Hutang Kerajaan RM623.3b Setakat September 2015.


Kedudukan hutang Kerajaan Persekutuan setakat 30 September, 2015 berjumlah RM623.3 bilion, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Johari Abdul Ghani.

"Daripada jumlah berkenaan 96.4% atau RM601.1 bilion adalah hutang domestik, sementara baki RM22.2 bilion atau 3.6% pinjaman luar pesisir dalam pelbagai denominasi mata wang.

"Kedudukan hutang kerajaan persekutuan ini kekal terurus dan dikategorikan sebagai negara keberhutangan sederhana," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Wira Ahmad Hamzah (BN-Jasin) yang mahu penjelasan daripada menteri kewangan mengenai jumlah hutang kerajaan persekutuan.


Johari berkata, tahap ukuran hutang kerajaan persekutuan, setakat tempoh tersebut, daripada segi peratusan kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) adalah 50.7%.       

Berhubung hutang yang dijamin kerajaan, beliau berkata RM175.8 bilion setakat Jun 2015, dan dikeluarkan kepada 27 institusi termasuk syarikat milik kerajaan.

"Pemberian jaminan itu adalah bagi membolehkan institusi terbabit memperoleh kos pembiayaan lebih rendah bagi melaksanakan projek pembangunan strategik bersifat jangka panjang yang akan memanfaatkan rakyat secara keseluruhan.

Johari berkata kerajaan persekutuan menanggung hutang sebanyak RM30 bilion setakat Jun 2015 bagi melaksanakan program di bawah model Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).

Katanya, komitmen hutang tersebut dimasukkan ke dalam peruntukan bajet tahunan bagi tujuan membiayai bayaran balik pinjaman.

"Komitmen (hutang PFI) juga telah diambil kira dalam pengiraan defisit fiskal dan kedudukan hutang kerajaan persekutuan, dan ini tidak akan meningkatkan sasaran defisit sedia ada," katanya. – Bernama

Related Posts