik simbol-simbol dalam Bendera Rakyat :

1. 12 biji bintang simbol 12 negeri yang bergabung di Malaya - 9 Negeri Melayu (Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu, Perlis, Kelantan, Kedah, Johor) dan 3 Negeri Selat (Pulau Pinang, Melaka, Singapura).

2. Warna kuning bintang simbol keadilan dan kedaulatan rakyat, pengiktirafan Perlembagaan Rakyat dan membayangkan semua negeri dalam keadaan aman dan makmur.

3. Bintang berbucu lima melambangkan 5 perkara: Ketuhanan, Kedaulatan Rakyat, Keadilan sosial, Kebajikan dan Kebangsaan.

4. Warna merah simbol keberanian dan kuasa kemahuan rakyat untuk menentang semua rintangan2 supaya tercipta keadilan dan demokrasi di Malaya

5. Warna putih simbol perjuangan yang didasarkan kepada kejujuran dan kesucian untuk mencapai kebebasan yang teratur dan tidak berdasarkan kepada haloba dan tamak, tetapi hanya dengan membawa cita2 yang satu iaitu pemerintahan sendiri yang berdasarkan kepada kedaulatan rakyat.

Warna Merah Putih mempunyai riwayat yang tertentu bagi penduduk-penduduk di Malaya dan telah dipilih dengan persetujuan PUTERA dan AMCJA kerana ia merupakan warna bendera kebangsaan Melayu di zaman Kerajaan Majapahit semasa abad yang keempat belas dahulu.

Pada tahun yang sama, 1947, PUTERA-AMCJA turut sama mengusulkan sebuah 'Perlembagaan Rakyat' sebagai alternatif kepada 'Perlembagaan Federation of Malaya' yang dicipta oleh Kerajaan Penjajah British dengan kerjasama UMNO dan Raja-raja Melayu untuk menggantikan 'Perlembagaan Malayan Union'. Sokongan rakyat terhadap 'Perlembagaan Rakyat' telah ditunjukkan melalui gerakan mogok Hartal yang telah dijalankan di seluruh Malaya pada 20 Oktober 1947. Mereka menuntut sebuah negara kebangsaan baru yang diberi hak berkerajaan sendiri dan Merdeka.

Kerajaan Penjajah British telah mengetepikan usul dan tuntutan PUTERA-AMCJA dan terus memaksa penubuhan Federation of Malaya pada bulan Februari 1948 yang meletakkan Malaya kembali menjadi wilayah naugan Penjajah British. Tiada bendera kebangsaan dicipta untuk Federation of Malaya yang baru ini. Penjajah British telah mengekalkan bendera Malayan Union sebagai bendera Federation of Malaya sehingga tahun 1950, bila Penjajah British telah meluluskan sebuah bendera baru untuk Federation of Malaya. Bendera ini terus dijadikan bendera kebangsaan Federation of Malaya yang akhirnya diberi kemerdekaan oleh Penjajah British pada tahun 1957.

Mulai tahun 1963 bendera yang sama (dengan sedikit ubahsuai dengan 14 jalur dan bintang pecah 14) telah dijadikan bendera kebangsaan untuk sebuah negara baru Malaysia yang menyatukan Federation of Malaya, Borneo Utara, Sarawak dan Singapura.

Bendera kebangsaan yang sama terus digunakan tanpa sebarang ubahsuai bila Singapura keluar dari Malaysia pada tahun 1965. Bendera kebangsaan ini kekal sehingga sekarang.

Yang membezakan dua bendera kebangsaan ini ialah 'Bendera Rakyat' tidak diiktiraf oleh Kerajaan Penjajah British manakala 'Bendera Federation of Malaya' dihasilkan dan diluluskan dengan persetujuan rasmi Kerajaan Penjajah British.

Rujukan :


(1) Akhbar Utusan Melayu, 11 Dis 1947
(2) Akhbar The Singapore Free Press, 10 Dis 1947
(3) Akhbar The Straits Times, 11 Nov 1947
(4) Minutes of the Third Delegates Conference of PUTERA-AMCJA, KL, 3 Nov 1947

Related Posts