Memahami Pemansuhan Akta Hasutan Dan Kesannya Kepada Negara.

Oleh : Yazid Zul

MEMAHAMI PEMANSUHAN AKTA HASUTAN, MORATORIUM DAN KESANNYA PADA MELAYU ISLAM DALAM 3 MINIT


Selaku pensyarah undang-undang yang cintakan Malaysia, saya terpanggil hendak bincang isu panas ini dalam bahasa mudah:



 
• Selama ini, Akta Hasutan boleh digunapakai ke atas penghasut. Contohnya, menghasut bagi mendatangkan kebencian atau penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja atau Kerajaan. Contoh mudah ialah buat kenyataan kata sistem raja dan monarki sudah tidak relevan.

• Antara kesalahan menghasut termasuklah buat kenyataan bagi menimbulkan perasaan tidak puas hati atau tidak setia di kalangan rakyat kepada Yang di-Pertuan Agong. Contohnya membuat kenyataan palsu bahawa rakyat bukan Islam tidak dibenarkan kerja kerajaan melainkan mereka menganut Islam terlebih dahulu.

• Akta Hasutan juga menyatakan bahawa ianya satu kesalahan menghasut jika sesiapa mempersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan atau Perkara 152, 153 atau 181 Perlembagaan Persekutuan.

• Kesalahan menghasut kali pertama boleh dihukum penjara 3 tahun dan selepas itu boleh dihukum 5 tahun penjara jika masih buat lagi.

• Kerajaan Malaysia Baru sebelum ini mengumumkan hendak memansuhkan Akta Hasutan atas dasar kebebasan bersuara. Meskipun begitu, ini menimbulkan kegusaran rakyat kerana hal ini boleh membawa kepada ketegangan kaum sekiranya provokasi melampau tidak dihalang. Usaha memansuhkan apa-apa akta perlulah dibawa ke Parlimen terlebih dahulu.

• Menteri mengumumkan moratorium ke atas Akta Hasutan. Moratorium ini bermaksud penangguhan. Moratorium tidak mempunyai asas undang-undang yang jelas. Sebelum ini, moratorium hanya digunakan apabila melibatkan kepentingan rakyat. Contohnya, berikutan kebimbangan rakyat berhubung isu bauksit, moratorium bauksit telah dilanjutkan terhadap aktiviti perlombongan bauksit.

• Moratorium terhadap Akta Hasutan kelihatannya tidak memberi apa-apa manfaat kepada rakyat sebaliknya dikhuatiri akan meningkatkan lagi ketegangan kaum yang sudah pun sedia panas menggelegak ketika ini. Dikhuatiri moratorium ini dilihat memberi lampu hijau untuk mereka yang ingin membuat kenyataan menghasut yang menghina raja-raja, kepentingan Melayu dan kedudukan Islam di Malaysia.

• Moratorium ke atas semua hukuman mati juga kontroversi. Contohnya, seseorang itu didakwa dan disabit atas kesalahan merogol dan membunuh budak kecil dan dijatuhkan hukuman mati. Tiba-tiba, hukuman mati tersebut tidak dilaksana kerana moratorium. Kesannya, perogol dan pembunuh tersebut akan dipenjara saja. Duit untuk menanggung kos makan minum dan penginapan di penjara ditanggung oleh pembayar cukai termasuklah famili si mangsa. Sudahlah anak dirogol dan dibunuh, keluarga si mangsa terpaksa menanggung pula kos makan minum dan penginapan si penjenayah.

• Pelbagai janji manis termasuklah mansuhkan PTPTN tidak ditunaikan. Janji mansuhkan Akta Hasutan pula jadi keutamaan. Usah begitu. Negara kita sangat tinggi hutangnya. Ketegangan kaum pasti membuatkan pelabur luar lari semakin jauh.

• Jika pemansuhan dibuat, pendakwaan selepas ini hanya mampu bergantung pada Kanun Keseksaan menerusi Seksyen 298, 298A, Seksyen 499, Seksyen 504 dan Seksyen 505. Seksyen-seksyen ni tak sekuat Akta Hasutan.

Seksyen 298 terhad pada sensitiviti agama. Seksyen 298A pula bersifat general dan hanya menghalang provokasi yang membawa perpecahan dan tidak secara jelas menyebut isu monarki dan keistimewaan Melayu dan Islam.

Seksyen 499 sekadar cover isu fitnah. Seksyen 504 dan seksyen 505 juga tidak melindungi apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan atau Perkara 152, 153 atau 181 Perlembagaan Persekutuan.

Pendek kata, undang-undang lain bukan pengganti.

• Kita menolak penyalahgunaan Akta Hasutan untuk tujuan politik sempit dan politik kepartian tetapi pemansuhan terus Akta Hasutan ketika hubungan kaum begitu panas boleh dilihat sebagai sesuatu yang merbahaya kepada keamanan Malaysia.

Ini sekadar pandangan peribadi saya.

Wassalam.

Related Posts