GENERASI-GENERASI DI MALAYSIA
Hari ini ramai dalam masyarakat kita yang sering Google maklumat tentang apa generasi mereka. Millennials, babyboomers, Gen X dan Gen Z - dan apabila kita membaca maklumat-maklumat tentang hal generasi ini, seringkali artikel itu merujuk kepada peristiwa atau pop culture yang berlaku di Barat, khususnya di Amerika Syarikat sebagai kuasa besar dunia sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua.
Gambar blog - Buasir Otak |
Tetapi semua kajian daripada buku-buku yang disebut, semuanya merujuk kepada situasi yang berlaku di Amerika Syarikat dan walaupun ia kadangkalanya berkait dengan orang yang seusia dan berada dalam generasi yang sama, tetapi tidak semuanya berkait dengan populasi di Malaysia.
Saya pernah menulis artikel tentang generasi di Facebook seperti dalam artikel ini, tetapi seperti yang saya katakan, nama-nama rujukan itu dikaitkan dengan sejarah di negara Barat, terutamanya di Amerika Syarikat. (https://www.facebook.com/comradenami/posts/10209235031513324)
APA ITU GENERASI?
Generasi, mengikut catatan dari pengkaji yang sering dirujuk dalam bidang ini, iaitu William Strauss dan Neil Howe, ialah satu kumpulan manusia yang membesar dalam satu situasi politik, ekonomi, dan sosial yang sama dalam satu masa.
Contohnya, golongan GI Generation membesar dalam situasi Perang Dunia Kedua, mempunyai perangai yang berbeza dengan Generation X, yang membesar ketika Perang Dingin berakhir. Walaupun perangai individu membezakan karektor antara semua orang, tetapi terdapat satu memori kolektif (collective memory) yang lebih kurang sama antara satu sama lain dalam satu generasi.
Mengikut kajian Strauss dan Howe, dalam abad ke-20, generasi berikut ialah seperti:
- Lost Generation (1883-1901), contoh: Onn Jaafar (1895)
- GI Generation (1901-1924), contoh: Tunku Abdul Rahman (1903)
- Silent Generation, lebih dikenali sebagai The Lucky Few (1925-1945), contoh: Dr Mahathir Mohamad (1925)
- Babyboomers (1946-1964), contoh: Anwar Ibrahim (1947), Najib Razak (1953)
- Generation X (1965-1980), contoh: Khairy Jamaluddin (1976)
- Millennials (1980-1995), contoh: Syed Saddiq (1992)
- Generation Z, atau dikenali sebagai Generation Homeland di Amerika Syarikat (1995-2010), contoh: Benladin (2001)
Walaupun generasi ini dilahirkan pada tahun yang dinyatakan, tetapi nama generasi digambarkan semasa usia mereka membesar.
Contohnya GI Generation mendapat namanya dari perkataan GI iaitu "Government Issue" atau "General Issue". Ini kerana kebanyakan remaja di Amerika Syarikat yang lahir dalam generasi ini membesar sebagai seorang tentera yang berperang pada Perang Dunia Kedua.
Millennials pula mendapat nama dari 'millennium', dimana mereka membesar ketika melintasi alaf baru pada tahun 2000.
Gen X pula mendapat nama X kerana ketika itu, sukan ekstrem seperti papan luncur (skateboard) dan kasut roda (rollerblade), serta huruf X yang sering dilabelkan sebagai simbol pemberontakan - menyebabkan ia dilabel Generation X.
Tetapi itu di Amerika Syarikat, bagaimana pula di Malaysia?
Di Malaysiana, saya mengikut sedikit apa yang dikaji oleh Strauss dan Howe, tetapi saya masukkan dalam konteks Malaysian agar ianya lebih rapat dengan situasi dengan masyarakat kita.
Di Malaysia, ia dibahagi seperti ini:
- Generasi Industri British (1895-1910), generasi yang membesar ketika British sedang giat membina infrastruktur di Malaya seperti jalan raya, kereta api, perkilangan dan pelabuhan.
- Generasi Perang Jepun (1910-1930), generasi yang membesar ketika Perang Dunia Kedua, lebih kurang seperti GI Generation.
- Generasi Merdeka (1930-1945), generasi yang membesar ketika era kemerdekaan.
- Generasi 13 Mei (1945-1960), generasi yang membesar ketika peristiwa 13 Mei, 1969.
- Generasi Pasca DEB (1960-1975), generasi yang membesar ketika zaman selepas Dasar Ekonomi Baru dilancarkan oleh Tun Razak serta ekonomi Malaysia berkembang pesat (kedua terpesat di dunia selepas China pada ketika itu).
- Generasi Reformasi (1975-1986), generasi yang membesar ketika Krisis Ekonomi Asia dan peristiwa Reformasi yang digerakkan oleh Anwar Ibrahim.
- Generasi Kami (1986-1997), generasi yang membesar ketika drama Kami The Series pada tahun 2007.
- Generasi Malaysia Baru (1997-2007), generasi yang membesar ketika Pakatan Harapan menumbangkan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14.
Kesemua generasi-generasi ini mempunyai karekteristik yang berbeza walaupun ia hampir sama seperti kajian yang dilakukan oleh Strauss dan Howe.
GENERASI INDUSTRI BRITISH (1895-1910)
Generasi ini membesar di bawah pemerintahan British yang ketika itu menjadi kuasa terbesar (superpower) dunia pada ketika itu. Generasi ini membesar ketika ekonomi Malaya berada di dalam keadaan paling pesat di zaman Roaring Twenties.
Sayangnya, segala kekayaan itu dialirkan ke London dan hanya sedikit sahaja yang didapati oleh Malaya. Jika kita sebagai sebuah negara pada ketika itu, negara kita mungkin lebih kaya dari apa yang kita ada sekarang.
Generasi ini secara relatifnya sangat positif dengan British. Mereka merasakan tanpa British, Malaya tidak mungkin akan maju seperti hari ini. Pun begitu ada juga yang melihat di sebalik kemajuan ini, mereka merasakan British tidak ubah seperti penjajah dan mahu menentang penjajahan Britain.
Pemberontakan ini ada di kalangan anak muda melalui penulisan-penulisan nasionalis seperti Ishak Haji Mohammad atau nama penanya Pak Sako, atau dari Indonesia seperti karya dari Buya Hamka.
Pop culture pada ketika ini banyak dipengaruhi oleh pengaruh dari Indonesia seperti Tempo Doeloe (1880-1910) yang menjadi asas kepada muzik Keroncong.
Lagu-lagu seperti Terang Bulan, Potong Padi dan Nina Bobo sangat popular pada ketika itu. Radio, yang menjadi teknologi tercanggih pada masa itu, memainkan peranan seperti drama radio bangsawan selain dari persembahan Boria di Pulau Pinang, masih lagi popular pada zaman generasi ini membesar.
GENERASI PERANG JEPUN (1910-1930)
Generasi ini membesar di era pendudukan Jepun dan di mana pendapat mereka sangat berlainan dengan generasi sebelumnya, di mana mereka mulai skeptik dengan penjajahan British.
Mereka skeptik kerana selepas melalui era Great Depression dan Perang Dunia Kedua, semangat nasionalisme yang datang dari penulis-penulis nasionalis seperti Pak Sako telah mempengaruhi generasi ini dan terus melawan penjajahan British selepas tamat perang dunia. Hal ini dapat diperlihatkan melalui penentangan terhadap dasar British yang mahu melaksanakan Malayan Union.
Mereka juga adalah generasi pertama yang mengundi dalam pilihan raya pertama negara ini pada tahun 1955.
Pop culture pada ketika ini mulai merebak luas melalui radio. Lagu paling popular di awal zaman mereka membesar ialah lagu Tudung Periuk dendangan Momo Latiff. Teknologi filem juga mula berkembang dan pengaruh dari filem-filem di Bombay dan Parsi pada ketika itu juga melahirkan pelakon seperti Nordin Ahmad, Latifah Omar dan Wahid Satay.
GENERASI MERDEKA (1930-1945)
Dilahirkan pada era Great Depression dan perang, generasi ini adalah generasi pertama yang membesar dalam suasana kemerdekaan.
Pada tahun 1950an ketika ekonomi dunia makmur, serta optimisme dari kemerdekaan juga menjadikan suasana negara pada peringkat awal kemerdekaan secara relatifnya aman, walaupun terdapat ancaman daripada Parti Komunis Malaya (PKM).
Generasi ini juga membesar dengan menghadapi Konfrantasi dari Soekarno kerana penubuhan Malaysia, dan kerana ini, minat remaja terhadap pop culture dari Indonesia mulai merudum dan dalam masa sama peningkatan pop culture dari negara mula meningkat, terutamanya apabila nama P.Ramlee mula mengharum di radio dan di layar perak.
Generasi ini sangat menghargai perpaduan antara kaum serta sangat menyokong kuat pada kerajaan pimpinan Tunku Abdul Rahman, kerana walaupun menikmati kemakmuran dan pembangunan, tetapi ancaman dalam negara seperti komunisme dan dari luar negara seperti Indonesia menyatukan mereka untuk berdiri di belakang kerajaan.
GENERASI 13 MEI (1945-1960)
Mereka dilahirkan selepas daripada Perang Dunia Kedua dan mula di bangku sekolah sejak kemerdekaan, adalah generasi yang mula terhimpit dengan krisis hubungan antara kaum dan jurang ekonomi yang mulai melebar.
Mereka juga adalah generasi pertama yang membesar dengan televisyen mula menjadi mainstream dari kalangan masyarakat.
Peristiwa 13 Mei 1969 juga menjadikan mereka lebih sangsi antara kaum secara umumnya, dan politik kaum mulai menebal daripada generasi ini.
Generasi 13 Mei juga merupakan antara pelopor yang bergerak dari kampung ke kota selepas pengumuman Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Sejak pemisahan Singapura dari Malaysia pada tahun 1965, pusat pop culture juga berpindah dari Singapura ke Kuala Lumpur. Populariti P.Ramlee juga semakin merosot sehinggakan beliau pernah dicaci semasa melakukan konsert di Kuala Lumpur. Pada ketika ini, muzik seperti pop yeh-yeh dan agogo menjadi popular.
Peluang pekerjaan dan di era awal perindustrian di Malaysia menyaksikan banyak setinggan-setinggan di sekitar Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Butterworth dan Tasik Utara di Johor Bahru, menyebabkan golongan penghuni setinggan sering berada dalam krisis berdepan dengan pihak penguasa.
Pada masa ini juga, dasar-dasar kerajaan banyak mengutamakan perpaduan, seperti Rukun Negara dan Dasar Perpaduan Negara yang mula dilaksanakan pada dekad 1970an.
GENERASI PASCA DEB (1960-1975)
Generasi ini dilahirkan selepas peristiwa 13 Mei 1969 dan Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan. Generasi ini adalah generasi pertama yang membesar dengan TV berwarna. Peningkatan eksport elektronik ke luar negara juga menjadikan ekonomi negara pada ketika ini semakin makmur.
Penemuan minyak di pesisir pantai Terengganu, Sabah dan Sarawak serta pengasasan syarikat Petronas pada tahun 1974, serta penubuhan Proton pada tahun 1982 juga menjadikan golongan ini antara golongan yang pertama membesar dengan "satu keluarga satu kereta".
Kekayaan dan kepesatan ekonomi negara yang meningkat pada tahun 1970an dan 1980an juga menyaksikan golongan dari Generasi Merdeka dan Generasi 13 Mei mula menjadi kelompok kelas pertengahan di bandar-bandar utama di negara ini.
Generasi Pasca DEB menyaksikan peristiwa seperti kes pecah amanah Bank Bumiputera 1982, Memali dan drama pengharaman UMNO dan krisis kehakiman pada lewat 80an, menyebabkan ada dari kalangan mereka yang skeptik dan sinikal dengan kerajaan.
Filem seperti Matinya Seorang Patriot dan Kembara Seniman Jalanan adalah salah satu dari rakaman dari zeitgeist zaman tersebut.
Generasi ini menyaksikan muzik punk dan hiphop mula masuk mempengaruhi mereka terutamanya di peringkat bandar, serta muzik rock kapak yang popular pada ketika itu. Rambut panjang dari penyanyi rock dilihat sebagai simbol pemberontakan dan anti establishment serta menentang segala nilai estetika dari kerajaan seperti budaya batik, Belia 4B dan rambut pendek.
GENERASI REFORMASI (1975-1986)
Generasi ini membesar dengan berdepan dengan Krisis Ekonomi Asia pada tahun 1997, yang menyaksikan ramai ayah-ayah mereka dari Generasi Merdeka dan Generasi 13 Mei kehilangan kerja.
Seperti abang-abang dan kakak-kakak mereka dari Generasi Pasca-DEB yang memberontak, pemberontakan generasi ini dibangkitkan dengan satu peristiwa yang menggemparkan negara: pemecatan Anwar Ibrahim dari jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Generasi ini seperti abang-abang dan kakak-kakak mereka juga, membesar dengan muzik dan subculture melawan seperti punk, skinhead, grunge dan hiphop - melihat abang-abang dan kakak-kakak mereka dari Generasi Pasca DEB di jalan raya penuh minat, dan terpengaruh dengan Reformasi. Seterusnya berarak di jalan raya sepuluh tahun kemudian dalam perhimpunan Bersih.
Mereka membesar di zaman pop muzik Melayu yang terbaik sejak P.Ramlee. Artis seperti Awie, Ziana Zain, Amy Mastura, Raihan, dan Siti Nurhaliza - serta letusan budaya muzik alternatif seperti Butterfingers, OAG, Poetic Ammo dan Too Phat.
GENERASI KAMI (1986-1997)
Mereka adalah generasi yang membesar di era Islam Hadhari pimpinan Abdullah Ahmad Badawi, yang menyaksikan pencapaian yang masih boleh dikenang pada eranya ialah apabila Malaysia berjaya menghantar Angkasawan pertama ke ISS iaitu Dr Sheikh Muzaphar.
Mereka membesar pada era tsunami politik 2008, era blog dan Internet semakin mempengaruhi hidup mereka. Mereka mungkin lebih ramai mengenali kawan di Friendster dan Myspace daripada berkenalan dengan kawan-kawan di sekolah.
Generasi ini meneruskan kesinambungan dari muzik alternatif dari Generasi Reformasi dan kali ini digerakkan dalam bentuk digital, menerusi dari Myspace Music, munculnya band-band baru seperti Hujan, Meet Uncle Hussain, Grey Sky Morning dan Muck.
Generasi ini juga adalah mereka yang mula membaca buku-buku indie semasa mereka di peringkat universiti ketika melawat event Layar Tanchap dan Frinjan.
Mereka membesar dengan pop culture yang mulai ditepukan dengan filem dan drama cinta anak orang kaya di televisyen, tetapi sekurang-kurangnya mereka ada alternatif lain.
Drama Dunia Baru pada tahun 2006, Gol Dan Gincu pada 2007 dan Kami pada tahun 2007 mewarnai dunia remaja mereka.
GENERASI MALAYSIA BARU (1997-2005)
Generasi ini adalah golongan remaja pada hari ini. Mereka membesar dengan pergolakan politik tidak henti-henti sejak tsunami politik 2008, zaman pentadbiran Najib Razak (2009-2018) serta menyaksikan buat pertama kali dalam sejarah Malaysia sejak merdeka, bertukar kerajaan dari Barisan Nasional ke Pakatan Harapan.
Mereka mempunyai kawan di media sosial lebih ramai daripada mereka berkawan di sekolah, dan populariti diukur melalui jumlah 'likes' di Instagram.
Narkisis, superficial dan anti-sosial, mereka lebih gemar berbual di video pada telefon pintar daripada berbual berdepan.
Pun begitu mereka lebih cepat menerima informasi dari mana-mana generasi sebelum ini, multi-tasking dan lebih berkeyakinan dan bertrampilan, walaupun ramai daripada mereka berdepan dengan krisis kesihatan mental (mental health) yang kronik.
Buat pertama kali sejak Generasi 13 Mei, televisyen tidak lagi menjadi pengaruh utama, bermula dengan generasi ini. Generasi ini lebih selesa untuk mendengar lagu pada streaming seperti Spotify atau Joox, lebih menonton Youtube daripada televisyen, dan lebih banyak meluahkan perasaan di Insta Stories daripada di diari. Mereka adalah generasi yang tidak boleh berpisah dengan digital.
Jadi ini adalah tulisan analisis tentang generasi di Malaysia dari saya. Dan untuk generasi selepas ini, apa nama yang sesuai? Mungkin Generasi Upin Ipin, atau Generasi Baby Shark? Atau untuk menunggu mereka dewasa untuk nama yang lebih sesuai?
Analisis tentang generasi mungkin tepat dalam konteks Malaysiana dalam artikel ini, dan diharapkan kita lebih mengenali generasi kita (dan generasi-generasi lain).