Pendidikan Sivik di Sekolah : Melentur Rebung atau Mengopak Buluh?
Sekarang ini tular satu poster berkaitan beberapa cadangan tindakan penambahbaikan oleh Kementerian Pendidikan di sekolah. Kebanyakan cadangan yang dilontarkan tersebut rata-rata disambut baik oleh para guru, dengan harapan ia menjadi kenyataan, bukan sekadar dendangan yang mengkhayalkan seperti mana yang berlaku sebelum ini. Secara peribadi, saya tertarik untuk berbicara mengenai subjek Sivik yang bakal diperkenalkan semula.
Sebelum mengulas, saya perkenalkan latar belakang mengenai subjek ini. Pada pertengahan 2007, guru-guru di sekolah menengah Malaysia diarahkan untuk menjalani kursus bagi pengenalan subjek Sivik dan Kewarganegaraan di sekolah menengah bermula tahun 2008. Kursus diadakan selama tiga hari di hotel. Antara peserta kursusnya bernama Sahul HM yang mewakili Kolej Tunku Khursiah Seremban. Selama tiga hari kami dilatih untuk bersedia mengajar subjek ini setelah kembali ke sekolah masing-masing kelak. Beratus ribu ringgit dihabiskan untuk melatih kami untuk mengajar satu subjek yang pada masa itu kami tidak pun sedar ia bakal dimansuhkan bermula 2017. Ya, subjek Sivik kemudiannya dimansuhkan bermula 2017. 2016 adalah tahun terakhir Sivik berdiri sebagai subjek sendiri. Melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, Sivik diintegrasikan dalam subjek Pendidikan Islam, Moral dan Sejarah.
Apakah isi kandungan dan matlamat subjek Sivik pada masa itu? Menurut sukatan pelajaran KBSM, Sivik menekankan empat prinsip utama iaitu belajar untuk mengetahui; belajar untuk bertindak; belajar untuk hidup bersama; dan belajar untuk membentuk peribadi. Tiga objektif utamanya merangkumi aspek Pengetahuan, Kemahiran dan Nilai. Secara ringkasnya, huraian ketiga-tiga objektif tersebut menekankan pembinaan nilai, akhlak, patriotisme dan perpaduan dalam rakyat negara kita.
Apa yang hendak diajar dalam subjek ini? Para pelajar diajar nilai murni yang perlu diterapkan dalam kehidupan seharian. Hormat-menghormati, sayang kepada negara, sayang kepada penduduknya, berbuat baik sesama manusia, mencintai alam, mengenali agama, kaum dan budaya yang berlainan, serta belajar tentang sistem negara seperti Raja, Parlimen dan Perlembagaan Malaysia. Lebih mikro, dalam bahasa yang mudah, di sinilah diajar kepada para pelajar untuk membuang sampah dalam tong sampah, beratur menaiki bas, hormat pada orang yang lebih tua, beri tempat duduk kepada orang yang memerlukan, menolong orang tanpa diminta, senyum, tegur sapa, beri salam, bersihkan tandas, jaga harta awam, dan banyak lagi amalan baik kecil-kecil yang semakin hilang daripada radar hubungan sesama manusia.
Walau bagaimanapun, penting untuk ditekankan bahawa subjek Sivik tidak diambil kira dalam peperiksaan PMR, PT3 mahupun SPM. Ia tinggal sebagai subjek yang dipelajari untuk mendidik pelajar. Bagus secara semangatnya, namun tidak berpijak kepada realiti sistem pendidikan kita. Bukan lagi rahsia dalam kalangan warga sekolah bahawa mana-mana subjek yang tidak termasuk dalam pengiraan peperiksaan utama, tidak sama pemberatan dan penekanannya berbanding subjek-subjek peperiksaan seperti BM, BI, Pendidikan Islam, Matematik, Sains dan Sejarah.
Lama-kelamaan, atas desakan sistem yang mengejar silibus, maka guru-guru di sekolah terpaksa mencuri waktu pembelajaran Sivik untuk digantikan dengan subjek peperiksaan. Desakan ini berantai dan bertali arus. Jika silibus tidak habis, pengetua marah guru, kerana pengetua disoal oleh PPD, dan PPD pula dihentam JPN dan JPN bekerja untuk memenuhi kehendak KPM. Di strata paling bawah, guru, sering menjadi mangsa keadaan. Mahu tak mahu, waktu subjek Sivik perlahan-lahan dikorbankan. Tak perlu bersusah payah mengejar Sivik kerana ia tidak menyumbang kepada prestasi sekolah yang mengejar A. Saya tidak mengatakan semua sekolah melakukan hal ini, tetapi terlalu ramai guru dan di banyak sekolah yang berlangsung begini. Akhirnya, selepas sembilan tahun bernyawa ikan, Sivik dimansuhkan dan disumbat dalam subjek lain. Bahan pelajaran seperti buku-buku teks yang entah berapa puluh juta akhirnya dihunjamkan dan membungkam dalam stor.
Demikian sedikit pengenalan mengenai Sivik di sekolah. Saya masih berpegang bahawa Sivik sangat penting untuk dikekalkan di sekolah bagi membina generasi yang beretika, berakhlak dan berbudi pekerti. Kadang-kadang kita ini masih belum dapat menentukan matlamat pendidikan kita yang sebenarnya. Walaupun Falsafah Pendidikan Kebangsaan sudah digubal indah, pelaksanaannya sering kelam-kabut dan tidak konsisten. Kita perlu betul-betul menetapkan bahawa yang kita mahu bina, pada peringkat ini, adalah pembinaan bangsa dan negara atau pembinaan teknologi semata-mata? Jika pembinaan bangsa (yang ditandai dengan ketinggian budi pekerti) lebih penting, maka pendidikan awal kita perlu ditempa untuk memenuhi keperluan budi pekerti, bukan keperluan sains teknologi. Sains dan teknologi penting, tetapi sains tanpa budi pekerti ibarat pokok tidak berbuah. Hidupnya meneduhkan, tetapi tidak mengenyangkan. Kenyang lebih penting daripada teduh. Kerana lapar bisa membikin manusia bertukar sifat menjadi binatang.
Sehubungan itu, sehingga saat ini saya masih percaya bahawa subjek Sivik bukan sepatutnya diajar di sekolah menengah, tetapi di peringkat pendidikan awal kanak-kanak. Mungkin daripada umur 5 dan 6 tahun di prasekolah, dan kemudian di tahap satu di sekolah rendah, iaitu sehingga anak-anak berumur 9 tahun. Selepas daripada itu, bolehlah Sivik diintegrasikan dalam mana-mana subjek yang ada. Mengapa saya percaya begitu. Pertama, kita tidak lagi perlu risaukan tentang prestasi sekolah kerana Sivik tak termasuk dalam peperiksaan besar. Guru selamat, prestasi sekolah pun tak terjejas. Terakhir, yang paling unggul, kita dapat memanfaatkan kesucian pemikiran dan sifat ‘menyerap’ yang ada dalam diri anak-anak berusia antara 5 hingga 9 tahun ini. Lima tahun ini kita gunakan untuk mendidik anak-anak dengan nilai, budi pekerti dan cinta negara. Ini usia pengenalan bagi mereka. Di sinilah yang kemudiannya akan membentuk peribadi mereka. Mereka masih rebung. Elok sangat untuk kita lentur mereka dari peringkat ini. Bukan kita tunggu sehingga anak-anak ini mencapai usia buluh di sekolah menengah. Di sekolah menengah mereka sudah membawa sistem nilai yang diterapkan selama 7 hingga 8 tahun daripada peringkat rendah. Ia sudah hampir sebati. Melentur pelajar sekolah menengah ibarat mengopak buluh, buluh rosak, tangan kita pun cedera. Sebaliknya, di peringkat umur 5 hingga 9 tahun, anak-anak bukan diajar untuk mengejar akademik, walaupun asas ditekankan, tetapi dididik, dibentuk dan diasuh untuk menjadi manusia yang berbudi pekerti dan bernilai patriotik.
Pengalaman melihat anak saya bersekolah di prasekolah di Sydney banyak memberi pengajaran kepada saya. Penekanan adalah berkenaan hubungan antara manusia, bukan terhadap akademik. Anak-anak diajar untuk bertegur sapa, berterima kasih, menghormati perbezaan, membantu kawan dan hatta bermain dengan tanah (dan kita kini mencari kinetic sand untuk anak-anak kita!). Mereka menyanyi dan berlakon. Diajar untuk yakin diri. Kita sering kagum melihat anak-anak Jepun misalnya yang mengemas sekolah dan berdisiplin, tetapi jarang pula kita mahu mengamalkannya dalam sistem prasekolah kita. (Ya, di Jepun kadar bunuh dirinya tinggi, tetapi bukan kerana pendidikan prasekolah, itu kerana tekanan kerja dan keperluan ekonomi.) Hasilnya, generasi mudanya, bukan sahaja mencapai kemajuan dalam pelajaran dan teknologi, malah seiring perkembangan patriotismenya serta menjaga hubungan dengan manusia lain, lebih baik daripada kita yang berlagak suci ini. Saya tidak nafikan “sistem nilai” mereka tidak sama dengan kita, namun setidak-tidaknya mereka hormat akan hak orang lain, bertoleransi terhadap ‘co-existency’ dan sering terkehadapan dalam hal memenuhi bantuan dan permintaan.
Sebelum mengakhiri ngomelan ini,apalah salahnya jika guru-guru di sekolah diambil pandangan mereka dalam hal memperkenalkan semula subjek Sivik ini? Atau dalam hal lain yang melibatkan mereka secara langsung. Bukankah guru merupakan pemegang taruh paling utama dalam sistem pendidikan kita? Jalannya mudah. Kita ada pelbagai sistem ‘online’ seperti SAPS dan HRMIS sebagai contoh. Wujudkan satu fungsi di dalamnya untuk membuka undian atau pandangan para guru. Guru boleh mengundi berkaitan sebarang isu baharu yang timbul. Atau wujudkan pangkalan data untuk mengumpulkan pandangan guru mengikut kategori. Jana statistik, carta pai atau carta bar misalnya, melalui dapatan kategori tersebut. Idea atau aduan yang paling banyak dan seragam dalam satu-satu hal boleh diguna pakai oleh pihak penggubal di KPM. Bos, ular menyusur akar takkan hilang bisanya pun. Satu lagi, undian atau idea ‘online’ begini telus kerana para guru memiliki kata laluan masing-masing, dan hanya guru sahaja yang boleh akses ke pangkalan data yang berkaitan. Gunakanlah kepakaran jurutera perisian kita untuk memurnikan perolehan ini.
Demikianlah sedikit perkongsian daripada saya. Moga bermanfaat kepada yang membacanya. Jika ada sebarang komen, ajukanlah dengan berhemah. Tak perlu maki hamun atau menggunakan bahasa kasar. Ini adalah luahan hati saya, walaupun saya tahu ia tidak sedikitpun dapat mengubah keputusan pihak atasan. Sekurang-kurangnya sebagai manusia merdeka kita masih mampu menyatakan pendirian dan pandangan demi kebaikan bangsa dan negara ini. Tidak ada keuntungan kepada diri sendiri, melainkan yang diingini adalah manfaat bagi Malaysia yang disayangi. Terima kasih.