Satu Kisah Sejarah : Melayu Menganut Agama Hindu.

Oleh : Dr Hafidzi Mohd Noor
 

SANGGAHAN ATAS DAKWAAN YB KULASEGARAN

Bila agama Hindu menjadi anutan sebenar orang melayu? Mungkin ia datang dengan serangan Rajendra Chola (1025M). Satu sanggahan ke atas dakwaan YB Kulasegaran.



Tulisan ini adalah sebagai sanggahan atas kenyataan Kulasegaran tentang kedudukan agama Hindu di Tanah melayu khususnya dan di Nusantara umumnya. Beliau mendakwa agama Hindu sudah menapak di negara ini sejak 2500 tahun yang lalu. Dakwaan ini kononnya berdasarkan kepada tapak arkeologi di Sungai Batu. Lebih serius lagi beliau menimbulkan persepsi, berdasarkan kepada anutan agama Hindu penduduk tempatan, maka kaum India adalah penghuni awal di negara ini. Indikasi jelas pada persepsi yang beliau timbulkan ini ialah apabila beliau mengatakan negara ini adalah ‘motherland’ bagi masyarakat India. Pastinya ini dilihat sebagai satu cubaan untuk mereka-reka naratif sejarah baru atas hakikat sejarah yang tidak perlu dipersoal.

Mari kita telusuri sejarah beragama orang melayu. Sejak bila agama Hindu menjadi anutan orang melayu? Berdasarkan kepada fakta sejarah bertulis yang ada, wujud dua kerajaan yang bersaing sekitar kurun ke 7 M iaitu kerajaan Melayu (Jambi) dan Kerajaan SriVijaya (Palembang). Sri Vijaya menakluk Jambi, Jawa barat (Tarumanegara) dan tengah (Kalinga), Kedah dan Tambralingga (Sokhla) dan Kemboja; seterusnya membentuk empayar serantau yang bertahan dari kurun ke 7 hingga 13M. Sepanjang zaman tersebut agama anutan utama penduduk di nusantara ialah agama Buddha-Mahayana dengan kewujudan beberapa mazhab lain seperti Vajrayana dan Amaravati; pokoknya pelbagai sekte anutan tetapi masih dalam lingkungan agama Buddha. Palembang (San-Fo-Chi; berdasarkan catatan I-Tsing) merupakan pusat agama Buddha sehingga mana-mana pendita dari Tanah Besar Cina yang ingin menuntut di Nalanda (India), Universiti utama agama Buddha di Bihar (hari ini) maka mereka disarankan untuk singgah di Palembang, mempelajari Bahasa Sanskrit dan asas-asas agama Buddha.

Apabila I-Tsing sampai ke Palembang pada tahun 671M beliau megatakan terdapat 1,000 sami Buddha dan beliau sendiri tinggal dan belajar di Palembang sekitar 6 bulan. Ini menunjukkan bahawa agama Buddha sangat dominan pada zaman SriVijaya sehingga seorang pendita besar Buddha Vajrayana dari Tibet iaitu Atisha pernah menuntut di Palembang selama 10 tahun dari tahun 1011 - 1023 M. Beliau belajar dari seorang sarjana tempatan bernama Dharmarakshita. Kedah juga menjadi jajahan takluk Srivijaya sekitar tahun 685 M dan Buddha menjadi anutan penduduk setempat. Sejak dari kurun ke 7 hingga kurun ke 11, dinasti-dinasti yang wujud dalam lingkungan SriVijaya atau selari di Jawa seperti Sailendra, Kalingga, Galuh sehingga Airlangga (1049) semuanya menganut agama Buddha secara rasmi. Hanya pada zaman Airlangga mula berlaku sinkretisme dengan agama Hindu. Pengaruh hindu semakin nyata pada zaman Singhosari (1222) dan pada zaman Majapahit ia menjadi anutan rasmi (kurun ke 14 M).

Di saat orientalis menumpu kepada perkembangan agama Buddha dan Hindu samada Buddha dengan pelbagai sekte atau Buddha yang sinkretis dengan agama Hindu, peranan dan pengaruh dakwah Islam dikesampingkan. Kemunculan Islam sebelum ini dikaitkan dengan perkembangan Islam di Tanah Besar Cina. Bukti yang paling kuat ialah kehadiran 200 ribu penduduk Arab/Farsi dan orang-orang cina Muslim yang berhijrah ke Palembang, Champa, Kedah dan Brunei (P’o ni) bermula pada tahun 674M ketika berlaku kekacauan di Guangzhow (Canton). Ini bermakna ketika I Tsing berada di Palembang, umat Islam sudah berada di kota Palembang samada dari tanah Arab atau penghijrah muslim dari Tanah besar Cina. Mungkin mereka terlepas pandang I-Tsing sendiri menaiki kapal orang Arab (muslim) yang belayar dari Guangzhow ke Palembang. Lebih menakjubkan lagi seorang raja SriVijaya iaitu Sri Indravarman masuk Islam pada tahun 718M setelah berutus surat dengan Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Ayah beliau Lokitavarman berutus surat dengan Muawiyah r.a. Sementara sarjana barat seperti George Coedes mengulas tentang Dapunta Hyang Sri Jayanasa dan suasana agama Buddha di Palembang, seorang sarjana muslim S.Q.Fatimi mendedahkan tentang dua pucuk surat yang menghubungkan empayar SriVijaya dengan pusat Khilafah Islam. Pengaruh dan kedudukan muslim di dalam empayar SriVijaya diulas terperinci oleh Prof Azyumardi Azra.

Penduduk Kedah beragama Hindu? Kita tidak dapat membuktikan apakah agama penduduk di Kedah sebelum penaklukan Sri Vijaya. Candi-candi yang digali dan direstorasi sejak tahun 1930’an menunjukkan agama anutan setempat adalah agama Buddha. Ini berdasarkan kepada batu bersurat Buddhagupta dan lain-lain artifek. Tapi jangan kita lupa di masa yang sama, ditemui juga batu bersurat Ibnu Sardan yang bertarikh 291h (900 m) dan berdasarkan kajian arkeologi terkini tapak 23 di Pengkalan Bujang adalah kemungkinan sebuah runtuhan masjid yang berusia lebih dari 1100 tahun. Datuk Wan Syamsuddin (Pengerusi PSMCK) menegaskan ia sebuah masjid maskipun ia masih dipolemikkan. Berdasarkan kepada kewujudan anjung, mimbar dan bentuk binaan yang amat berbeza dengan binaan candi (tapak 19, 21 dan 22) yang berjiran, kemungkinan ia sebuah masjid tidak dapat ditolak. Penemuan terkini iaitu kubur Sultan Muzaffar Syah yang ditemui di Bukit Meriam, Kuala Muda kedah menunjukkan bahawa Islam sangat berpengaruh dan bersaing dengan aman Bersama agama setempat terutama agama Buddha. Sultan Muzaffar Shah I masuk Islam pada tahun1136 di tangan Syeikh Abdullah Yemeni al Qoumari di Gunung Jerai. Dapatan-dapatan sejarah semakin menguatkan hujah bahawa Islam wujud secara harmoni Bersama agama lain, terutama agama Buddha sejak dari awal. Di manakah kedudukan agama Hindu?

Fakta sejarah menunjukkan agama Hindu muncul kemudian. Pertembungan pertama kerajaan Nusantara dengan kerajaan Hindu India adalah pada tahun 1025 M apabila kerajaan SriVijaya (Palembang dan Kedah) dilanggar oleh Rajendra Chola dari India Selatan. Sejak dari situasi tersebut kita melihat agama Hindu mula bertapak dan akhirnya menjadi dominan pada zaman Majapahit. Ternyata apabila Maulana Malik Ibrahim (pelopor wali songo) berdakwah di Gresik pada tahun 1415, Raja Majapahit Brawijaya enggan masuk Islam sedang penduduk yang beragama Hindu dari kasta Vaisya dan Sudra menerima Islam kerana mereka melihat keadilan dan kesaksamaan. Raja Prabu Brawijaya meskipun tidak memeluk Islam dan kekal hindu namun baginda telah menganugerahkan satu desa untuk Maulana Malik Ibrahim mengasaskan pesantrennya.

Kulasegaran mengatakan agama Hindu menjadi anutan orang melayu sejak 2500 tahun yang lalu. Ini adalah dakwaan tidak berasas. 2500 tahun lalu orang melayu nusantara berulang alik merentas lautan Hindi hingga ke Madagascar. Adalah tidak menghairankan jika orang melayu terdedah kepada risalah Nubuwah sebelum Rasulullah SAW. Jika orang melayu yang hidup di nusantara (pulau antara Lautan) dan mereka merupakan bangsa pelaut dan pedagang antarabangsa maka sudah tentunya mereka terdedah kepada Risalah tauhid. Orang-orang Arab sendiri sudah belayar ke tanah Besar China pada zaman Dinasti Tang sebelum Rasulullah SAW diutus. Ini bermakna pertukaran budaya dan pemikiran berlaku dengan subur di alam melayu termasuk dalam soal pegangan hidup. Dari segi ethymology sendiri menunjuk ke arah tersebut. Perkataan Tuhan itu bermaksud Tu ha’an iaitu yang paling tua tiada permulaan. Benih tauhid sudah lama tertanam pada saat orang melayu pra-sejarah menganut agama setempat samada berdasarkan kepada animisme, atau menyembah leluhur. Agama hasil dari pertembungan dan persenyawaan budaya yang lebih menekankan tentang keluhuran budi yang serasi dengan jiwa nusantara seperti Buddha mendapat tempat di Nusantara. Itupun tidaklah diterima secara pukal bahkan berlaku akulturasi dan turut berkembang dengan nuansa tempatan sehingga penganut agama Buddha di benua kecil India turut belajar di biara-biara (monastery) setempat. Dan apabila Rasulullah SAW diutuskan pada kurun pertama hijrah lagi, agama tauhid dengan mudah diterima natijah dari akhlak dan qudwah para pendakwah; menjadi anutan masyarakat dan akhirnya ia berdiri secara rasmi dalam bentuk pemerintahan dan sistem kenegaraan.

Agama Hindu dakwaan Kulasegaran? Mungkin ia datang dengan serangan Rajendra Chola.

Related Posts