Benarkah Taubat Umat Nabi Musa Perlu Bunuh Diri Semata-mata?
Rata-rata kita pernah mendengar hujah bagi membezakan syariat antara rasul dengan rasul yang lain dengan membawa contoh syariat umat nabi Musa ialah cara taubat mereka perlu membunuh diri. Manakala syariat nabi lain tidak ada perintah tersebut.
Ia seakan memberi kefahaman seolah-olah syariat itu dilaksanakan secara umum. Sedangkan situasi itu terdapat konteks yang tersendiri. Allah menyebut di dalam al- Quran yang bermaksud:
“Dan (kenangkanlah) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya; Wahai kaumku! Sesungguhnya kamu telah menganiaya diri kamu sendiri dengan sebab kamu menyembah patung anak lembu itu, maka bertaubatlah kamu kepada Allah yang menjadikan kamu iaitu bunuhlah diri kamu. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu di sisi Allah yang menjadikan kamu, supaya Allah menerima taubat kamu itu.” (Surah al Baqarah: 54)
Ayat ini secara seimbas lalu memberi kefahaman kepada kita bahawa membunuh diri merupakan cara bertaubat bagi umat nabi Musa secara umum. Sedangkan kontkes ayat ini menyebut membunuh diri itu hanya kepada golongan yang terlibat dalam penyembahan patung anak lembu dan bukannya secara hukum umum yang perlu dipraktiskan oleh keseluruhan bani Israel.[1]
Cara Hukuman Kepada Penyembah Patung Lembu
Kebanyakan masyarakat kita faham bahawa hukuman bunuh diri didalam ayat 54 tersebut bermaksud kaum nabi Musa membunuh diri mereka sendiri. Jikalau dilihat kepada tafsir-tafsir yang muktabar, hakikatnya para penyembah patung lembu itu saling berbunuhan dikalangan mereka sendiri. Imam Qurtubi mengatakan bahawa para mufassir sepakat bahawa para penyembah patung lembu tidak diperintahkan untuk membunuh diri masing-masing. Imam Hassan al-Basri mengatakan mereka berdiri membuat dua barisan lalu saling berbunuhan.[2] Ada juga yang mengatakan orang-orang yang tidak menyembah patung tersebut membunuh para penyembah patung.[3] Mereka saling berbunuhan dengan cara saling menusuk pedang diantara mereka.[4]
Ada riwayat dari imam Ibn Syihab al-Zuhri mengatakan ketika penyembah patung lembu diperintahkan untuk membunuh diri mereka, maka keluarlah mereka ke tempat yang lapang dengan diiringi oleh nabi Musa. Selepas sampai di tempat lapang tersebut mereka beradu pedang dan saling tikam menikam sedang nabi Musa mengangkat tangannya (isyarat supaya para penyembah patung melaksanakan perintah Allah itu). Dalam keadaan tersebut datang sekelompok kaum baginda memohon baginda berdoa kepada Allah agar dihentikan hukuman ini.
Mereka merayu dengan cuba menarik tangan nabi Musa (beranggapan dengan turunnya tangan nabi Musa akan memberhentikan hukuman) tetapi nabi Musa tetap teguh melaksanakan perintah Allah. Akhirnya setelah nabi Musa berdoa, Allah memerintahkan nabi Musa memberhentikan hukuman tersebut dan Allah menerima taubat mereka. Mereka pun berhenti dan meletakkan pedang. Nabi Musa dan bani Israel merasa amat sedih kepada mereka yang terkorban. Allah berfirman kepada nabi Musa:
“Apa yang membuatmu bersedih, sesungguhnya yang mati diantara kalian hakikatnya mereka hidup disisi-Ku dan memperoleh rezeki, sedang yang masih hidup diantara mereka aku terima taubatnya.”[5]
Ini menunjukkan yang terbunuh didalam hukuman tersebut mendapat pahala syahid dan yang hidup diampunkan dosa-dosa mereka![6]
Situasi ini juga disebut di dalam Bible di dalam buku Keluaran bab 32. Bab ini menceritakan situasi bani Israel terpedaya dengan turut mengikut menyembah patung lembu. Hasil dari sikap itu, nabi Musa memerintahkan:
“Maka berdirilah Musa di pintu gerbang perkhemahan itu serta berkata: “Siapa yang memihak kepada TUHAN datanglah kepadaku!” Lalu berkumpullah kepadanya seluruh bani Lewi.
Berkatalah ia kepada mereka: “Beginilah firman TUHAN, Israel: Baiklah kamu masing-masing mengikatkan pedangnya pada pinggangnya dan berjalanlah kalian ke mari melalui perkhemahan itu dari pintu gerbang ke pintu gerbang, dan biarlah masing-masing membunuh saudaranya dan temannya dan tetangganya.” (Keluaran: 32: 26-27)
Kesimpulan
Perintah ini ia bersifat hukuman yang dijalankan kepada kaum nabi Musa yang telah menyembah patung lembu (hukuman seperti jenayah murtad) sahaja. Ia bukanlah berbentuk syariat umum yang seakan-akan keseluruhan umat nabi Musa perlu membunuh diri apabila ingin bertaubat.
Nota kaki
___________
[1] Ini berpunca dari perkataan “قوم” didalam ayat tersebut. Perkataan tersebut secara umumnya bermaksud keseluruhan kaum bani Israel mencakupi lelaki dan wanita. Tetapi konteks ayat ini merujuk kepada arahan nabi Musa kepada para penyembah patung anak lembu bukannya keseluruhan umat bani Israel! Huruf fa’ pada kalimah “فتوبوا” (maka bertaubatlah) adalah fa’ sababiyah (sebab), yakni taubat dari kezaliman (penyembahan patung lembu). Tambahan pula, huruf fa’ pada kalimah “فاقتلوا” (maka bunuhlah) berfungsi sebagai lanjutan selepas bertaubat. Lihat Al-Syaukani, Muhammad bin ali bin Muhammad (2007) Fath al-Qadir. (ed) yusuf al-Ghaush. Lubnan: Dar al-Makrifah hlm 59.
[2] Lihat Ibn kathir, Ismail bin Umar bin Kathir (1999). Tafsir al-Quran al-‘Azim. (ed) Sami bin Muhammad al-Salamah. Dar al-Tayyibah. Jilid 1. hlm 262.
[3] Lihat Al-Syaukani, Muhammad bin ali bin Muhammad (2007). Fath al-Qadir. (ed) yusuf al-Ghaush. Lubnan:Dar al-Makrifah, hlm 59.
[4] Lihat Al-Tabari, Muhammad bin Jarir (2007). Jami’ al-Bayan an ta’wil ay al-Quran (terjemahan). Mesir: Dar al-Salam, Jilid 1, hlm731-732.
[5] Lihat Ibn kathir, Ismail bin Umar bin Kathir (1999). Tafsir al-Quran al-‘Azim. (ed) Sami bin Muhammad al-Salamah. Dar al-Tayyibah, Jilid 1, hlm 263.
[6] Lihat Ibn abi hatim, Abdurrahman bin Muhammad bin Idris al-Razi (1997). Tafsir ibn Hatim al-Razi. (ed) As’ad Muhammad al-Tayyib. Riyadh: Maktabah Nizar Mustafa al-Baz, hlm 111.