Cesare Borgia.

Oleh : Zamir Mohyedin

Dalam The Prince, tokoh ini - Cesare Borgia - merupakan antara tokoh yang disanjung oleh Machiavelli. Ditulis hampir memenuhi satu bab (bab 6 atau 7, saya tak ingat).

Machiavelli menyanjungi Borgia kerana mampu menguasai Itali sewaktu tuah (Fortuna) jatuh ke ribanya.


Bagi Machiavelli, penguasa yang cekap dan ampuh adalah penguasa yang bermula dari bawah - seperti Julius Caesar - kerana penguasa sebegini telah membina asas yang kukuh dan belajar banyak perkara sewaktu mendaki sehingga ke takhta penguasa.

Penguasa yang mendapat kekuasaan melalui warisan biasanya lemah sebab dia memperoleh kekuasaan bukan kerana kemahirannya sendiri tetapi kerana kekuasaan itu diwarisi untuknya. Machiavelli panggil ini sebagai bentuk tuah.

Penguasa yang memperoleh kekuasaan melalui tuah ini menuntut kecekapan dan ketelitian yang cukup tinggi untuk mengekalkan kekuasaan sebab dia tak pernah hadapi pelbagai rintangan sebelum berkuasa.

Hal ini terbalik dengan penguasa yang berkuasa melalui jerih dan usaha. Apabila dia berkuasa, tak sukar untuk dia mengekalkan kekuasaan kerana dia sudah masak dengan mainan politik.

Borgia adalah penguasa yang berkuasa melalui tuah. Dia mendapat kekuasaan daripada ayahnya - Pope Alexander VI. Tetapi kerana dia cepat belajar, mempunyai daya kecekapan dan ketelitian yang tinggi, dia mampu berkuasa sehingga menggoyahkan kuasa Perancis dan Sepanyol di Itali.

Tapi kekuasaannya tak berkekalan lama kerana dia sakit. Borgia meninggal dunia pada umur muda - 31 tahun.

Related Posts