SEJARAH MERDEKA : Kisah Datuk Seth, Wira Yang Tak Didendangkan.

Oleh : Mohamed Hadi AH

Baru-baru ni menonton dokumentari "Road to Nationhood" di History Channel. Dokumentari 2 jam yang menyaksikan liku-liku perjuangan kemerdekaan dari 1946 sehingga 1957. Cerita-cerita biasalah, Jepun kalah, British datang balik, komunis, darurat, Malayan Union, raja-raja Melayu, Umno, MCA, MIC, merdeka.


Antara anekdot menarik dalam dokumentari tersebut ialah sikap Sultan Ibrahim Johor yang tidak menyokong kemerdekaan. Ini dimulakan dengan Sultan Johor sebagai monarki pertama yang menandatangani perjanjian Malayan Union. Kemuncaknya, rombongan Merdeka ke London pada Januari 1956 untuk menuntut kemerdekaan. Rombongan disertai oleh Tunku, Tun Razak, Tun Dr Ismail, Tun HS Lee, TH Tan & Datuk Bahaman Shamsuddin mewakili parti-parti politik. Raja-raja Melayu pula diwakili oleh MB Kelantan Dato' Nik Ahmad Kamil, MB Perak Dato' Panglima Bukit Gantang, MB Selangor Tun Aziz Majid & yang paling utama pemangku MB Johor Dato' Seth Saaid.

Dato' Seth Saaid diberi arahan spesifik oleh Sultan Johor untuk menggagalkan rundingan kemerdekaan. Tunku susah hati kerana takut bila British tanya sorang-sorang, yang lain semua setuju nak merdeka tapi bila tanya Johor, Johor kata tak setuju - dan ini dijadikan alasan oleh British supaya Tanah Melayu tak merdeka.

Sepanjang tempoh perjalanan dari Malaya ke London menaiki kapal laut, Tunku cuba merisik-risik, memujuk & meminta Dato' Seth supaya bersetuju dengan kemerdekaan yang ingin dicapai tapi Dato' Seth hanya berkata "Nanti kat London saya akan cakap apa yang saya perlu cakap". Lagi Tunku susah hati.

Bila waktu rundingan di London, seperti dijangka British tanya sorang-sorang, satu demi satu. Selangor setuju, Perak setuju, Kelantan setuju, akhir sekali Johor.

Semua mata memandang Dato' Seth. British berharap Dato' Seth kata tak setuju sebab mereka tahu Sultan Ibrahim tak setuju untuk kemerdekaan, Tunku pulak berharap sebaliknya.

Dato' Seth membuat kejutan dengan mengatakan Johor juga setuju untuk merdeka. The rest is history.

Selesai rundingan & dapat tarikh 31 Ogos 1957, Tunku pergi mendapatkan Dato' Seth. Dato' Seth kata kepada Tunku "Balik ni kalau Sultan nak terajang saya pun biarlah".

Sekembalinya Dato' Seth ke Johor beliau meletakkan jawatan beliau dalam perkhidmatan awam Johor. Tunku kemudiannya melantik Dato' Seth sebagai pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Keretapi.

Related Posts