Kenali Bayinnaung, Raja dari Dinasti Toungoo.

Oleh : Sejarah

Bayinnaung merupakan seorang raja dari Dinasti Toungoo yang berpusat di Burma. Beliau telah memerintah selama lebih 30 tahun (1550-1581). Bayinnaung telah menyatukan kerajaannya selain berjaya menguasai Negeri-negeri Shan dan Siam. Zaman pemerintahannya menyaksikan Burma menjadi kerajaan paling berkuasa di Asia Tenggara.


Pada tahun 1550, suku Mon telah melancarkan pemberontakan di selatan Burma dan abang ipar Bayinnaung, Tabinshwehti telah dibunuh di Pegu oleh putera suku Mon. Bayinnaung bertindak berarak ke Toungoo dan mengisytiharkan dirinya sebagai raja. Seterusnya, beliau beralih ke selatan untuk menawan kota Pegu dan menyingkirkan ketua pemberontak, Smim Htaw. Pemberontakan akhirnya reda apabila seluruh suku Mon menyerah. Pegu telah dijadikan ibu kota kerajaan Burma dan hasrat Tabinshwehti akhirnya tercapai.

Pada tahun 1554, Bayinnaung berangkat menuju ke ibu kota lama Burma, Ava untuk menentang puak Shan yang telah menduduki kota tersebut. Beliau berjaya menguasai kota tersebut pada tahun berikutnya. Secara tidak langsung, puak Shan diletakkan di bawah kekuasaan kerajaan Bayinnaung. Seterusnya, beliau mengatur rancangan untuk menyerang musuh terkuatnya iaitu Siam.

Pada tahun 1563, Bayinnaung melancarkan perang ke atas Siam atas dasar Siam yang tidak mengakui kekuasaan Burma. Pada tahun berikutnya, beliau menawan ibu kota Ayutthaya dan membawa keluarga diraja Siam ke Burma sebagai tawanan perang. Apabila pemberontakan di Siam tercetus, Bayinnaung sekali lagi menyerang Siam pada tahun 1568. Saat pemberontakan kian memuncak, Ayutthaya tidak berjaya dikuasai sepenuhnya sehingga Ogos 1569. Akhirnya, Siam terpaksa tunduk kepada kekuasaan kerajaan Bayinnaung dan menjadi negeri naungan Burma. Selain itu, ribuan rakyat Siam telah dibawa ke Burma untuk dijadikan kerahan hamba. Burma menguasai Siam selama lebih 15 tahun sebelum gerakan pembebasan yang dilancarkan oleh putera Siam iaitu Naresuan.

Bayinnaung merupakan salah seorang pemerintah terunggul dari Burma. Beliau telah membina pagoda, menyalurkan sumbangan kepada biara dan menjalinkan hubungan diplomatik dengan kerajaan Buddha di Ceylon. Apabila kota Pegu dibakar oleh pemberontak suku Mon pada tahun 1564, beliau telah membina dan membangunkan semula kota tersebut sehingga ia menjadi antara kota paling makmur di Asia Tenggara.

Related Posts