Anwar Terima Layanan Istimewa Dalam Penjara - Nur Jazlan.


Bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kemudahan rawatan istimewa di penjara yang diberikan kerajaan atas dasar kemanusiaan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, layanan istimewa yang diterima Anwar tidak dinikmati oleh lebih 50,000 banduan lain seperti yang dipetik dalam portal Free Malaysia Today.
“Terdapat 50,000 banduan lain di seluruh negara yang sepatutnya menerima kemudahan rawatan yang sama rata.
“Tetapi dalam kes Anwar, beliau diberi peluang untuk mengadakan pelbagai aktiviti seperti fisioterapi dan solat Jumaat.
“Saya ingin menekankan kerajaan telah memberikan rawatan istimewa kepada Anwar mengikut keperluan atas dasar kemanusiaan. Terimalah hakikat,” katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar di Parlimen pada Isnin menurut laporan berkenaan.
Nurul membangkitkan soalan mengapa Kementerian Dalam Negeri tidak membenarkan bapanya menerima rawatan fisioterapi dua hingga tiga kali seminggu.
Menurut Nur Jazlan, Anwar telah menerima 83 pemeriksaan kesihatan dan 10 sesi fisioterapi sepanjang 38 minggu dalam penjara.
Katanya, Anwar dibenarkan berjumpa dengan keluarganya sebanyak 15 kali dan peguamnya sebanyak 65 kali dan dibenarkan menunaikan solat Jumaat sebanyak 35 kali.

Related Posts