Kenali Watak Might Guy Dalam Naruto - Ada Apa Dengan Might Guy.

Oleh : Zamir Mohyedin

MIGHT GUY MENGAJAR USAHA DAPAT MENGALAHKAN GENIUS

Sementara orang masih belum dapat 'move on' daripada Naruto lagi, aku nak kongsi tentang beberapa watak dalam komik itu. Antaranya, Might Guy. 

Aku tak memilih Rock Lee sebab penampilannya sebagai guru (sensei) tak ditonjolkan. Aku juga tak memilih Might Dai (ayah Might Guy) sebab kemunculannya cuma sekejap saja. Tak banyak perkara yang boleh digarap berbanding Might Guy.

 
Dalam watak Naruto, kita akan kagum dengan watak-watak yang genius seperti Sasuke dan Kakashi. Kita juga akan kagum dengan watak yang cerdik seperti Shikamaru. Watak yang analitik seperti Shino. Juga watak-watak yang cantik seperti Hinata dan Sakura.

Pada peringkat awal, watak yang tidak berbakat dan 'hodoh' akan cuba ditenggelamkan, iaitu watak seperti Might Guy dan Rock Lee.

Menarik ke rupa Might Guy? Rambut mangkuk dan berkening tebal. Yalah, mula-mula orang takkan 'suka' dengan watak ini.

Tambahan lagi watak ini pula adalah watak yang tidak genius. Tak pandai ninjutsu dan genjutsu. Seorang yang gagal semasa berada di akademi. Might Guy gagal banyak kali ketika di akademi.

Tetapi Guy mempunyai disiplin yang sangat kuat untuk memperbaiki dirinya. Dia meletakkan peraturan sendiri (self-rule) kalau jadikan dia seorang yang ekstrem dalam berdisiplin.

Kau bayangkanlah dia buat macam ini. Kalau dia tak dapat berlari 500 pusingan, dia akan berjalan guna tangan sebanyak 500 pusingan. Kalau dia tak dapat jalan guna tangan 500 pusingan, dia akan 'push-up' 500 kali. Kalau dia tak dapat buat 'push-up', dia akan gunakan jari dia.

Dia menetapkan sejenis hukuman pada dirinya untuk menjadikan diri dia kekal berdisiplin.

Ayahnya cuba mendidik Might Guy menjadi seorang yang berada pada peringkat 'PhD' kalau ikut istilah masa kini. Kebanyak ninja konoha masa itu adalah 'jack of all trade', iaitu menguasai kepelbagaian ilmu ninja.

Tetapi Might Guy cuma boleh ber'taijutsu' yan mana ninja-ninja lain juga mampu. Yang membuatkan Might Guy istimewa adalah dia memperkukuh taijutsu tersebut sehingga ke peringkat yang mampu dicapai oleh sesiapa pun.

Kalau kita ikut fahaman akademik dunia kita, biasanya peringkat sarjana muda (degree), kita akan menguasai pelbagai subjek di bidang kita. Tapi bila kita sudah sampai ke peringkat doktor falsafah, kita cuma akan fokus pada satu perkara saja, kita akan gali sedalam-dalamnya disiplin ilmu tersebut.

Begitulah bagaimana Might Guy mendapat pengiktirafan sendiri daripada Madara sebagai ninja yang kuat selepas Hashirama. Kakashi sendiri akui Guy lebih kuat daripadanya.

Lebih elok apabila kita pakarkan satu-satu ilmu daripada menguasai kesemuanya. Ini pendapat peribadi kerana kita tak mempunyai masa untuk menguasai segala jenis ilmu pengetahuan. Bila kita cuba untuk menguasai kesemuanya, kita tak mempunyai masa untuk menjadi pakar.

Sekurangnya kita dapat memberikan sumbangan juga apabila kita mempunyai kepakaran.

Kisah Guy ini nak mengajar kita bagaimana usaha dan disiplin dapat menewaskan mereka yang genius dan berbakat. Bagaimana kau yang mempunyai rupa yang hodoh pun, orang dah tak pandang apabila kau mempunyai sebuah kecemerlangan.

Tenggelamnya watak ini pada peringkat awal nak beritahu orang begini memang sentiasa tak dipandang dan sentiasa disisihkan oleh kita. Kita cuma akan pandang dan sanjung budak pandai dan genius.

Kita akan selalu sebarkan kisah-kisah betapa geniusnya orang itu. Kita akan selalu memberikan bengkel dan kelas-kelas tambahan pada pelajar-pelajar kelas sains tetapi kelas-kelas belakang diabaikan.

Aku pernah menjadi cikgu. Memang sakit mengajar budak yang kurang pandai dan tak berbakat. Sangat penat. Tetapi Might Guy semasa menjadi guru, tak pernah sisihkan pelajar seperti ini iaitu Rock Lee.

Persaingan antara Guy dan Kakashi menjadi simbolik bahawa orang yang berusaha ini mampu bersaing dengan mereka yang genius. Menjadi simbol mereka yang betul-betul berusaha ini mampu mengatasi mereka yang genius.

Setelah Might Guy menjadi guru, Might Guy sanggup mendidik orang sepertinya iaitu Rock Lee untuk menjadi ninja yang hebat.

Apa yang kita boleh belajar soal didikannya?

Might Guy mencari potensi dalam diri Rock Lee. Aku fikir ini adalah asas penting dalam memahami anak didikan. Tak kiralah anak didikan itu anak sendiri ataupun murid di sekolah. 

Kenali potensi itu, lalu diasahkan menjadi tajam. Sebagai guru ataupun ibu bapa, aku fikir, kita tak sepatutnya meminta anak didik menjadi sesuatu yang mereka sendiri memang tak mampu nak buat.

Kalau anak cuma tahu melukis dan tak pandai jadi jurutera, tajamkanlah apa yang anak itu tahu iaitu melukis sampai dia jadi pelukis legenda. 

Kalau anak cuma tahu bersastera dan tak pandai akaun, tajamkanlah apa yang ana itu tahu iaitu bersastera sampai dia jadi sasterawan yang dikenali.

Begitulah apa yang Might Guy cuba lakukan ke atas Rock Lee. Kenali potensi Rock Lee, lalu ditajamkan sehingga ninja-ninja kampung Pasir turut kagum dengan Rock Lee yang mampu memecahkan pertahanan Gaara yang masa itu dia ada orang pertama yang lakukan begitu.

Kesayangan Might Guy pada Rock Lee menjadikan simbolik yang pelajar bodoh seperti Rock Lee patut diberikan perhatian lebih. Pelajar inilah yang patut diberikan bengkel. Yang patut diberikan kelas tambahan supaya menjadi manusia yang berguna.

Kesimpulannya, kalau anda rasa diri anda paling tak pandai, ingatlah Might Guy dan Rock Lee pernah rasa benda yang sama. Tapi usaha dan disiplin yang menjadikan mereka kuat.

Teruskan berusaha. Paling penting disiplin dan percaya pada diri anda sendiri.

Related Posts