Khoo Kay Kim Lelaki Sedih, Bimbang Rusuhan Perkauman..

Oleh : Kamarul Yusoff
 

KHOO KAY KIM LELAKI SEDIH, BIMBANG RUSUHAN PERKAUMAN

Pemergian Profesor Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim, ahli akademik kedua selepas Profesor Jomo Sundaram yang saya temui sewaktu saya mahu melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya dahulu, mendorong saya membaca autobiografi beliau yang telah lama dibeli tetapi belum sempat dibaca.

 

 
Autobiografi yang diterbitkan dua tahun lalu (2017), bertajuk “I, KKK: The Autobiography of a Historian”, ini adalah satu autobiografi yang cukup menarik sekali, dengan pelbagai kisah hidup beliau, keluarga beliau, pendidikan beliau, kerjaya beliau dan isu-isu sejarah negara dibincangkan secara tulus.

Begitupun, paling saya terkesan adalah nada sedih dan sangat pesimis beliau pada bahagian terakhir autobiografi ini, di mana tiga perenggan terakhirnya berbunyi begini:

(1) “Persoalan hubungan kemasyarakatan, yang telah mendapat perhatian para pemimpin negara sejak 1930-an, patut telah diselesaikan sekarang tetapi isu-isu yang tidak pernah menjadi bahan pertikaian sudah muncul sekarang. Orang ramai kelihatan menjadi lebih jahil mengenai kebudayaan dan kepercayaan agama satu sama lain. Masih lagi wujud pengasingan kaum di tempat kerja, sekolah dan tempat kediaman.”

(2) “Kelihatan tidak banyak yang telah dilakukan untuk menyelesaikan masalah perkauman. Sebaliknya, proses politik berkembang atas perkauman. Menyaksikan sangat banyak rusuhan perkauman, bermula dari 1945, saya bimbang mengenai masa depan jika keadaan ini dibiarkan wujud.”

(3) “Hari ini, saya sesungguhnya adalah seorang lelaki sedih.”

(Petikan asal tulisan beliau berbunyi begini:

(1) “The question of community relations, which has occupied the attention of the country’s leaders since the 1930s, ought to have been solved by now but issues which were never a bone of contention have emerged today. People seem to be even more ignorant of one another’s culture and religious beliefs. There is still ethnic segregation in places of work, schools and even places of residence.”

(2) “Little seems to have been done to solve communal problems. Instead, the political process thrives on ethnicity. Having lived through so many ethnic riots, beginning from 1945, I fear for the future if the situation is allowed to subsist.”

(3) “Today, I am indeed a sad man.”)

Meneliti tulisan beliau ini, bolehlah disimpulkan bahawa, bagi beliau, rusuhan perkauman akan sekali lagi berlaku di negara kita jika masalah perkauman yang semakin meruncing tidak diselesaikan segera.

Melihat kepada perkembangan yang sedang berlaku di negara kita mutakhir ini yang menyaksikan sejarah negara tidak lagi dihormati, malah cuba dipesongkan, kebimbangan beliau mudah difahami.

Semoga kebimbangan beliau, yang merupakan seorang sejarawan ternama negara, akan diambil berat.

Related Posts