9 SIMBOL SUCI AGAMA YAHUDI.
Agama Yahudi merupakan agama yang paling tertua di dunia selain agama Buddha, Kristian, Hindu dan Islam. Dalam setiap agama-agama di dunia tidak kira agama pagan mahupun monotisme, pastinya terselitnya sejarah bagaimana perkembangan dan segala hubungkaitnya dalam kehidupan di dunia ini. Sepertimana dalam agama Islam, umat Islam mempunyai lambang kesucian mereka, umat Yahudi juga mempunyai simbol-simbol yang melambangkan kesucian agama mereka.
Jadinya untuk penulisan yang serba ringkas dan asas ini, kita akan melihat beberapa simbol-simbol suci milik penganut agama Yahudi modern dari simbol Star of David sehinggalah ke simbol Hamsa Hand.
Shalom!
Isi kandungan penulisan hanyalah merupakan pengenalan asas kepada yang belum tahu. Diharapkan jangan menggelabah dengan penulisan kali ini, kerana apa?
"If you know the enemy and know yourself, you need not fear the result of a hundred battles. If you know yourself but not the enemy, for every victory gained you will also suffer a defeat. If you know neither the enemy nor yourself, you will succumb in every battle".
(Sun Tzu, Art of War).
STAR OF DAVID.
Dikenali juga sebagai 'Magen David' atau 'Shield of David' merupakan simbol yang melambangkan agama Yahudi. Lambang ini sebenarnya muncul pada abad ke-13 M, berikutan kelompok Yahudi yang ingin menunjukkan simbol agama mereka sepertimana lambang Salib pada agama Kristian dan lambang Bulan Sabit pada agama Islam.
Ianya boleh dilihat pada Leningrad Codex tahun 1108 M dan penemuan cetakan lambang ini di duit syiling bertarikh dari abad ke-13 M.
Pada lambang ini, kita boleh melihat adanya dua buah bentuk segitiga yang digabungkan yang dimana pada satunya berada pada posisi mengarah ke atas dan satu laginya mengarah ke bawah. Dua buah segitiga ini melambangkan:
1. Segitiga atas: Menghadap Tuhan (menyembahNya).
2. Segitiga bawah: Kehidupan di atas dunia sekarang.
Lambang segitiga ini adalah seimbang, iaitu melambangkan kehidupan manusia yang saling berhubungkait antara satu sama lain dan tidak akan terpisah selamanya.
Nabi Ibrahim a.s atau Abraham dikenali sebagai titik utama kelahiran agama Yahudi, Kristian dan Islam. Lambang Star of David diinspirasikan daripada Nabi Daud a.s atau David yang mengasaskan Kerajaan Yahudi rasmi pertama di dunia di Jerusalem (Baitulmaqdis) setelah baginda mengambil alih takhta menggantikan Raja Thalut. Kerajaan Yahudi dihancurkan sepenuhnya oleh Raja Nebuchadnezzar II dari Babylonia pada tahun 586 SM.
Tragedi penaklukan Jerusalem inilah membawa kepada perpecahan kepada bangsa Yahudi dan pada zaman sekarang hanya tiga buah kelompok Yahudi sahaja yang masih wujud iaitu Kohanim, Levites dan Israel.
Kewujudan ketiga kelompok Yahudi inilah yang membawa kepada penciptaan lambang Star of David yang berbucu tiga.
Kini, lambang Star of David menjadi simbol dalam bendera negara mitos Israel.
MENORAH.
Merupakan salah satu simbol agung suci bangsa Yahudi. Kegunaannya sebagai pemegang lilin yang bercabang sembilan. Simbol ini merujuk kepada bab Isaiah (42) ayat 6 yang membawa maksud sebagai 'a light unto all nations'.
Menorah ini dipasang atau dinyalakan setiap kali tibanya hari perayaan Hanukkah (Festival of Lights) yang mengikut sistem kalendar Yahudi, Luach. Perayaan Hanukkah selalunya bermula pada tanggal 25 bulan Kislev dan berakhir pada 2 atau 3 bulan Tevet. Perayaan ini berlangsung selama lapan hari berturut-turut. Ketika menyambut perayaan ini, penganut Yahudi akan meletakkan setiap lilin pada setiap cabang Menorah, iaitu sebanyak lapan cabang sahaja seiring dinyalakan sebanyak lapan malam, satu malam, satu lilin, sehinggalah kesemua lilin berjaya dinyalakan. Cabang kesembilan yang terletak pada posisi tengah merupakan tempat letaknya lilin istimewa iaitu lilin shamash. Lilin shamash berfungsi sebagai pembakar kepada lilin-lilin yang lain. Selalunya cabang lilin shamash diletakkan atau direkabentuk dalam kedudukan yang lebih tinggi atau rendah.
Sejarah Menorah boleh dlilihat pada sejarah iaitu ketika Raja Nebuchadnezzar II dari Babylonia menawan Jerusalem, Menorah asli yang disimpan di sinagog (tempat beribadat Yahudi) dirampas dan dibawa ke Babylonia. Sehingga ke hari ini, misteri kehilangan Menorah masih belum terungkai. Ada kisah yang menyatakan Menorah disembunyikan oleh para rabbai ketikamana Jerusalem dijarah oleh tentera Babylonia dan ada yang sebaliknya.
Tetapi sejarah yang merujuk kepada peristiwa perayaan Hanukkah boleh dilihat pada kisah popular iaitu pada zaman pemerintahan empayar Selecuid, Raja Antiochus IV Epiphanes menawan Jerusalem pada tahun 175 SM. Dalam kempen penaklukannya ini, Temple of Solomon Kedua (sinagog) dihancurkan lalu ianya digubah menjadi kuil pemujaan kepada Dewa Zeus. Bangsa Yahudi didiskriminasikan dan segala upacara keagaamaan Yahudi diharamkan. Penindasan seperti ini melahirkan bibit-bibit pemberontakan dari pihak penganut Yahudi. Beberapa siri pemberontakan dan serangan berlaku ke atas pentadbiran Raja Antiochus sehinggalah kumpulan pemberontak Yahudi pimpinan Judah berjaya mengambil alih semula Jerusalem pada tahun 165 SM. Setelah sinagog dibersihkan, maka Menorah (bukan asli) diletakkan kembali menggantikan tugu Zeus. Apabila mahu menyalakan api, para rabbai hanya menjumpai sisa satu bekas minyak sahaja yang mampu membakar Menorah selama sehari, tetapi keajaiban sebaliknya berlaku apabila api yang dinyalakan pada Menorah tersebut terbakar dengan jayanya selama lapan hari berturut-turut.
Kemenangan ini dikenang sebagai perayaan hari Hanukkah dan nyalaan Menorah sebanyak lapan malam diambil daripada kisah keajaiban tersebut.
Pembaca boleh merujuk pada kitab Bible bab Exodus (25) ayat 31 sehingga ayat 40.
MEZUZAH.
Ianya seperti tangkal suci untuk penganut agama Yahudi. Selalunya Mezuzah diletakkan di luar pintu utama rumah sahaja dan ianya dilarang sama sekali diletakkan di depan pintu almari mahupun pintu bilik air. Kedudukan Mezuzah tidak menegak, walhal ianya diletakkan dalam posisi senget seperti gambar di atas.
Mezuzah dibahagikan kepada dua bahagian iaitu:
1. Bekas, tempat meletak klaf.
2. Klaf (gulungan Mezuzah) iaitu gulungan kertas yang mengandungi perkataan Shin, yang dipercayai sebagai abjad pertama nama Tuhan. Ianya juga mengandungi pesanan daripada kitab Bible bab Deuteronomy (6) ayat 4 sehingga ayat 9.
Ketika proses menjalankan ritual memasang Mezuzah, si pemakai akan membacakan doa ini:
"Barukh ata Adonai Eloheinu melekh ha-olam, asher kiddeshanu be-mitzvotav ve-tzivvanu likboa mezuzah".
Fungsi Mezuzah tidak lain hanya sebagai pengingat kepada penganut Yahudi bahawasanya selalu hidup bertawadhu dan mengingatiNya segala pesananNya dalam ayat di atas.
Penganut agama Yahudi akan melekatkan Mezuzah ini di pintu rumah setelah mereka menetap di suatu kediaman baharu setelah melepasi tempoh 30 hari bermukim. Setiap tujuh tahun sekali, bekas Mezuzah ini akan diperiksa untuk melihat samada tulisan ayat-ayat suci ini hilang atau terkoyak.
Ini kepercayaan penganut Yahudi walaupun ianya membawa konsep bertawadhu, kau janganlah bebal sangat pergi sangkut papan rehal kat depan pintu. Nanti tak pasal-pasal kena hentak dengan tok siak masjid.
TALLIT.
Sepertimana umat Islam yang mengenakan pakaian ihram ketika melaksanakan ibadah haji dan umrah, penganut agama Yahudi turut mempunyai pakaian ibadahnya sendiri ketika menghadap Tembok Ratapan di Jerusalem atau upacara keagamaan tertentu. Diperbuat daripada kain putih biasa dan bercorak hitam.
Selain tallit, ianya juga dikenali sebagai Tzitzit atau Jewish Prayer Shawl. Seledang ini dipakai sekurang-kurangnya mampu menutupi setengah badan (keliling leher sehingga menutupi bahu).
Pemakai tallit diharamkan memakainya sehingga menyentuh tanah atau dalam kata lain, wajib menjaga kesucian selendang ini. Ianya juga haram dipakai di dalam bilik air atau tempat-tempat yang kotor.
Ianya dipakai sepanjang hari ketika hari perayaan Yom Kippur dan hanya lelaki yang sudah baligh diwajibkan memakai tallit.
Ya, kalau ada orang hadiahkan selendang ini, kau jangan pakai pula. Lebih baik selendang ini kau buat alas meja. Lawa pun lawa.
TEFILLIN.
Selain tallit, penganut agama Yahudi juga memakai tefillin iaitu seutas tali kulit yang dipasang sebuah kotak kubus kecil yang dimana di dalam kotak kubus tersebut tersimpannya gulungan kertas ayat suci dari Old Testament Torah iaitu:
"You shall put these words of mine on your heart and on your soul, and you shall tie them for a sign upon your arm, and they shall be as Totafot between your eyes".
(Deuteronomy 11:18).
Sepertimana dalam gambar di atas, tali kulit tersebut dipakai dengan melilitkan talinya di kedua belah tangan (lengan dan jari) sebanyak tujuh kali dan kotak kubus tersebut diletakkan tepat di atas dahi si pemakai. Selalunya ianya dipakai ketika si pemakai sedang melakukan upacara keagamaan mereka.
Doa yang dibaca oleh Yahudi ketika melilitkan tali tersebut:
"Blessed are You, Lord our God, King of the universe, who has sanctified us with His commandments and commanded us to put on Tefillin".
Tali kulit Tefillin ini jauh beza dengan tali pinggang yang kau lilit kat seluar jeans bundle tu. Jangan pula lepas ni, puak fitan kata tak boleh pakai tali pinggang sebab ikut agama Yahudi.
KIPPAH.
Sepertimana umat Islam memakai songkok, tarbus, serban dan kopiah, umat Yahudi pula memakai Kippah atau nama lainnya adalah Yarmulke. Kippah ini boleh dipakai oleh lelaki atau perempuan Yahudi, tetapi di dalam mazhab Yahudi Ortodoks, hanya lelaki yang memakainya.
Si pemakai boleh memakainya selalu tidak kira masa, bahkan ketika makan, belajar ataupun ketika beribadah (kecuali masa mandi dan tidur). Simbol memakai Kippah adalah sebagai sentiasa berasa dirinya hina di bawah perintah Tuhan, iaitu merujuk kepada 10 Commandents.
Tiada keistimewaan sangat, hanya sebagai pakaian yang melambangkan penganut agama Yahudi sahaja.
Lepas ni nak pakai kopiah tu, pakai dalam posisi elok sikit, jangan nak miringkan kat belakang sangat acah-acah tunjuk rambut depan. Kau tu dah la muka Yahudi, jangan nak sombong jadi Yahudi lagi.
SHOFAR.
Merupakan alat peniup yang ditiupkan oleh penganut agama Yahudi setiap kali menyambut tahun baru mereka, Rosh Hasanah mengikut sistem kalendar Yahudi pada hari pertama dan hari kedua dalam bulan ketujuh, Tishrei.
Di dalam Torah/Taurat, hari tersebut dipanggil juga sebagai Hari Yom Teruah (Hari Menjerit/Mengangkat Suara). Ada empat bunyian dari Shofar, iaitu:
1. Tekiah.
2. Shevarim.
3. Teruah.
4. Tekiah Gedolah.
Shofar selalunya dibuat daripada tanduk kambing biri-biri, sepertimana kisah bersejarah yang mana Nabi Ibrahim a.s atau Abraham mendapat perintah langsung dari Allah swt untuk menyembelih anaknya, Nabi Ismail a.s atau Ishmael. Tetapi pada waktu tersebut, Allah swt menukarkan posisi Nabi Ismail a.s kepada kambing biri-biri. Daripada kisah ini, penganut agama Yahudi menggunakan Sofar sebagai simbol menuju atau membuka Tahun Kebangkitan, tahun yang dimana mengikut segala perintahNya.
Shofar ini bukan sangkakala. So far sangat perbezaannya.
CHAI.
Penganut agama Yahudi juga mempunyai cogan kata yang bersifat 'yahudik' iaitu Chai yang digabungkan daripada dua perkataan iaitu:
1. Chet.
2. Yod.
Gabungan daripada dua perkataan ini menghasilkan perkataan Chai yang membawa makna 'kehidupan' dalam bahasa Ibrani. Kalau kau berjumpa dengan Yahudi, kau ucaplah, "Shalom Chai".
Daripada perkataan Chai ini, lahirlah kepercayaan penganut agama Yahudi iaitu nombor bertuah mereka adalah nombor 18. Jadinya, segala bentuk jumlah yang didapatkan daripada perhitungan nombor 18 membawa keberuntungan.
Contohnya, 18+18 sama dengan 36. 18+18+18 sama dengan 54. Dan seterusnya, apa-apa nombor yang terhasil daripada penambahan nombor 18 adalah pilihan utama penganut agama Yahudi.
Eh, abang, kalau macai tu macam mana ye?
Kalau macai itu lebih hina daripada Chai, sebab Macai membawa simbol kehinaan dan Chai membawa maksud kehidupan...
HAMSA HAND.
Terdapat pelbagai nama iaitu Khamsa, Hand of Fatima dan Hamesh Hand. Kau jangan pening la nak panggil apa, bukan kau pakai pun. Selalunya simbol ini dijadikan kalung oleh penganut agama Yahudi sebagaimana simbol Chai.
Dalam bahasa Ibrani, nombor lima dipanggil Hamesh dan Torah mengandungi lima buah buku (bahagian). Daripada kedua buah sebab inilah, tangan digunakan sebagai simbol Hamsa. Dengan lahirnya simbol tangan, maka ianya juga memiliki makna lain iaitu manusia wajiblah selalu menggunakan kelima-lima pancainderanya untuk selalu mengingatiNya. Apa pancaindera tersebut? Deria melihat, mendengar, menyentuh, bercakap dan menghidu.
Ada kisah lain menyatakan, simbol ini diambil daripada bayangan tangan Tuhan mereka. Dan mata itu melambangkan sebagai 'perlindungan Tuhan daripada anasir-anasir syaitan'.
Sekali pandang simbol Hamsa ini macam simbol Eye of Osiris ja. Kalau pengikut fitan mesti dah kata ini, Illuminati. Ya atau tidak, saya hanya mampu mengucapkan 'Wallahu'alam'.
Sekian, penerangan serba ringkas dari saya. Jika pembaca ingin menelaah serba sedikit tentang sejarah hubungkait Yahudi dan Baitulmaqdis, bolehlah membacanya di pautan:
1. https://www.thepatriots.asia/kenapa-baitulmaqdis-penting-untuk-umat-islam/
2. https://www.thepatriots.asia/siapakah-yang-membangunkan-masjid-al-qibli-dan-kubah-as-sakhra/
3. https://www.thepatriots.asia/kronologi-baitulmaqdis-zaman-khulafa-ar-rasyidin-sehingga-ke-zaman-bani-umayyah/
Sumber rujukan:
1. The Encyclopedia of Jewish Symbols oleh Ellen Frankel dan Betsy Patkin Teutsch.
2. Menorahs, Mezuzas, and Other Jewish Symbols oleh Miriam Chaikin.