Menyanggah Teori Black Hole Versi Ustaz Auni.

Oleh : Zamir Mohyedin

Masa tengok You Tube tadi, tiba-tiba video Ustaz Auni naik cerita pasal sains. Tajuk videonya 'Teori Black Hole | Ustaz Auni'. Ingatkan Ustaz Auni tak mahu cakap lagi pasal sains, tapi dia tetap cakap juga. Mungkin sebab peminatnya tanya dia. Ini sanggahan ke atas videonya.

 

 
1. Saintis Barat, malah Saintis Islam pada abad pertengahan pun, tidak pernah menjadikan peristiwa Isra' Mikraj sebagai inspirasi untuk mengkaji angkasa.

Kajian angkasa adalah disiplin kajian tertua dalam bidang sains alamiah. Telah bermula sebelum Quran diturunkan lagi. Saintis Islam mengkaji angkasa melalui tinggalan tamadun Barat (Yunani), Mesir, China dan India.

Alhazen (Ibn Haytham) sendiri mengambil manfaat daripada karya Ptolemy untuk mengembangkan ilmu angkasa sehingga digelar sebagai Ptolemy ke-2.

Inspirasi manusia untuk mengkaji alam adalah untuk maslahat mereka. Dulu ilmu angkasa dikaji untuk memudahkan pelayaran, untuk mengetahui waktu yang sesuai untuk menanam dan menuai, untuk menghindari bencana, dsb - inilah inspirasinya, bukan Isra' Mikraj.

Misi membawa manusia ke angkasa dan ke bulan lebih bermotifkan politik. Selepas itu baru bermotifkan perkembangan saintifik. Bukan Isra' Mikraj.

2. Teori Relativiti Khas bukan mengenai pergerakan laju, masa jadi semakin singkat seperti yang umum faham kalau nak sampai ke suatu destinasi, gerak lajulah supaya tak buang masa.

Itu bukan teori relativiti. Relativiti Khas memberitahu sukatan masa pemerhati bergerak menghampiri kelajuan cahaya menjadi perlahan relatif kepada masa pemerhati yang tidak bergerak.

Contoh mudahnya, aku naik roket pakai jam dan kau tunggu bawah pakai jam. Masing-masing ukur masa untuk aku pergi balik. Bila aku dah balik, masa yang aku sukat lebih lambat (contoh 8 saat) dan masa yang kau sukat 10 saat. Itu relativiti, bukan seperti Ustaz Auni sebut yang menurut pemahamannya kalau jalan 5 km dengan kelajuan 80 km/h sampai 5 minit, tapi kalau kelajuan 50 km/h sampai 8 minit.

3. Einstein tidak pernah bersetuju dengan konsep alam ini berkembang pada waktu itu. Untuk menyangkal teori alam berkembang, Einstein membangunkan pemalar kosmologi sehinggalah Edwin Hubble sendiri mencerap bahawa alam ini sememangnya berkembang.

Hubble tidak menyokong teori Einstein seperti yang didakwa oleh Ustaz Auni malah menyangkalnya. Jadi, Einstein tidak pernah merumuskan bahawa alam ini berkembang seperti yang didakwa oleh Ustaz Auni.

4. Saya tak jelas nama siapa yang Ustaz Auni sebutkan tetapi mereka (2 orang dia sebut) bukanlah pengasas Teori Big Bang. Pengasas Teori Big Bang ialah Georges Lemaitre dan teori ini tidak pernah memengangi Hadiah Nobel seperti yang Ustaz Auni dakwa.

5. Tiada saintis yang mengusulkan punca bagaimana Big Bang berlaku seperti yang diusulkan oleh Ustaz Auni - menurutnya radiasi adalah punca Big Bang. Fizik hanya dapat menyimpulkan masa tidak wujud sebelum Big Bang.

6. Ustaz Auni juga mendakwa Stephen Hawking mengasaskan Teori Black Hole untuk menyanggah teori radiasi yang Ustaz Auni sebutkan. Sedangkan Hawking hanya mengusulkan konsep ketunggalan (Singularity) iaitu sifat atom purba sebelum berlakunya Big Bang.

Walaupun sifat ketunggalan ada pada Lohong Hitam, tapi bukanlah Lohong Hitam yang menjadi punca berlakunya Big Bang. Tiada saintis yang tahu apa puncanya. Dan Hawking pun tidak menggunakan teori ketunggalan untuk menafikan Tuhan.

Dalam karyanya 'A Brief History of Time: From the Big Bang to Black Holes', Hawking menyebut,

"Seperti kita dapat lihat, konsep masa tidak bermakna sebelum permulaan alam semesta."

Ini pautan videonya;

https://www.youtube.com/watch?v=m9K15YpaDO8

Related Posts