Review : Rampant (2018) Korean Movie.

Oleh : Yoo Mat

"A darkness looms over the kingdom".

Fuh, industri perfileman negara Korea Selatan terus menerus mengeluarkan filem-filem berkualiti tinggi bergenre sejarah pada tahun ini setelah filem The Great Battle, Monstrum dan Feng Shui.

Filem Rampant ini mengisahkan tentang sebuah wabak yang menjangkiti para penduduk Joseon sehingga mengubah mereka ke sosok mayat hidup atau zombi.


Sepertimana filem Train to Busan, filem Rampant hanya mengubah era zamannya sahaja iaitu ketika zaman Dinasti Joseon berada di bawah jajahan Dinasti Qing dari China. Filem ini tidak hanya memfokuskan kepada serangan zombi sahaja malahan komplotan para menteri yang ingin menggulingkan Raja Lee-Jo dari takhtanya dan membebaskan Joseon daripada cengkaman Kaisar Qin. Putera Ganglim yang hanya ingin membawa kakak iparnya ke China akhirnya terpaksa melupakan hasratnya apabila menghadapi serangan mayat hidup di Joseon. Serangan yang didalangi oleh menteri Joseon bukan hanya membabi buta sahaja, bahkan ianya mempunyai matlamatnya yang tersendiri. Matlamat jahat menteri ini ditangkis serta-merta oleh Putera Ganglim lalu berjaya menyelamatkan wabak ini daripada merebak ke seluruh pelusuk negara Joseon.

Di dalam filem ini, kita boleh menyedari:

1. Siapakah yang lebih ganas dan menyeramkan berbanding mayat hidup itu sendiri?

Di dalam filem ini, pengarah cuba menyampaikan konteks bagaimana mitos mayat hidup yang kita takutkan ini hanyalah sebagai bayang-bayang kekejaman walhal kekejaman yang sebenarnya tidak terletak pada makhluk yang tidak berakal bahkan ianya dilakukan oleh seseorang yang berakal, mempunyai kedudukan di mata masyarakat (berpengaruh), tenang dalam melakukan agenda jahatnya dan tidak akan pernah sesekali melupakan agendanya walaupun sehingga ke hujung nyawa.

2. Bagaimanakah ciri-ciri seorang pemimpin yang dekat pada rakyatnya?

Memetik quote daripada Putera Ganglim:

"Dengan adanya rakyat, maka adanya raja".

Dan luahan ketua pemberontak di pihak rakyat, Park Eul-ryong:

"Yang mendengar luahan kami, yang tidak meninggalkan kami dan yang sentiasa mengingati kami. Itulah raja rakyat yang sejati".

3. Perjuangan seorang menteri yang inginkan kuasa tetapi dalam masa yang sama membebaskan tanah tercintanya daripada jajahan kuasa luar walaupun mengambil jalan yang salah dan mengorbankan ramai nyawa manusia.

4. Putera Ganglim yang tidak pernah berminat untuk menduduki takhta diraja Joseon tetap turun tangan dalam menyelesaikan krisis yang terjadi di negara Joseon walaupun kedudukannya tidak diiktiraf sebagai pemangku takhta yang sah oleh ayahnya sendiri, Raja Lee-Jo.

5. Di akhir bahagian filem menunjukkan bagaimana peribadi Putera Ganglim yang menepati janjinya pada penduduk kampung Jemulpo (yang terselamat daripada serangan zombi) dengan membawa pasukan tentera yang ramai. Walaupun penduduk kampung Jemulpo hanyalah penduduk biasa dan kawasan yang ditandai sebagai zon kuarantin, tetapi Putera Ganglim tetap mengambil risiko menyelamatkan rakyatnya yang terpinggir.

Apa-apa pun, kalau bebel panjang pun tak guna juga untuk anda menghayati perjalanan filem ini. Jadinya, silakan menonton filem Rampant (2018) ini dengan segera.

Related Posts