Apakah Benar 4 Jenis Indeks Malaysia Jatuh Merundum?

Oleh : Fauzi Hussin 

APAKAH BENAR INDEX KITA JATUH? APA KAITANNYA DENGAN INDEX ISLAMICITY?

1. Saya merujuk kepada rencana terbitan Akhbar Utusan bertajuk "Terkini, kita jatuh 4 indeks serentak" yang ditulis oleh Saudara Abdul Muein Abadi pada 14 Jun 2019. Baca : https://www.sembangpress.com/2019/06/indeks-ekonomi-hubungan-antarabangsa.html

2. Pada awal ketika membaca tajuk ini, ianya sangat mengejutkan, bila pula 4 indeks Malaysia jatuh? Teruk sangatkah jatuh? Persoalan paling besar pula adalah indeks apa yang jatuh? Jika index komposit saham BSKL, ianya memang sedang menurun, tetapi penurunannya sudah dijangka, kerana pelbagai faktor yang antara lain disebabkan sentimen pasaran dunia dalam keadaan “bearish” serta performance syarikat komponen BSKL yang mencatatkan keuntungan yang kurang memberangsangkan.

3. Tajuk besar yang dihighlightkan oleh penulis tidak menunjukkan interpretasi yang tepat mengenai indeks yang di ulas. Terdapat juga point-point, yang secara sedar ataupun tidak, diperbesarkan. Terdapat kecanggungan interpretasi penulis terhadap Islamicity Index tersebut serta interpretasi terhadap maksud "index".

4. Islamicity Index yang dibangunkan oleh Islamicity Foundation tersebut bukanlah "indeks tersohor dunia” seperti yang didakwa. Saya tidak pasti apa yang dimaksudkan oleh penulis mengenai "tersohor". Secara umum tersohor bermaksud terkenal, dikenali seluruh dunia. Adakah Islamicity Index merupakan index tersohor dan menjadi rujukan ahli ekonomi dunia? Jawapannya TIDAK!! Tiada mana-mana badan ekonomi dunia malahan pengamal industri yang merujuk dan mengiktiraf Index ini. Malahan kredibiliti index ini sangat diragui kerana gagal mengemukakan laporan penuh tahunan. Laporan yang ada hanya untuk tahun 2017. Bandingkan dengan Index yang lain.


5. Islamicity index diperkenal oleh Scheherazade Rehman dan Hossein Askari. Yang kemudiannya ditambah baik bersama Hossein Mohammadkhan. Mereka membangunkan index tersebut pada tahun 2010 melalui artikel beliau bertajuk “How Islamic Are Islamic Countries?” dan diterbitkan oleh Global Economy Journal. Artikel ini pernah kami debatkan dalam siri perbincangan dengan rakan-rakan PhD satu ketika dahulu. Terdapat beberapa kepincangan dalam index ini dan kritikan terhadapnya. Pengasas Index juga mengakui kelemahan indeks yang mereka bangunkan. Perbincangannya boleh dirujuk disini: http://islamicity-index.org/…/links-downlo…/index-critiques/


6. Kesimpulan utama Scheherazade Rehman dan Hossein Askari dalam mengemukakan index tersebut adalah, negara Islam tidak mencapai standard sebagai sebuah negara Islam. Atau dengan kata lain negara Islam tidak Islamik. Sebaliknya, jika diperhatikan, berdasarkan index yang mereka bangunkan, New Zealand, Sweeden, Netherlands, Iceland dan Switzerland berada dalam kelompok lima teratas dalam ranking indeks ini. Adakah negara ini boleh kita sebutkan sebagai negara yang Islamik? Jawapannya; Ya dan Tidak.

7. Secara umum Islamicity Index ini bukanlah index tersohor seperti yang didakwa. Tetapi, tidak dinafikan ianya sesuai dijadikan perbincangan lingkungan akademik. Dalam konteks index sebagai pengukur, Index Islamicity ini mungkin boleh dijadikan benchmark kepada sesebuah negara untuk menjadi sebuah negara yang Islamik bersandarkan komponen/elemen-elemen yang dinyatakan oleh Islamic Foundation tersebut. Itupun, definisi negara yang Islamik perlu diperhalusi dan komponen-komponen yang subjektif mewakili setiap elemen juga masih boleh diperdebatkan. Saya berpandangan index ini masih perlu diperbaiki dan ditambahbaik sama ada dari sudut metodologi mahupun pengumpulan data.



8. Berbalik kepada hujah yang penulis sebutkan - "Empat Indeks jatuh serentak!" - Ianya tajuk yang mengelirukan. Scheherazade Rehman, Hossein Askari dan Hossein Mohammadkhan membangunkan index tersebut berdasarkan kepada 4 komponen utama iaitu ‘Economy’, 'Legal & Governance", ‘Political Rights’, dan ‘International Relations’. Setiap Komponen utama ini diberikan markah berdasarkan kepada “sub-elements”. Markah yang diperoleh bagi setiap sub-element dijumlahkan dalam bentuk index yang mewakili 4 komponen utama tersebut. Empat komponen utama inilah yang membentuk Islamicity Index ini. Adalah kurang tepat menyebut Empat Indeks jatuh serentak, sebaliknya elemen yang membentuk Index utama tersebut berlaku kemerosotan. Itupun, elemen tersebut perlu ditafsirkan dengan berhati-hati kerana terdapat element dan subelement yang subjektif.

9. Adakah kejatuhan markah (score) menjatuhkan keseluruhan kedudukan negara dalam sesuatu Index? Jika mahu menerima index ini sebagai petunjuk sekalipun, index tidak dibaca secara umum mengikut ranking. Ranking hanya sebagai panduan. Sebagai contoh di dalam sebuah kelas terdapat 10 orang pelajar yang mendapat A, dan markah mereka berbeza hanya satu markah setiap seorang, adakah markah yang paling tinggi tersebut merupakan pelajar yang paling bijak dan cerdik. BELUM TENTU!! Mungkin juga pelajar ke-5 atau ke-6 yang paling bijak, cuma mungkin dalam peperiksaan mereka melakukan sedikit kesilapan! Sebaliknya, kita akan kelompokkan mereka yang mempunyai A yang banyak ini dalam satu kelompok pelajar cerdik. Begitu juga Index.

10. Lihat sahaja markah (score) yang diperoleh oleh Malaysia berbanding UAE dan Albania dalam Islamicity Index. hanya berbeza beberapa mata "perpuluhan". Adakah ini bermaksud UAE dan Albania lebih baik daripada Malaysia? Apa istimewanya Albania? Mengapa Albania lebih baik daripada Malaysia? Ini disebabkan kerana, dalam index islamicity ini markah bagi Elemen International Relations untuk Albania adalah sangat tinggi, sekitar 8.01. Kenapa tinggi? Kerana elemen International Relations mengambil kira aspek Militarization dan Malaysia tidak menumpukan kepada aspek Military. Namun score yang diperoleh juga tidak terlalu rendah untuk Malaysia, lebih daripada average (6.05). Seperkara lagi, walaupun elemen International Relations bagi Malaysia mendapat markah 6.05 lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya iaitu pada skor 5.82, tetapi kedudukan Malaysia bagi elemen ini berada pada kedudukan 51 pada tahun 2018 berbanding kedudukan 48 pada tahun 2017. Menarik bukan?? Markah menaik tetapi kedudukan menurun.

11. Berdasarkan ranking Islamicity Index ini juga, Israel berada dalam kedudukan 40 terbaik dengan jumlah kumpulan mata sebanyak 6.7, lebih baik berbanding Malaysia dan negara-negara Islam lain. Ini bermakna negara haram Israel lebih Islam berbanding negara Islam sendiri! (menurut tafsiran index ini). Jika mahu diambil kesimpulan penulis diakhir penulisan dengan memberi peringatan kepada kerajaan dengan menukilkan hadis-hadis berikut: Ingatlah dua amaran junjungan besar nabi kita ini: “Jika urusan diserahkan bukan kepada ahlinya, maka tunggulah kehancuran itu” (HR Bukhari). “Barangsiapa yang memegang kuasa tentang sesuatu urusan kaum Muslimin, lalu dia memberikan suatu tugas kepada seseorang, sedangkan dia mengetahui bahawa ada orang yang lebih baik daripada orang itu, dia telah mengkhianati Allah, Rasul-Nya dan kaum Muslimin” (Hadis Riwayat Al-Hakim), adakah boleh disimpulkan urusan negara Israel (serta negara-negara bukan Islam yang lain) diserahkan kepada ahlinya? Bersandar Benchmark Penulis, jawabnya mungkin juga Ya bukan??

12. Saya berpandangan banyak lagi index-index lain yang berkredibiliti untuk dijadikan rujukan dan benchmark. Index seperti Global Competitiveness index, Transprancy index, Democracy Index, United Nation Human Development (UNHD) Index dan lain-lain adalah "Index Mainstream" yang menjadi rujukan umum pakar ekonomi. Tidak dinafikan, terdapat indikator yang menunjukkan prestasi Malaysia yang kurang memberangskan, tetapi ianya tidaklah sampai menjatuhkan kedudukan Malaysia kepada sebuah negara yang sangat teruk. Saya juga bersetuju dengan penulis untuk kepimpinan negara hari ini untuk terus bekerja keras! Demi Negara Malaysia Tercinta.

Related Posts