Najib Lancar Menara Warisan, Yang Tertinggi Di Malaysia.


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini, melancarkan projek Warisan Merdeka merangkumi menara 118 tingkat yang bakal menjadi menara tertinggi di Malaysia.
Fasa pertama projek berkenaan yang turut melibatkan tujuh tingkat pusat membeli-belah akan siap pada tahun 2020 dengan kos pembangunan sebanyak RM5 bilion.
Pengerusi Permodalan Nasional Bhd, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, pembangunan fasa pertama akan menggalakkan aktiviti ekonomi dan memberi nilai tambah dengan jangkaan pengwujudan lebih 10,000 peluang pekerjaan.
“Menara 118 tingkat ini merupakan bangunan pertama di Malaysia yang akan memenuhi akreditasi platinum bangunan hijau di dalam negara dan di peringkat antarabangsa termasuk indeks Bangunan Hijau,” kata beliau ketika berucap pada majlis pelancaran projek Warisan Merdeka di sini hari ini.
Projek Warisan Merdeka merupakan projek pembangunan bercampur yang dibangunkan secara tiga fasa di atas tanah berkeluasan 19 ekar (7.689 hektar).
Keseluruhan projek dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2024. – Bernama

Related Posts